Ahad, 6 Disember 2009

Nota Usul Fiqh2: Syarat dan Metode Mengetahui Tujuan Syariat serta hubungannya dengan Ijtihad

PENDAHULUAN

Sumber utama ajaran Islam adalah kitab sucinya, iaitu al-Quran al-Karim. Sebagai sumber utama ajaran dan hukum Islam, al-Quran mengandungi nilai-nilai yang melatar belakangi dan tujuan yang akan dicapai oleh pensyari’atan ajararan Islam itu. Nilai dan tujuan yang hendak dicapai oleh hukum Islam itu, dalam istilah usul al-fiqh dikenal dengan maqasid al-syari’ah, iaitu tujuan-tujuan syari’ah.
Pembahasan terhadap tujuan-tujuan syari’ah itu dalam kajian usul al-fiqh adalah sangat penting. Ia merupakan landasan penetapan suatu hukum, terutama yang tidak terdapat dalam al-Quran dan al-sunnah secara terperinci. Al-Syatibi menyebutkan bahawa pengetahuan terhadap tujuan-tujuan syari’ah itu merupakan syarat mutlak bagi seorang mujtahid, di samping pengetahuan bahasa Arab.


SYARAT UNTUK MENGETAHUI TUJUAN-TUJUAN SYARI’AT

Al-Quran adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Dalam bahasa Arab, secara beransur-ansur selama 23 tahun. Sekurang-kurangnya ada tiga syarat yang perlu dipenuhi, supaya seseorang itu dapat memahami kandungan al-Quran.

1. Dengan Mengetahui Bahasa Arab

Sebagaimana difirmankan Allah sendiri, al-Quran adalah kitab berbahasa Arab.
- إنا أنزلناه قرآنا عربيا
- بلسان عربي مبين
- وهذا لسان عربي مبين

Oleh kerana Kalam Allah ini diturunkan dalam bahasa Arab, maka tidak boleh tidak, jalan untuk memahami adalah dengan mengetahui secara sempurna bahasa Arab dengan berbagai cabang ilmunya.

Termasuk dalam pengetahuan bahasa Arab itu adalah mengetahui kebiasaan-kebiasaan bangsa Arab dalam menggunakan bahasa mereka. Dengan demikian, barangsiapa yang ingin mengatahui kandungan al-Quan dan ingin memahaminya dengan baik, maka ia harus mengetahui kosakata, kaedah-kaedah bahasa, dan kebiasaan bangsa Arab dalam menggunakan bahasa mereka. Pentingnya bahasa Arab untuk mengetahui tujuan syari’at dapat dilihat dalam kaedah usul al-fiqh yang berasal dari kaedah-kaedah bahasa Arab.

Akan tetapi, apakah mungkin memahami kandungan al-Quran melalui terjemahannya dalam bahasa Melayu atau bahasa bukan Arab?

Menurut Al-Syatibi, jika seseorang itu mampu untuk memahami nilai-nilai yang terkandung di dalam al-quran, selagi tidak membahas persoalan-persoalan yang berkaitan dengan lafaz, maka terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu atau bukan Arab dapat membantu pemahaman tersebut.

2. Dengan Mengetahui al-Sunnah

Dengan mengetahui bahasa Arab sahaja, seseorang tidak akan dapat memahami al-Quran dengan sempurna. Tidak semua kata-kata dalam al-Quran konsistan dengan pengertian zahir bahasa. Kajian kebahasaan sahaja tidak cukup. Sebahagian kata-kata, terutama dalam masalah ibadah, sudah berubah erti ke dalam pengertian Ilahiyyah. Pengertian Ilahiyyah itu hanya dapat diketahui melalui al-Sunnah. Misalnya, salat menurut bahasa bererti doa, tetapi dalam pengertian Ilahiyyah, bererti perbuatan-perbuatan dan ucapan-ucapan tertentu yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam.

Di samping alasan tersebut, dalam kajian usul al-fiqh, al-Sunnah memang mempunyai posisi khusus terhadap al-Quran sebagai sumber utama hukum Islam.

Al-Sunnah memperinci yang umum dalam al-Quran, menerangkan yang kurang jelas, dan menghuraikan apa yang masih sulit dipahami.

Ayat al-Quran mengatakan:

وأنزلنا إليك الذكر لتبين للناس مانزل إليهم

Tidak seluruh persoalan yang berkaitan dengan salat, zakat, puasa, haji dan jihad sudah dijelaskan hukumnya dalam al-Quran. Sebahagian besar daripadanya diterangkan dalam al-Sunnah.

Bahkan, sebagaiman halnya dengan al-Quran, al-Sunnah juga mengeluarkan pernyataan-pernyataan hukum tertentu. Dalam hal seperti ini, ianya adalah sebagai pelangkap bagi al-Quran. Dalam hal ini al-Quran memerintahkan umat Islam untuk mematuhi pernyataan hukum al-sunnah itu:



- أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم
- ومن يطع الرسول فقد أطاع الله
- وما أتاكم الرسول فخذوه وما نهاكم عنه فانتهوا


3. Dengan Mengetahui Asbab al-Nuzul

Sebagaiman telah disebutkan bahawa al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Banyak ayat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. lansung tanpa sebab tertentu. Akan tetapi, banyak juga ayat al-Quran yang diturunkan kerana sebab, seperti kerana adanya pertanyaan yang perlu dijawab Nabi SAW. dari
umatnya, dan kerana peristiwa tertentu yang terjadi.

Sebahagian ayat al-Quran yang turun kerana pertanyaan atau peristiwa tertentu hanya dapat dipahami dengan sempurna apabila sebab-sebab (pertanyaan tau peristiwa) itu diketahui dengan baik. Oleh kerana itulah al-Syatibi mengatakan, bahawa pengetahuan akan sebab-sebab turunnya al-Quran merupakan kemestian bagi orang yang ingin mendalami ilmu al-Quran.

Sebagai contoh, ayat berikut tidak boleh dipahami, apabila sebab turunnya tidak diketahui. Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran, ayat 187-188:


وإذ أخذ الله ميثاق الذين اوتوا الكتاب لتبيينه للناس ولاتكتمونه. فنبذوه وراء ظهورهم واشتروا به ثمنا قليلا. فبئس ما يشترون * لاتحسبن الذين يفرحون بما آتوا ويحبون أن يحمدوا بما لم يفعلوا فلاتحسبنهم بمفازة من العذاب ولهم عذاب اليم ( ال عمران: 188-187 )




Maksudnya:

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu). “Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan jangan kamu menyembunyikannya,” lalu mereka melemparkan janji itu ke belakang mereka dan mereka menukarkannya dengan harga yang sedikit. Amatlah buruk tukaran yang mereka terima.

Ingatlah sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka kerjakan janganlah kamu menyangka bahawa mereka terlepas dari siksa, dan bagi mereka siksa yang amat pedih.

Berkenaan ayat di atas, diriwayatkan bahawa Marwan mengutus pengawalnya kepada Ibn Abbas. Marwan berkata kepada pengawalnya:

“Katakan kepada Ibn Abbas, apabila semua orang yang bergembira terhadap hasil perbuatannya dan ingin mendapat pujian atas sesuatu yang belum dikerjakannya, akan mendapat azab, tentu tidak seorang pun di antara kita yang bebas dari azab Tuhan.”

Kemudian Ibn Abbas menerangkan, bahawa yang dimaksudkan deangan ayat itu adalah orang-orang Yahudi. Ibn Abbas menceritakan, suatu ketika Nabi Muhammad SAW. bertanya kepada mereka tentang suatu hal, tetapi mereka menyembunyikan yang sebenarnya dan menjawab dengan yang salah. Dengan tindakan mereka itu, mereka mengharapkan mendapat pujian dan bergembira kerana perbuatan itu. Inilah sebab turunnya ayat al-Quran tersebut. Jelas bahawa maksud yang sebenarnya jauh berbeza dengan apa yang dipahami oleh Marwan.



METODE UNTUK MENGETAHUI TUJUAN SYARI’AH

Al-Quran adalah kalam Allah. Dengan demikian, Allahlah yang paling mengetahui apa maksud dan isi kandungan al-Quran. Oleh kerana itu, maksud al-Quran harus dicari dalam al-Quran sendiri. Untuk mengetahui tujuan syari’at, al-Syatibi hanya mempunyai satu metode, iaitu penelitian (al-istiqra’) terhadap kandungan al-Quran.


Menurut hasil penelitian, tujuan syari’at di dalam al-Quran, dapat dibahagikan menjadi dua bahagian: tujuan yang bersifat primer (al-Maqasid al-Asliyyah) dan tujuan yang bersifat skunder (al-Maqasid al-taba’iyyah).

Yang dimaksudkan dengan tujuan yang bersifat primer adalah tujuan di dalamnya manusia tidak mempunyai peranan apa-apa. Sedangkan tujuan yang bersifat skunder adalah tujuan yang di dalamnya peranan manusia sangat diperhatikan.

Tujuan syari’ah yang bersifat primer sangat hampir kepada keikhlasan beramal, pengamalannya bersifat ibadah dan merujuk kepada perintah dan larangan. Kerana di dalamnya manusia tidak mempunyai peranan, tujuan syari’at yang bersifat primer ini sentiasa berhubungan dengan hal-hal yang wajib, di mana tidak ada pilihan bagi manusia. Adapun tujuan syari’t yang bersifat skunder, dimana peranan manusia sangat diperhatikan, ia berkaitan dengan kehidupan manusia di dunia.
Sesuai dengan keterangan di atas, nampaknya dapat disimpulkan bahawa tujuan primer berkaitan dengan ibadah dan tujuan skunder berkaitan dengan mu’amalah. Antara dua hal itu terdapat prinsip yang sangat berbeza.

Prinsip dalam ibadah adalah ta’abbudi, tanpa ada kemestian untuk memerhatikan nilai yang terkandung di dalamnya. Hikmah ta’bbudi secara umum adalah kepatuhan kepada Allah, dengan merendahkan diri dan ta’zim kepada-Nya. Akal tidak mampu mendalami nilai-nilai ibadah itu secara terperinci. Adapun prinsip muamalah adanya perhatian yang ditujukan kepada nilai-nilai yang terkandung di dalam al-Quran. Manusia diharapkan tidak terhenti pada nas-nas.

Berdasarkan hasil penelitian tersebut, al-Syatibi kemudian memberikan tiga metode untuk mengetahui tujuan syari’at. Masing-masing metode itu berkaitan dengan tujuan syari’at yang juga berbeza-beza.


1. Tujuan syari’at berdasarkan lafaz

Ada ayat-ayat al-Quran yang mengandungi dua tujuan sekaligus. Ayat-ayat itu terutama yang berbentuk perintah atau larangan. Dalam hal seperti itu, lafaz perintah atau larangan merupakan tujuan primer, sedangkan hikmah dari penunaian perintah atau larangan itu adalah tujuan skunder. Contohnya firman Allah:

واقم الصلوة ان الصلوة تنهى عن الفحشاء والمنكر


“Dan dirikanlah salat, sesungguhnya salat mencegah daripada kejahatan dan kemunkaran.”

Dari ayat di atas, terdapat perintah untuk menunaikan salat dan terkandung juga di dalamnya secara eksplisit / jelas tentang hikmat salat.

Tujuan primer ayat tersebut adalah memerintah untuk menunaikan salat, sebagai tanda tunduk dan patuh serta ta’zim kepada-Nya. Tujuan skundernya adalah hikmah salat yang terdapat dalam ayat tersebut, bahawa salat itu mencegah orang dari melakukan perbuatan keji dan munkar. Dalam hal seperti ini, tujuan primerlah yang mesti diperhatikan, kerana tujuan skunder tidak efektif sebagai sebab hukum. Orang yang tidak lagi melakukan perbuatan keji dan munkar tetap diwajibkan menunaikan salat.

Dalam ibadah memang terdapat dua faedah: ukhrawiyyah dan duniawiyyah. Yang pertama adalah tujuan primer dan kedua adalah tujuan skunder. Perintah dan larangan bersifat ta’abbudi dan di dalamnya terkandung tujuan syari’ah. Hikmahnya yang berupa maslahah di dunia tidak efektif kerana manusia tidak dapat mengetahui hikamh ibadah itu secara terperinci. Dengan demikian, nilai ta’abbudi nya didahulukan daripada nilai rasionalnya dalam bentuk hikmah.

2. Tujuan Syari’ah berdasarkan Nilai.

Dalam ibadah, tujuan primer mesti lebih diutamakan daripada nilai yang terkandung dalam ayat al-Quran. Sementara dalam bidang mu’amalah perhatian diberikan kepada nilai-nilai yang terdapat di dalamnya. Dalam masalah ini, Allah sebagai Syari’ menerangkan persoalan dan hukum sesuatu hal dengan menggunakan ‘illah dan hikmah yang dapat dicerna / difikir oleh akal manusia. Itulah yang dimaksudkan dengan nilai yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran, dan itu pulalah yang disebut dengan tujuan syari’at.

Dari sini terlihat bahawa Allah membenarkan manusia mempergunakan akalnya untuk mengenalisis tujuan syari’at dalam bidang muamalah, dan tidak berhenti hanya sampai pada nas-nas sahaja.

Dalam ajaran Islam yang berkaitan dengan masalah adat kebiasaan terdapat usaha untuk menyebarkan maslahah. Hal-hal yang mencegah tersebarnya maslahah itu bererti mafsadah. Masalah-masalah yang berkaitan dengan maslahah dan mafsadah itu termasuk dalam bidang duniawi yang nilainya dapat ditangkap oleh akal. Banyak ayat al-Quran dan al-hadis Nabi SAW yang secara jelas dan eksplisit menerangkan nilai-nilai yang berkaitan dengan menyebarkan maslahah dan mencegah mafsadah. Dengan mengakaji ayat-ayat seperti itu tentu sahaja tujuan syari’at dapat diketahui.

Tujuan syari’at itu dalam kajian hukum Islam menjadi alasan berlakunya hukum. Ertinya, dalam masalah mu’amalah nilai baik berupa ‘illah, mahupun hikmah menjadi alasan adanya hukum. Tiadanya ‘illah menyebabkan tidak berlakunya hukum. Ayat al-Quran dan hadis seperti itu di antaranya:


ولـكم فى القصاص حياة
كل مسكر حرام


Dari ayat tersebut di atas, jelas dapat ditangkap bahawa qisas dilakukan untuk kepentingan kehidupan manusia sendiri. Dari hadis di atas, dapat dipahami bahawa minuman haram kerana memabukkan, sebaliknya akan tetap halal bila diminum tanpa menimbulkan mabuk. Dengan kajian terhadap alasan hukum seperti itu, maka kita diharapkan tidak berhenti pada nas.


3. Kajian Tujuan Syari’ah berdasarkan induktif

Pengetahuan tujuan syari’ah yang bersifat umum boleh dihasilkan melalui penelitian induktif terhadap ayat-ayat al-Quran yang secara eksplisit mengungkapkan nilai-nilai, sama ada yang merupakan tujuan skundar dari ayat-ayat ibadah ataupun nilai-nilai yang bersifat duniawi dari ayat-ayat mu’amalah.

Melalui penelitian itu ditemui bahawa syari’at Islam membawa kemaslahan bagi manusia di dunia dan di akhirat.. Maslahah itulah yang menjadi tujuan syari’ah secara umum.

Maslahah umum itu dapat dibahagi kepada tiga bahagian: dharuriyyat, hajiyat, dan tahsiniyyat. Maslahah yang bersifat dharuriyyat, sebagaimana halnya dengan perintah dan larangan dalam ibadah, tidak boleh dibuat lebih kurang oleh manusia; ia wajib dan tidak ada pilihan bagi manusia di dalamnya. Maslahah umum yang bersifat dharuriyyah itu dapat dibahagi lagi kepada dua bahagian, iaitu yang bersifat ‘ainiyyah (individu) dan yang bersifat kifaiyyah (kolektif). Maslahah dharuriyyah yang bersifat ‘ainiyyah terdiri dari: 1. menjaga agama, 2. menjaga jiwa, 3. menjaga akal, 4. menjaga keturunan dan 5. menjaga harta.

Adapun maslahah yang bersifat kolektif, di antaranya adalah uasaha mewujudkan kesejahteraan umum sehingga maslahah individu dapat terpelihara dengan baik, contohnya adalah menegakkan pemerintahan yang adil.

Menurut al-Syatibi, untuk maslahah dunia dan akhirat itulah syari’at yang diturunkan. Menjaga maslahah itu menjadi kewajipan bagi manusia. Dalam penetapan hukum yang tidak terdapat di dalam al-Quran, maslahah boleh dijadikan ‘illah adanya hukum.

Tiada ulasan: