Memaparkan catatan dengan label pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pendidikan. Papar semua catatan

Rabu, 16 Disember 2009

Apakah Metakognisi?


Metakognisi ialah fungsi eksekutif yang mengurus and mengawal bagaimana seseorang menggunakan mindanya dan merupakan proses kognitif yang paling tinggi dan canggih. Metakognisi tidak sama dengan kognisi atau proses pemikiran (seperti membuat inferen, membuat perbandingan, membuat ramalan, menilai, membuat sintesis atau analisis). Metakognisis adalah satu-satu kebolehan dimana 'individu berdiri diluar kepalanya dan cuba mengesan cara dia berfikir atau mengesan proses kognitif yang dilakukan'.


"..spying on your own thinking"
"..knowing yourself as a thinker"
"..policing your own head stuff"


Berikut adalah beberapa pernyataan yang menerangkan proses metakognisis:


"TAHU YANG KAMU TAHU, DAN TAHU YANG KAMU TIDAK TAHU" ("Know that you know and know that you do not know")


John Flavell (1976) mula memperkenalkan istilah metakognisi yang ditafsirkan sebagai "pengetahuan seseorang tentang proses kognitifnya". Dia membahagikan metakognisi kepada 3 variabel:


1) VARIABEL INDIVIDU - mengetahui bahawa kita semua adalah organisme kognitif atau pemikir; iaitu, segala tindak-tanduk kita adalah akhibat daripada cara kita berfikir. Variabel Individu dibahagikan kepada:
a) Variabel intra-individu
Apa yang berlaku dalam seseorang.
m.s. mengetahui bahawa anda lebih dalam
mata pelajaran matematik berbanding
dengan mata pelajaran sejarah.


b) Variabel antara-individu
Dapat membanding & membeza antara kebolehan kognitif orang lain.
m.s. mengetahui guru lebih lebih cekap
dalam Bahasa Inggeris berbanding dengan
anda.


c) Variabel universal
Pengetahuan yang diperolehi daripada budaya sendiri.
m.s. mengetahui bahawa sebagai manusia
kita melakukan kesilapan, mula-mula kita
faham apa yang disebut & lama kelamaan
kita sedar kita tak faham pula.


2) VARIABEL TUGAS - mengetahui keperluan, kesan dan kekangan sesuatu tugas kognitif. m.s. sekiranya maklumat yang disampaikan oleh pensyarah adalah sukar dan tidak akan diulangi, kamu tentu akan memberi lebih perhatian dan mendengar dengan memproses maklumat itu dengan lebih teliti.


3) VARIABEL STRATEGI - pengetahuan tentang bagaimana melakukan sesuatu atau mengatasi kesulitan yang timbul, iaitu, bagaimana mencapai matlamat. Kamu tahu melakukan 'pemantauan kognitif' ('cognitive monitoring').




Kaedah Peningkatan Kebolehan Metakognitif


5. Refleksi
4. Aplikasi
3. Demonstrasi
2. Ajar
1. Kenalan
1. KENALAN
KENALAN
- Nyatakan objektif untuk dipelajari
- Berikan nama atau label kemahiran kognitif
- Berikan sinonim/ perkataan sama maksud
- Cara kemahiran kognitif digunakan
- Jelaskan mengapakah kemahiran itu harus dipelajari


AJAR
- Nayatakan prosedur kemahiran berkenaan dengan memberi urutan langkah-langkah dan apa yang dilakukan pada setiap langkah & mengapa
- Tunjukkan bagaimana kemahiran itu dapat dimulakam
- Nyatakan peraturan-peraturan utama dan perkara yang perlu diketahui mengenai kemahiran itu
- Bincangkan rintangan-rintangan yang mungkin timbul & cara mengatasinya


DEMONSTRASI / 'MODELING'
- Tunjukkan bagaimana sesuatu kemahiran itu digunakan dengan merujuk kepada contoh tertentu berdasarkan prosedur yang dibincangkan
- Laporkan apa yang berlaku dalam monda kamu semasa terlibat dengan kemahiran berkenaan ('think aloud')
- Terangkan bagaimana kamu mengatasi halangan-halangan yang dihadapi


APLIKASI
- Pelajar diberi tugas dan mengaplikasi kemahiran berkenaan
- Pelajar-pelajar menyemak proses kemahiran itu digunakan antara mereka dengan sendiri


REFLEKSI
- Pengajara dan pelajar berfikir tentang kemahiran yang digunakan












Rujukan:
Metacognition: An Overview
J.L. Livingston


Metacognition:Definition & Empirical Foundation
D.J. Hacker, University of Memphis.


Metacognitive Strategies for Helping Poor Readers in the Content Areas
J.A.Phillips (1992). Malaysian Journal of Reading. vol. 1. 11-17.

Jumaat, 27 November 2009

Budak dan Jenayah




5 punca budak lakukan jenayah

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Nasional/20050905235837/Article/

KUALA LUMPUR: Lima aspek personaliti dikenal pasti punca utama jenayah membabitkan kanak-kanak berusia antara 7 hingga 12 tahun yang semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

Kajian seorang pensyarah dan pelajar peringkat kedoktoran Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama dua tahun membabitkan kanak-kanak dari rumah kebajikan di seluruh negara, mendapati lima kelakuan itu dipengaruhi pelbagai konflik dalaman membabitkan institusi kekeluargaan dan pendidikan.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia UKM, Dr Khaidzir Ismail berkata, menerusi kajian mereka itu, kebanyakan pelaku jenayah juvana itu mempunyai latar
belakang akademik rendah kerana golongan berkenaan tidak mampu memproses maklumat yang diterima untuk digunakan bagi tujuan berfaedah.

“Golongan ini dikenali sebagai ‘Gangguan Memproses Maklumat’ (Information Processing Disorder atau IPD) kerana keupayaan mereka memproses maklumat sangat rendah, seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan,” katanya.

Selain itu, katanya personaliti tidak matang itu juga diwarisi daripada ibu bapa kerana didikan keluarga yang kurang sempurna dan kepincangan institusi berkenaan menjadi salah satu faktor perlakuan jenayah terjadi di kalangan kanak-kanak.

Katanya, melalui Kajian Kanak-Kanak Resilience itu mendapati kanak-kanak yang kerap melakukan jenayah seumpama itu hadir dari keluarga yang bukan saja mempunyai masalah kendiri, malah menghadapi konflik kewangan.

Golongan itu juga katanya tidak mampu berkomunikasi dengan baik dan mempunyai hubungan kemanusiaan yang lemah kerana tidak cenderung berfikir secara kritikal serta berbual mengenai perkara sihat dengan orang yang lebih matang.

Semalam, akhbar ini melaporkan, kenakalan kanak-kanak yang semakin melampau sejak akhir-akhir ini, antaranya perlakuan jenayah seperti membakar bas, menceroboh pejabat dan mencuri serta menjadikan pemandu teksi dan kedai internet sebagai sasaran rompakan.

Memeranjatkan, jenayah seumpama itu membabitkan kanak-kanak seawal 9 tahun berikutan naluri mereka untuk menjadi ‘hero’ dan dipandang tinggi kerana mampu menyahut cabaran.

Khaidzir berkata, selain itu golongan terbabit juga dikenal pasti tidak mahir dalam menyelesaikan masalah serta keliru ketika membuat keputusan kerana mereka tidak boleh membezakan sama ada sesuatu perkara itu baik atau sebaliknya.

“Apa yang menyebabkan golongan ini cenderung melakukan jenayah adalah pengaruh rakan dan budaya cabar mencabar untuk menguji ‘kehebatan’ masing-masing,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim, berkata walaupun jumlah kanak-kanak terutama di peringkat sekolah rendah yang terbabit dalam kejadian jenayah adalah kecil, tetapi kementerian tetap menganggap ia serius kerana membabitkan kepentingan umum dan masa depan negara.

“Kementerian akan terus berusaha untuk memastikan kawasan sekolah bebas daripada sebarang kegiatan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Inovasi dan Kualiti sempena Minggu Kualiti Kementerian Pelajaran 2005, di sini semalam.





Kenakalan budak melampau:
Polis cadang kajian ilmiah kenal pasti punca kanak-kanak terbabit jenayah

Oleh Azmi Md Deros, Johari Ibrahim, Veena Rusli dan Mohd Azis Ngah

KUALA LUMPUR: Jenayah membabitkan kanak-kanak, yang terbaru tiga kanak-kanak berusia 9, 10, dan 11 tahun ditahan kerana disyaki membakar sebuah bas sekolah di Langkawi, menunjukkan aliran membimbangkan.

Dalam kejadian di Kuah kelmarin, tiga kanak-kanak itu disyaki membakar bas sekolah milik Ean Joo Bus Transport Services Sdn Bhd (EJBS) mengakibatkan kerugian RM150,000, jam 3 petang.

Siasatan awal polis mendapati kebakaran itu ada unsur khianat dan ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Fauzi Saari, yang yang diajukan soalan mengenai aliran ini, mencadangkan satu kajian ilmiah dilakukan bagi mengenal pasti puncanya serta dijadikan asas mencari penyelesaian.

Beliau memberitahu Berita Harian, pembabitan kanak-kanak dalam jenayah sememangnya membimbangkan kerana mereka terlalu mentah dan sepatutnya tidak terbabit dalam jenayah.

Sambil menyatakan rasa terkejut kerana kanak-kanak sudah terjebak dalam jenayah, Mohd Fauzi berkata kajian ilmiah itu harus merangkumi semua pihak.

“Banyak faktor boleh dikaitkan dengan pembabitan kanak-kanak dalam kes jenayah. Antaranya kawalan yang terlalu longgar dalam institusi kekeluargaan, manakala masyarakat pula kurang memberi perhatian terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka di samping pengaruh luar.

“Kita perlu lakukan sesuatu untuk mengenal pasti puncanya dan mencari penyelesaian bagi mengelak keadaan menjadi lebih parah,” katanya.

Beliau berkata, jika tidak ditangani dari awal, tabiat kanak-kanak yang melakukan jenayah akan terbawa-bawa sehingga mereka menjadi dewasa serta menyukarkan usaha pemulihan.

Rabu lalu, seorang murid berusia 12 tahun di Kampung Pinang Tunggal, Jalan Klang Lama, di sini, ditahan polis, iaitu kali ketujuh kerana memecah masuk dan mencuri di sebuah pejabat.

Jenayah itu dilakukan bersama tiga rakannya yang masing-masing berusia 13, 15 dan 16 tahun. Budak 12 tahun itu mengaku terjebak jenayah sejak berusia sembilan tahun.

Julai lalu, polis Brickfields menumpaskan `Geng Batman’ dianggotai empat bekas pelajar sekolah berusia lingkungan 15 tahun, yang menjadikan pemandu teksi dan kedai internet sebagai sasaran.

Jun tahun lalu pula, polis Putrajaya menahan dua pelajar lelaki berusia 13 dan 15 tahun kerana mencuri pelbagai peralatan dan barangan kemas bernilai kira-kira RM5,000 di Presint 11.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof Datuk Hamdan Adnan, berkata peningkatan jenayah kanak-kanak boleh mencetuskan aliran negatif dalam masyarakat.

“Ini bukan setakat soal jenayah, banyak isu berkaitan perlu diambil kira termasuk soal pemulihan kanak-kanak selepas ditangkap. Mereka yang ditahan perlu dipantau dan tidak ditempatkan bersama pesalah jenayah dewasa dalam lokap. Jika itu tidak dilakukan, usaha memulihkan mereka akan gagal.

“Kita bimbang senario ini jika tidak dikawal akan menjadi satu kebiasaan yang akan membawa kemudaratan kepada bangsa,” katanya.



Interaksi: Jenayah kanak-kanak bukan isu terpencil

Bersama M Thillinadan
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Rencana/20050906231521/Article/

PENDEDAHAN Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) mengenai 20,000 pelajar terbabit dalam jenayah atau salah laku disiplin bukan saja mengejutkan, malah menimbulkan pelbagai persoalan.

Di mana kelemahannya apabila dua peratus pelajar kita dikaitkan dengan jenayah dan masalah disiplin. Ramai menyalahkan ibu bapa dan keruntuhan institusi keluarga, tidak kurang juga menuding jari ke arah Kementerian Pelajaran dengan dakwaan pelbagai kecacatan, malah pengaruh televisyen juga dikatakan turut menyumbang.

Penahanan tiga kanak-kanak berusia 9, 10, 11 tahun di Kuah, Langkawi, Sabtu lalu, kerana disyaki membakar bas sekolah serta kes seorang budak 12 tahun yang ditangkap polis kali ketujuh Rabu minggu lalu, mengaku dia mula mendekati jenayah ketika usia 9 tahun, bukan lagi kes terpencil.

Pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar, 2,562 pelajar ditahan pada 2003 kerana terbabit 1,429 kes jenayah dan 2,710 lagi dalam 1,499 kes pada 2004, adalah bukti kes jenayah membabitkan pelajar mula meningkat.

Jika dilihat senario sejak setahun lalu dan kejayaan membanteras ‘Geng Batman’ dan ‘Geng Spiderman’ yang dianggotai pelajar serta berpuluh-puluh lagi kes curi motosikal dan pecah rumah, sudah ada tanda jenayah kanak-kanak menjadi satu arah aliran yang membimbangkan.

Kita tidak mahu tragedi di Sekolah Tinggi Columbine, Amerika Syarikat pada 1999 apabila seorang pelajar menembak mati 13 rakannya, kes Jamie Rouse, 17, menembak dua guru di Tennessee, Barry Loukaitis, 14, di Washington yang menembak mati beberapa rakan dan gurunya atau David Dubose Jr, 16, membunuh seorang guru di Atlanta, berlaku di negara ini.

Kerajaan sudah tidak ada pilihan. Sesuatu yang drastik perlu dilakukan bagi memastikan kanak-kanak dan pelajar kita tidak menjadi Rouse, Loukaitis dan Dubose. Kita tidak boleh terus bercakap dengan menyalahkan ibu bapa, sekolah atau polis. Kita kena buat lebih daripada itu.

Bukan setakat itu, kerajaan juga perlu memikirkan kaedah terbaik untuk merawat dan memulih penjenayah kanak-kanak ini dan bukannya memasukkan mereka ke dalam lokap atau penjara kerana ia hanya memburukkan keadaan, malah akan menjadikan mereka penjenayah lebih berbahaya apabila keluar penjara.

Cadangan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Fauzi Saari, supaya satu kajian ilmiah harus dilakukan segera, perlu dipandang serius. Ia bukan setakat tugas kerajaan, tetapi perlu disertai semua pihak yang berkepentingan supaya ia menjadi model jangka panjang untuk mengenal pasti punca aliran ini dan mencari penyelesaian muktamad.

Masa depan negara terletak di bahu generasi muda. Kita tidak boleh abaikan mereka atau memandang kes seperti di Kuah sebagai terpencil lagi. Benteng perlu diteguhkan dan ia perlu dibina segera.





Jenayah juvana membimbangkan

Oleh Fadzlena Jafar

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Keluarga/20050907084158/Article/



Keganasan membabitkan kanak-kanak adalah luahan hati yang memberontak

KISAH remaja yang didapati bersalah kerana cuba menyebabkan kematian isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Meranti, Wan Nor Hanita Wan Yaacob, 36, dan anak keenamnya, Norhanan, berusia tiga tahun dua bulan, ternyata membuka mata semua pihak.

Bayangkan pada usia begitu muda, remaja berkenaan hampir terbabit dalam jenayah berat yang boleh membawa hukuman mandatori jika disabitkan bersalah. Namun, remaja berumur 15 tahun itu bernasib baik apabila Mahkamah Kanak-Kanak memerintahkan beliau dihantar ke pusat pemulihan akhlak Sekolah Henry Gurney di Melaka selama tiga tahun.

Terbaru, kisah tiga kanak-kanak berusia 9, 10 dan 11 di Kuah membakar bas sekolah sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM150,000. Tindakan mereka itu bukan saja memeranjatkan masyarakat, bahkan membuka mata pelbagai pihak sehingga mengundang saranan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Fauzi Saari supaya kajian ilmiah dijalankan bagi mengenal pasti permasalahan yang membelenggu kanak-kanak hari ini.

Perangkaan kes juvana bersalah Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan setiap tahun jumlah pesalah remaja yang terbabit dalam pelbagai kesalahan cukup membimbangkan. Meskipun kes yang dilaporkan berkurangan kepada 4,998 pada 2003 berbanding 5,319 pada 2002, jumlah berkenaan perlu diberi perhatian serius memandangkan begitu ramai remaja yang sudah terbabit dalam jenayah pada usia setahun jagung.

Persoalannya kini, bagaimanakah seorang remaja yang baru hendak mengenal erti hidup boleh terjebak dalam jenayah sebegitu? Siapakah yang bersalah apabila remaja yang sepatutnya masih di bawah jagaan ibu bapa menjadi insan yang ganas dan menakutkan?

Pegawai Pembangunan Masyarakat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Rusniyati Omar, berkata hasil kajian secara rambang yang dijalankan menunjukkan kurang kasih sayang daripada ibu bapa dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada permasalahan berkenaan.

"Sejak akhir-akhir ini, akhbar melaporkan pelbagai kepincangan masyarakat khususnya mengenai remaja. Malangnya, masyarakat terus meletakkan kesalahan di bahu mereka, malah ibu bapa juga seolah-olah membuang mereka tanpa memberi ruang kepada remaja ini untuk kembali ke pangkal jalan.

"Hasil temubual bersama remaja yang bermasalah ini, rata-rata mengakui kurang perhatian ibu bapa membuatkan mereka rasa terpinggir. Jadi, jiwa remaja mereka memberontak dan tersilap langkah hanyutlah mereka. Sedangkan itulah cara untuk mereka menarik perhatian ibu bapa," katanya ketika ditemui di seminar pembangunan keluarga bertajuk Integriti Rumah Tangga Tanggungjawab Bersama, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar sehari anjuran LPPKN itu bertujuan menyediakan bakal ibu bapa dengan ilmu keibubapaan dan pada masa sama melengkapkan ibu bapa sedia ada dengan cara menangani pelbagai permasalahan remaja hari ini.

Dalam hubungan ini, beliau berkata, ibu bapa perlu menyedari bahawa perkembangan anak sebenarnya banyak dipengaruhi oleh cara mereka mendidik anak berkenaan sejak kecil lagi, selain pengaruh luaran seperti pendedahan kepada media dan juga rakan sebaya.

Gaya keibubapaan yang dikenal pasti terbahagi kepada tiga, iaitu autoritatif, autoritarian dan permisif. Autoritatif adalah ibu bapa yang cenderung mengenakan peraturan tetapi pada masa sama mereka bersikap terbuka dan boleh bertolak ansur dengan anak, manakala autoritarian pula turut mempunyai peraturan tetapi tiada budi bicara atau mengamalkan kuasa veto.

Lazimnya, anak yang dibesarkan ibu bapa autoritatif akan lebih bersikap terbuka dalam pergaulan mereka dan membesar dengan normal, tetapi jika mempunyai ibu bapa yang autoritarian, kesannya mereka akan menjadi rendah diri kerana tiada keberanian untuk menyuarakan pandangan.

Gaya permisif pula adalah lawan kepada autoritarian yang mana ibu bapa langsung tiada peraturan dan membiarkan anak mereka melakukan apa saja. Anak yang dibesarkan dalam suasana ini akan merasa tidak dihargai ibu bapa dan lebih mudah memberontak.

"Kebanyakan kanak-kanak bermasalah terutama yang masuk ke pusat pemulihan dibesarkan oleh ibu bapa yang bersikap autoritarian dan permisif. Ibu bapa yang autoritarian langsung tidak hendak mendengar alasan anak, jadi kanak-kanak itu membesar dengan sentiasa rasa takut untuk bersuara, tetapi apabila berada di luar rumah mereka akan menjadi insan lain yang ganas dan bermasalah.

"Ibu bapa permisif pula menyebabkan anak lepas laku tanpa menghiraukan kegiatan si anak tadi, dengan siapa mereka bergaul atau apa yang mereka lakukan. Ini membuatkan mereka bagaikan tidak mempunyai peluang untuk memainkan peranan dalam keluarga, jadi mereka tidak berkembang secara sihat," katanya.

Sehubungan itu, Rusniyati berkata, setiap ibu bapa perlu dilengkapkan dengan ilmu keibubapaan yang betul supaya dapat membesarkan anak secara lebih positif. Untuk itu, ibu bapa seharusnya mempunyai strategi mendisplinkan keluarganya bermula dengan tahap perkembangan terutama ketika si kecil memasuki alam pra sekolah.

Ketika itu, katanya, kanak-kanak akan menjadikan ibu bapa sebagai contoh dan gemar meniru perlakuan ibu bapa. Oleh itu, sebagai orang yang lebih dewasa ibu bapa perlu memberi latihan kepada anak bagaimana untuk bertingkah laku dengan cara yang betul.

Langkah kedua ialah pencegahan yang mana ibu bapa perlu sepakat dalam sebarang keputusan dan tindakan yang diambil. Langkah ini sangat penting bagi mengelakkan si kecil terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih tidak terlambat bagi ibu bapa untuk memperbetulkan keadaan sekiranya anak mereka sudah terbabit dalam kegiatan negatif, lebih-lebih lagi apabila kesalahan yang dilakukan masih berada pada tahap awal.

"Pemulihan adalah langkah yang tidak kurang pentingnya. Kita semua pernah membuat kesilapan, sebagai ibu bapa kitalah yang sepatutnya memperbetulkan salah laku anak kita.
Jadi, kita perlu sentiasa peka dengan apa yang dilakukan anak tadi. Kalau anda tahu yang anak tadi sudah melakukan kesalahan, jangan tunggu lama sehingga melarat.

"Yang penting, kita kena jelaskan kepadanya apakah kesalahan yang dilakukan dan kalau perlu dikenakan hukuman, buatlah tetapi bukan dengan cara fizikal seperti pukul atau yang seumpama dengannya. Biarlah hukuman itu dapat membuatkan dia faham akan kesalahannya," katanya.





 

Fahami fikiran anak apabila mendidik

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Keluarga/20050908092305/Article/





MENDIDIK anak perlu bersandarkan pengetahuan, kerana meniru didikan dari keluarga yang kita anggap cemerlang semata-mata tanpa menyesuaikan dengan keluarga serta kemampuan diri, anda hanya dianggap sebagai ibu bapa yang tidak berpendirian.

Didikan awal kanak-kanak amatlah penting kerana ia membawa kepada corak peribadinya pada masa depan. Mustahaknya aspek itu menyebabkan Islam amat menitikberatkan didikan anak-anak dan menggalakkan ibu bapa melalui kehidupan yang sempurna.

Malah Imam Al-Ghazali pernah menyatakan: “Hendaknya anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap hidup, sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri daripada keadaan sesak itu.”

Dalam hal ini, biarlah anak kecil bebas melakukan apa yang mereka suka, asalkan tidak memudaratkan diri dan orang lain serta berfaedah untuknya, namun kegiatan itu perlu dipastikan agar tidak melanggar syariat Islam. Malangnya, segelintir ibu bapa hari ini masih kurang memahami aspek didikan menjadikan anak keliru mengenai kewujudan dirinya dalam keluarga.

Pakar Psikiatrik Kanak-kanak dan Remaja, Hospital Selayang, Dr Fauzi Ismail berkata, beberapa ciri keibubapaan yang dikenal pasti diamalkan hari ini ialah mengarah, menyekat, membenarkan dan mendidik.

Jelasnya, ibu bapa yang mengarah selalunya berpunca dari ibu bapa yang tidak bersedia menimbang anak menyebabkan kehadiran mereka dianggap tidak penting, sementara ibu bapa yang gemar menyekat cenderung mengongkong apa yang dilakukan anak hingga menyebabkan segala tindakan dilakukan anak-anak, semuanya tidak betul malah mudah menghukum.

Keibubapaan yang membenarkan pula turut menimbulkan kemudaratan apabila membenarkan segala tindakan anak tanpa berfikir panjang sama ada sesuatu tindakan dilakukan itu baik atau sebaliknya. Keibubapaan yang terbaik ialah membimbing dan memberikan tunjuk ajar, menghukum apabila silap tetapi memberikan kebebasan apabila perlu.

“Didikan dianggap aspek paling penting kerana ia adalah corak awal membentuk keperibadian mereka yang dibawa sehingga ke dewasa. Selalu orang berkata, ‘alah...budak-budak, biasalah kena marah kalau tidak mereka tidak belajar.’ Sebenarnya, kanak-kanak boleh dimarah tetapi marah pun perlu diiringi kemahiran kerana jangan sampai anak menyangka ibu bapa marah kerana membencinya, bukan marah kerana ingin memperbetulkan kesilapannya.

“Walaupun segelintir anak, secara luarannya nampak selamba dan tidak kisah bila dimarah tetapi jangan terkejut kerana ada segelintir yang menyimpan dendam, menyimpan pemikiran ibu bapa membencinya hingga menyebabkan apabila dewasa, mereka enggan berjumpa ibu bapanya sendiri,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Menjadi Ibu Bapa Yang Baik pada Seminar Ke Arah Menjadi Ibu Bapa dan Guru Mithali baru-baru ini.

Seminar sehari itu anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (1) Sultan Alam Shah, Petaling Jaya dan program Positive Parenting, Persatuan Pediatrik Malaysia.

Beliau berkata, didikan yang kurang sempurna boleh memberi kesan kepada anak membabitkan keyakinan diri yang rendah menyebabkan selalu ketinggalan di dalam kelas dan mempunyai masalah disiplin.

Sebaliknya didikan sempurna mampu merapatkan hubungan kekeluargaan serta melahirkan anak yang ceria dan cemerlang, serta yakin terhadap kemampuan diri kerana sering di berikan sokongan moral.

“Ibu bapa selalu tersalah anggap menyatakan anak tidak memahami apa yang mereka lalui hingga menyebabkan mereka cenderung menipu. Sebagai contoh andai seorang ibu menitiskan air mata kerana dikasari suami, anda boleh katakan ‘Mak menangis sebab dimarahi suami,’ Kenyataan itu sudah cukup walaupun tidak menerangkan sebab dimarah, tetapi yang paling penting, jangan menipu.
Jangan menitipkan elemen menipu dalam keluarga kerana kesannya buruk sekali,” katanya.

Selain aspek didikan, apa yang dipertontonkan anak turut mempengaruhi mereka seperti televisyen dan komputer. Kotak hiburan itu sebenarnya mampu dikawal ibu bapa asalkan mereka mengambil berat apa yang dipertontonkan anak membabitkan bahan yang ditonton serta jumlah masa yang diberikan.

“Program bercorak hiburan dan keseronokan semata-mata tanpa menyisipkan elemen ilmu hanya membuang masa. Program seperti realti TV yang semakin digilai kini juga harus dperhalusi kerana bukan semua yang dilihat mendatangkan manfaat. Namun dalam mendidik anak-anak ibu bapa seharusnya juga mencermin diri sendiri. Andai anak dilarang menonton terlalu lama, ibu bapa juga seharusnya mengehadkan masa menonton. Jangan menjadi mangsa TV.

“Ibu bapa perlu sedar andai mereka ingin membentuk anak menjadi sempurna, ia perlu dimulakan dari dalam diri sendiri. Berkasih sayanglah sesama sendiri kerana kasih sayang itu mampu diluahkan dan diterapkan dalam diri anak-anak,” katanya.

FAKTA
Mendidik anak

  Kurangkan hukuman fizikal kerana ia hanya menyakitkan, tetapi kurang berkesan mendidik. Andai anak melakukan kesilapan yang perlu diberikan denda, jelaskan erti kesilapan mereka dan kenapa denda itu perlu dilakukan, seperti “Kita mempunyai undang-undang dalam keluarga yang tidak membenarkan pulang lewat dari jam tujuh malam, dan ia perlu dipatuhi...” dan anak-anak akan menerima kesilapan itu kerana ia sudah tahu melanggar peraturan dengan pulang pada jam 10 malam.
  Hukuman boleh dikenakan kepada anak-anak sebagai pengajaran tetapi beberapa perkara perlu diambil kira iaitu jangan marah ketika kita berada dalam keadaan marah; mengherdik mereka di hadapan orang ramai atau kawan-kawannya; jangan marahkan mereka kerana dirinya sebaliknya atas kesalahan yang dilakukan.
  Ibu bapa jangan terlalu berharap mendapat anak yang sempurna dari segala segi kerana adalah sesuatu yang biasa andai melakukan kesilapan apatah lagi memang manusia tidak sempurna. Ia amat bergantung kepada sejauh mana kemampuan ibu bapa itu sendiri.
  Matlamat disiplin ialah untuk mengawal dan membentuk peribadi anak dengan sempurna. Ada ibu bapa yang gembira andai mampu menjadikan anak bagai ‘alat kawalan jauh’ tetapi pernahkah kita terfikir adakah itu yang kita mahukan sedangkan anak mengikut kerana takut, bukan hormat?





Khamis, 8 Oktober 2009

KAEDAH MENGAJAR BAHASA ARAB



KAEDAH MENGAJAR BAHASA ARAB
OLEH:
KAMARUDIN BIN JAFFAR

KANDUNGAN


Pengenalan

Di dalam mengkaji dan menganalisis pelbagai dimensi proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah berdasarkan rujukan-rujukan, beberapa istilah khusus banyak diguna pakai bagi tujuan pemahaman kepada unsur-unsur dan proses pelaksnaan pengajaran tersebut. Antaranya ialah istilah pendekatan, kaedah, teknik, strategi dan aktiviti. Pemahaman terhadap setiap unsur tersebut adalah amat penting bagi memastikan seseorang guru itu mengetahui dan memahami apa yang dilakukannya dan bagaimana untuk mencapai objektif sesuatu pengajaran dan seterusnya mencapai matlamat pendidikan yang dirancang.

Konsep Pendekatan.
Pendekatan merujuk kepada cara bagaimana untuk medekati sesuatu. Dalam konteks pengajaran, pendekatan lebih menjurus kepada pencapaian objektif jangka panjang sesuatu pelajaran itu. Daripada sudut ini, beberapa teori asas dalam pendididkan diguna pakai khususnya yang berkaitan dengan psikologi serta sifat semulajadi seseorang pelajar. Teori-teori tersebut yang didokong dan diamalkan secara berterusan akan menjadi pegangan para guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pendekatan-pendekatan yang digunakan ini adalah lazimnya berdasar kepada teori-teori pendidikan yang dipelopori oleh tokoh tertentu dalam bidang psikologi dan pendidikan seperti Thorndike, Pavlov, Maslow , Skinner, Gestalt dan lain-lain lagi. Contohnya, Pendekatan Induktif dalam pengajaran adalah berdasarkan Model Pemikiran Induktif yang dicetuskan oleh Hilda Taba.
Model ini, umpamanya memberi penekanan kepada pembentukan konsep ,intrepetasi data serta aplikasi prinsip. Justeru itu, sesuatu pendekatan yang digunakan adalah bersifat aksiomatik atau dianggap betul sekalipun tanpa bukti tambahan sokongan.
Bagi tujuan mencapai objektif jangka panjang berdasarkan pendekatan tertentu inilah, maka pelbagai strategi pengajaran diperlukan termasuk kaedah yang diguna pakai, teknik dan aktiviti yang dirancang.
Sementara itu juga, konsep pendekatan menurut Edward M. Anthony boleh dirumus kepada satu set andaian yang saling berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik iaitu kenyataanya adalah dianggap benar tanpa memerlukan sebarang bukti atau alasan..Beliau juga merumuskan pendekatan harus berlandaskan model, prinsip atau teori pembelajaran tertentu.
Pendek kata , pendekatan dalam bidang pendidikan merujuk kepada satu set teori pembelajaran yang beraksiomatik dan diamalkan dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran berdasarkan objektifnya.
Di dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam , sesuatu pendekatan itu wujud berasakan tanggapan-tanggapan dan pandangan yang berasaskan kepada falsafah pendidikan Islam itu sendiri.Ia menghuraikan sifat sesuatu mata pelajaran itu sendiri, selain pandangan, pendapat dan interpetasi terhadap falsafah pendidikan Islam.Ia juga tidak bergantung kepada pembuktian yang mutlak.
Pendekatan dalam pendidikan Islam haruslah mencerminkan satu pandangan tentang hakikat satu matlamat pelajaran.

Konsep Strategi
Strategi merujuk kepada kemampuan dan kebijaksanaan dalam memilih pendekatan serta perancangan teknik untuk mencapai sesuatu objektif. Dalam konteks pendidikan , terdapat beberapa elemen yang mempengaruhi strategi sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran iaitu kelas yang terlibat, kaedah yang diguna pakai oleh guru, alat-alat bantu pengajaran, pengetahuan sedia ada murid serta kepakaran guru terbabit.

Konsep Kaedah
Kaedah merupakan satu tindakan atau beberapa jenis tindakan yang bersistem, tersusun dan spesifik untuk mencapai sesuatu objektif jangka masa pendek. Terdapat banyak kaedah yang popular diamalkan dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya
untuk pembelajaran bahasa seperti kaedah penyelidikan, kaedah sokratik dan kaedah projek.

Konsep Teknik
Teknik pula adalah unit-unit kecil yang terkandung di dalam kaedah atau tingkah laku guru tersebut. Sesuatu teknik dapat dikenal pasti melalui 3 aspek tingkahlaku guru iaitu aktiviti yang dijalankan, perlakuan guru itu sendiri serta kemahiran yang ada padanya.
Sebagai contoh, dalam kaedah bercerita, seseorang guru itu mungkin menggunakan teknik menimbulkan minat sebagai motivasi dan daya tarikan terhadap isi pelajaran atau teknik menyoal yang sering digunakan dalam aspek kefahaman.
Selain itu, banyak lagi jenis teknik yang baik dan sesuai diguna pakai untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa arab seperti hafazan dan latih tubi, tunjuk cara , syarahan, soal jawab dan bercerita.
Pemilihan teknik yang sesuai juga berkait rapat dengan tahap atau aras kemahiran objektif pelajaran. Jadual berikut menunjukkan hubungan antara aras sesuatu kemahiran yang disesuaikan dengan teknik mengajar.

Aras kemahiran Teknik mengajar
Pengetahuan Latih tubi dan hafazan
Kefahaman Syarahan
Aplikasi Tunjuk cara atau demonstrasi
Analisis Penyoalan
Sintesis Perbincangan
Penilaian Sumbangsaran
Konsep Aktiviti
Aktiviti pula adalah gabungan gerak kerja atau tindakan guru dan murid dalam pengajaran dan pembelajaran untuk mencapai objektif yang ditentukan.

Secara kesimpulannya, hubungkait antara pendekatan ,strategi, kaedah dan aktiviti dapat dilihat berdasarkan rajah berikut :

Kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab.

Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini bahawa terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan dengan sistematik bagi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.Walaubagaimanapun , beberapa aspek penting perlu diambil kira dalam proses pembelajaran khususnya yang berkaitan dengan pendidikan Islam dan bahasa arab.
Antaranya ialah kesesuaian aktiviti yang terkandung di dalamnya serta penerapan aspek nilai. Ini kerana dalam falsafah pendidikan Islam, pencapaian sesorang murid itu bukan hanya diukur berdasarkan keupayaan menguasai maklumat dan isi pelajaran yang terkandung dalam sukatan pembelajaran sahaja, sebaliknya pembangunan nilai sahsiah dalam diri dan aplikasi moral terhadap persekitaran mengikut acuan pendidikan Islam juga menjadi kriteria terhadap pencapaian seseorang pelajar.
Oleh yang demikian, tidak semua kaedah adalah sesuai dalam konteks pendidikan bahasa arab yang amat berkait rapat dengan nilai tarbiah Islam.
Aspek sejarah metodologi pengajaran dan penyebaran ilmu dalam Islam juga perlu diambil kira. Persoalan apakah kaedah yang digunapakai oleh para ulama salaf tidak relevan dengan suasana sekarang harus diteliti secara saksama dan jujur.Begitu juga dengan persoalan setakat mana tahap istiqamah, konsistensi dan konsentrasi pelajar dalam mempelajari bahasa Arab samada di peringkat awal, pertengahan mahupun di peringkat tinggi.
Persoalan kesesuaian kaedah pembelajaran moden serta susun atur fizikal sesebuah kelas pendidikan bahasa Arab era hari ini juga harus dikupas dengan jelas.

Harus difahami bahawa mempelajari bahasa Arab jauh sekali perbezaannya dengan mempelajari bahasa Inggeris.Salah satu elemen yang penting untuk menguasai sesuatu bahasa itu ialah kemampuan bagaimana untuk berfikir dalam bahasa tersebut.
Antara beberapa kaedah yang sesuai digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab ialah :

1. Kaedah Tematik. (Tariqah Al Maudu’iyah)
Kaedah tematik bermaksud proses sesuatu pengajaran itu adalah berasaskan satu idea besar sebagai tema sebelum dikembangkan kepada beberapa langkah kecil.Contohnya, dalam minggu pembelajaran tersebut, tema utama yang dipilih ialah berkaitan keluarga. Dalam satu slot pengajaran , ia boleh dipelbagaikan seperti nama anggota keluarga, aktiviti keluarga, perbualan bersama keluarga dan sebagainya.Bagi satu tajuk seperti keluarga ini, semua cabang pembelajaran Bahasa Arab boleh dipraktikkan melaluinya samada dari segi nahu (tatabahasa), maqal (penulisan) atau muthola’ah.
Di samping itu ia juga boleh dikaitkan dengan kaedah-kaedah lain seperti perbualan dalam situasi keluarga atau rakan sebaya di sekolah.


2. Kaedah Mengeja (Tariqah Al Imla’iyah)
Kaedah ejaan atau imla’i ini berdasarkan catatan sejarah adalah bentuk penyebaran ilmu yang paling penting.kaeddah ini berlaku sesudah kertas dan tulisan dihasilkan.Ia merupakan kaedah kedua selepas kaedah hafalan yang dia amalkan dalam perkembangan ilmu dalam sejarah umat Islam.Berdasarkan kaedah ini, murid akan menulis setiap kalimah dan ayat yang diungkapkan oleh guru mereka.
Dalam sejarah Islam, kaedah ini berkait rapat dengan ijtihad para ulama. Para ulama meyampaikan pandangan dan ijtihad mereka dan disalin oleh murid-masing-masing. Proses ini agak merosot menjelang abad ke-4 hijrah disebabkan merosotnya gerakan ijtihad para ulama. Tempoh itu seiap mazhab hanya bersandar kepada bahan bacaan dan rujukan mazhab masing-masing atau melakukan ilhaq berdasakan kefahaman dan pandangan mazhab mereka.
Menjelang abad ke 9 hijrah Imam Ibnu Hajar kembali mengembangkan kaedah ini dengan mengadakan muhadarat atau kuliah beliau dalam hampir 1000 majlis dan seterusnya diikuti oleh Imam As Suyuthi dan Syeikh Murtadha al Zubaidy


3. Kaedah soal jawab (Tariqah Al Munazharah)
Kaedah soal jawab ini amat sesuai dan praktikal dalam konteks pembelajaran bahasa. Ini kerana dalan kaedah ini proses pembelajaran berlangsung dengan semua pihak memainkan peranan termasuk guru dan murid, Bermula dengan penyediaan teks perbualan yang mudah seperti ucapan aluan, terima kasih, bertanya nama atau bertanya khabar. Frasa-frasa ringkas ini mudah untuk diingat dan sesuai untuk dipraktikkan di luar bilik darjah sebagai pengayaan.
Walau bagaimanapun , setiap murid perlu memahami maksud setiap frasa bagi menyesuaikan dengan konteks perbualan dan kesesuaian penggunaannya.

4. Kaedah Latih Tubi (Tariqah al Mulazamah)
Kaedah latih tubi ini juga adalah bersesuaian dengan bentuk pembelajaran bahasa kerana kemahiran berbahasa perlu kepada proses mengulangi apa yang diperlajari, disebut atau ditulis.Di dalam Islam, kaedah ini antara bentuk pengajaran yang awal di mana Malaikat Jibril menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad dengan mengulangi kalimah Iqra beberapa kali sehinggalah Nabi Muhammad dapat menyebutnya.
Membaca berulang kali merupakan prinsip utama dalam pengajaran berbentuk latih tubi ini. Ia amat baik terutamanya bagu tujuan meningkatkan kemahiran lisan dan kemahiran membaca . Kaedah pembelajaran al Quran secara tradisional lazimnya menggunakan kaedah ini sejak zaman berzaman dan ia amat berkesan untuk jangka masa yang panjang di samping mengukuhkan penguiasaan tajwid dan dalam kontek bahasa Arab ia penting dalam menjelaskan aspek nahu secara terperinci mengikut tahap pembelajaran.

5. Kaedah Perbandingan (al Qiyasiyah)
Kaedah ini dimulakan dengan memperkenalkan prinsip asas dan umum sebelum di huaraikan dengan contoh-contoh serta perincian yang mendalam. Kaedah ini adalah kaedah lazim yang diguna pakai dalam sistem pembelajaran moden.
Sebagai contoh kaedah ini boleh diterapkan dalam pengajaran kaedah tatabahasa.
Guru akan menjelaskan tajuk pelajaran dan kaedah seperti hukum Jamak Taksir.
Sesudah memberi penjelasan berkenaan sifat jamak taksir dan bagaimana mengenalnya berdasarkan beberapa contoh, maka guru akan memberikan contoh tambahan untuk memudahkan murid dalam menghadapi latihan susulan.

6. Kaedah Induktif
Kaedah adalah berlawanan dengan kaedah perbandingan. Melalui kaedah ini , para pelajar didedahkan dengan pelbagai contoh dan situasi serta penghuraian sebelum pergi menuju konklusi dan kesimpulan atau merujuk sesuatu hukum.
Kaedah ini dapat mengalakkan murid untuk membuat kesimpulan dan rumusan sendiri sebelum dibandingkan dengan kesimpulan umum yang ditetapkan oleh guru. Kaedah ini banyak membantu murid untuk berfikir, merenung, menganalisa, dan berlatih membina kesimpulan dan prinsip
Contohnya dalam konteks pembelajaran bahasa Arab, kaedah ini turut sesuai dipraktikkan dalam pengajaran qawaid atau tatabahasa. Setelah diberikan contoh yang banyak dan murid membuat rumusan daripada apa yang boleh difaham berdasarkan contoh.

Rumusan
Kesimpulannya , dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran itu, langkah pemilihan kaedah, strategi, teknik dan pendekatan yang dipilih adalah penting dan menentukan sejauh mana objektif pengajaran dapat dicapai. Sebagai seorang guru yang mengajar bahasa asing , persediaan amat penting untuk berhadapan dengan pelajar terutamanya bagaimana untuk melatih mereka berfikir dan bekerjasama atau interaksi dalam bahasa tersebut.


BIBLIOGRAFI

Ahmad Mohd. Salleh , Pendidikan Islam, Falsafah, Pedagogi dan Methodologi, Fajar Bakti Sdn. Bhd, Shah Alam , 1997.

Ee Ah Meng, Pedagogi ll Pelaksanaan Pengajaran , Fajar Bakti Sdn. Bhd, Shah Alam , 1997 .

Mok Soon Sang & Lee Shok Mee, Pedagogi 3 ,Pengajaran dan Persediaan Mengajar, Bahagian A , Kumpulan Budiman Sdn Bhd. , Kuala Lumpur, 1991

Mok Soon Sang, Pedagogi 2 ,Pelaksanaan Pengajaran, Kumpulan Budiman Sdn Bhd., Kuala Lumpur 1996.

_________________, Pendedahan Kurikulum Semakan BAK & BAT , Unit Bahasa Arab
Bahagaian Kurikulum Pendididkan Islam Dan Moral, Jab. Pendididkan Islam Dan Moral, Kem. Pendidikan Malaysia.