Memaparkan catatan dengan label Tauhid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tauhid. Papar semua catatan

Jumaat, 8 Januari 2010


Soalan


Masalah murtad di malaysia,apakah peranan JAKIM dalam menangani isu ini dan cara terbaik bagi mengatasinya?


.


Jawapan
1) Jika seseorang itu murtad kerana aqidahnya sayugia jabatan yang berwajib memulihkan aqidah pesalah dengan terlebih dahulu menngasingkannya dan memberi bimbingan yang berterusan dengan masa yang secukupnya supaya pesalah dapat memahami kesilapannya atau kesalahannya. Sekiranya pesalah masih ingkar dan tidak menerima ajaran yang sebenar bolehlah dokenakan hukuman penjara dengan memberi bimbingan dengan tujuan memulihkan aqidahnya. Sekiranya masih lagi murtad terpulanglah kepada pihak berwajib untuk menjalankan hukuman yang sebenar iaitu hukuman bunuh.

2) Dalam menangani masalah ini, JAKIM dan semua Jabatan Agama Islam Negeri-negeri sentiasa memainkan peranan dalam mengatasi gejala sosial yang berlaku di Malaysia khususnya isu murtad. Diantaranya, JAKIM dan semua agensi kerajaan telah mengadakan beberapa program/taklimat isu semasa/ ajaran salah kepada masyarakat.

Jumaat, 4 Disember 2009

Alam Makhluk Halus (soal jawab)

Soalan 1


Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;
i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?
ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?
iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.
 Hamimah Abdullah
Banting, Selangor.


Jawapan
Puan,
Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu 'tidur bersama', mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.
Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.
Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin  bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa' - alamul khulud - yang bermula daripada kubur.
Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),"Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia."
Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.
Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51; yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.
Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.
Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.
Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa 'dia' adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.
Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.
Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42; yang bermaksud, "Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia."
Ayat al-Quran lain ada menyebut,"Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat."
Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).
Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.
Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.
Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh.
Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.
Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.
Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam.
Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut
tanasuthil arwah - reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.
Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.
Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.
Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia. Waallahu'alam.


Soalan 2

Ustaz, saya ingin bertanya perihal yang berkaitan dengan bunian. Perkara ini timbul dalam keluarga saya sendiri, iaitu mengenai adik perempuan saya yang berperangai agak aneh. Kami sekeluarga amat musykil apabila beliau menolak pinangan orang, sebaliknya mengaku sudah berkahwin dengan makhluk halus atau bunian.
1. Soalan saya, apakah perkahwinan antara manusia dengan jin boleh berlaku?
2. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut, sah atau tidak dari sisi Islam?

Halimatussaadiah
Bota, Perak


Jawapan 1
Puan,
Perkahwinan dalam erti kata yang kita fahami hari ini, tidur bersama selepas perkahwinan yang sah, memang berlaku di antara manusia dengan manusia sahaja seperti yang disebut oleh Allah S.W.T dalam Surah ar-Rum, ayat 21 (mahfumnya);
"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T, dijadikan bagi kamu (manusia) untuk pasanganmu dari jenis kamu juga (manusia), supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dianugerahkan kepada kamu kasih sayang dan rahmat dari Allah S.w.T."
Ayat ini menjelaskan bahawa pasangan hidup manusia dalam rumahtangga yang dirahmati Allah, adalah di antara manusia dengan manusia.
Mengenai dakwaan adik puan yang menyatakan bahawa dia telah berkahwin dengan jin. Pada saya hal ini memang boleh berlaku pada suatu kemungkinan (possibility).
Dalam sejarah sebagai contoh, berlaku kisah Puteri Balqis, Raja Perempuan di negeri Saba' (Yaman). Ada pendapat yang mengatakan bahawa, salah seorang daripada ibu bapanya adalah jin. Sama ada bapanya jin, ibunya manusia atau sebaliknya.
Hal ini saya dapati ada tercatat dalam Tafsir al-Qurtubi, juzuk yang kesepuluh halaman 289, ketika membuat tafsiran kepada Surah al-Isra' ayat 64, yang menyebut firman Allah bahawasanya jin akan berusaha keras memperdayakan manusia untuk menderhaka kepada Allah dengan berbagai-bagai cara.
Mereka menggunakan seni suara (nyanyian), tentera-tentera mereka digunakan, sehingga boleh bermusyarakah bersama untuk mendapatkan harta benda dan anak-anak milik bersama manusia hasil perkongsian dengan makhluk-makhluk halus ini. Disebut di antaranya, berlakulah perkahwinan tadi (ibu bapa Puteri Balqis).
Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.ha, Nabi pernah bersabda yang bermaksud, "Bahawasanya ada kalangan manusia ini yang akan menjadi mugharribeen, maka Aishah bertanya Nabi maksud mugharribuun itu? Maka Nabi bersabda yang bermaksud ialah mereka-mereka yang telah bermusyarakah dalam kehidupan rumahtangga dengan jin."
Daripada rujukan ini menunjukkan bahawasanya ada kemungkinan manusia itu mengahwini jin sama seperti apa yang didakwakan. Kerana makhluk ini, seperti disebut dalam beberapa hadis, mereka boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang diizinkan Allah kepada mereka menyerupainya. Tetapi dalam keadaan-keadaan yang amat sempit atau peluang yang mereka ada amat terhad, demi menjaga kemaslahatan anak Adam tidak terdedah dengan luas untuk ditanggung oleh makhluk-makhluk halus.
Penjelmaan mereka menjadi makhluk seperti manusia, disabitkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, iaitu kejadian pencurian harta zakat yang dikawal selia oleh Abu Hurairah, sehingga Abu Hurairah boleh menangkapnya dan dibawa kepada Rasulullah s.a.w untuk pendakwaan. Walaupun akhirnya jin tersebut dilepaskan tetapi Nabi telah menyatakan bahawasanya yang mencuri itu adalah syaitan.
Disabitkan juga bahawa penjelmaan jin itu wujud dalam bentuk yang jelas menyerupai manusia dalam peristiwa peperangan Badar seperti yang disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 87 (mahfumnya);
"Dan ketika dihiasi oleh syaitan kepada mereka, tentera Islam dengan katanya kepada mereka, kamu tidak dikalahkan oleh musuhmu oleh manusia dan saya adalah jiran kepada kamu yang akan membantu dalam peperangan ini. Maka apabila kedua-dua kumpulan (Islam dengan Kafir Jahilliyah) bersemuka untuk peperangan yang berjanji untuk menolong mereka orang-orang kuffar itu telah cabut lari mengatakan saya tidak lagi boleh bersama-sama dengan kamu kerana saya dapat melihat apa yang kamu tidak boleh lihat dan saya sesungguhnya amat takut kepada Allah dan Allah itu amat dahsyat keseksaan-Nya".
Ayat ini merujuk kepada adanya kepada satu makhluk yang menjelma sebagai manusia kununnya untuk membantu askar-askar musuh (kuffar) menentang Islam dan sabit bahawa makhluk itu bukan manusia, tetapi jelas mereka adalah syaitan.
Dengan demikian, jelaslah bahawasanya syaitan ini boleh menyerupai manusia dan dengan sendirinya boleh menjadi suami atau isteri kepada manusia.


Jawapan 2

Hukumnya adalah jelas, jumhurnya ulama sudah berijma' bahawa hukumnya (mengahwini jin) tidak sah! Tidak boleh perkahwinan manusia dengan jin dilakukan. Melainkan ada seorang ulama yang bernama Qamuli yang menyatakan perkahwinan tersebut boleh.
Namun saya berpegang kepada pandangan jumhur ulama bahawa hukum perkahwinan tersebut adalah tidak sah, kerana ianya menyalahi dengan ayat Surah ar-Rum yang disebut di atas. Perkahwinan antara manusia dengan jin tidak akan melahirkan ketenangan, kebahagiaan ataupun mendapat rahmat Allah S.W.T.
Perkahwinan yang tidak sah pada hukum syarak tidak mungkin dirahmati Allah dan tidak mendapat restu Allah. Tidak mungkin kebahagian dan ketenangan berlaku! Kita dapat merasakan jika berlaku suatu krisis rumahtangga dengan mereka (golongan jin), bagaimana rumahtangga boleh aman daripada gangguan mereka?
Malahan anak-anak yang mungkin lahir dari hubungan itu, akan menjadikan masalah kepada manusia, mereka tidak boleh bergaul dalam alam manusia dengan sanak saudara. Jika berlaku pula masalah dengan anak-anak jiran, maka ianya akan mengundang berbagai kecelakaan. Nasihat saya kepada keluarga puan, hindarilah hal-hal ini daripada berlaku. Wallahu a'lam.



Soalan 3
Saya pernah mendengar pertengkaran yang hebat di antara seorang yang berpendidikan tinggi dari Barat dengan seorang yang berpendidikan agama, tentang kepercayaan kepada makhluk halus seperti hantu, jembalang, toyol dan sebagainya. Apakah makhluk ini benar-benar wujud.
Masing-masing menegakkan hujah tanpa ada penyelesaian antara kedua-duanya. Apakah pandangan dan komen ustaz tentang perkara ini?


Jawapan
Persoalan seperti yang saudara kemukakan ini memang sering berlaku kepada masyarakat yang mempunyai latarbelakang kehidupan yang berasaskan kepada kebendaan (material) khasnya pengetahuan dalam sains moden yang segala-galanya merujuk kepada keterangan nyata bahawa sesuatu itu wujud jika dapat dilihat atau dirasa untuk meyakinkan mereka, jika tidak berlakulah penafian yang mutlak.
Persoalan ini merujuk kepada istilah, sama ada ia hantu, jembalang, toyol atau sebagainya. Saya cuba melihat perkara ini dengan lebih halus, dalam kamus Dewan yang menjadi rujukan kita sebagai contoh makhluk halus dirujuk sebagai hantu, bunian, jembalang, pontianak, langsuyar, pelesit dan sebagainya ruh jahat yang merasuk manusia dengan pelbagai kemudaratan yang menimpa manusia.
Semua ini adalah istilah-istilah yang terkenal dalam budaya masyarakat Melayu. Bagai masyarakat lain seperti Arab, mereka menggunakan istilah seperti al-jinn, jinni, jinnah, syaitan, iblis, ifrit dan sebagainya. Dalam kamus Arab yang terkenal seperti Al-Munjid ada Lisanul Arab, Mukhtar Assahah dan lain-lain menyatakan erti bagi istilah tadi adalah bermaksud, ruh-ruh kotor atau jahat yang melakukan kejahatan secara tersembunyi dan menakutkan anak-anak Adam berbagai-bagai cara.
Kedua-dua kamus Dewan dan Arab ini merujuk kepada istilah yang sama. Nama-nama yang terkenal dalam masyarakat Melayu tersebut sama dengan masyarakat Arab. Iaitu suatu makhluk yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, ataupun ia hanya boleh dilihat dalam keadaan tertentu sahaja.
Kalau kita lihat kepada al-Quran Karim dan hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w, kita akan menemui istilah yang sama.
Al-Quran menyebut syaitan atau syayateen, jin atau jinnah, qareen, iblis, ifrit dan sebagainya. Dalam hadis yang sahih kita akan berjumpa dengan istilah Ummu Sibyan, Khinzab, Aamir, Ammar, Alwalahan, Mukhannas dan Mukhannathuun. Semua istilah ini sama ada dalam al-Quran dan hadis merujuk kepada wujudnya makhluk-makhluk halus ataupun ruh-ruh jahat yang menganggu manusia dengan berbagai-bagai cara.
Malah dalam satu ayat Quran, begitu jelas Allah menyebut, misalnya dalam Surah al-Ahqaf, ayat 29, Allah berfirman yang mafhum, "Ketika Kami (Allah) menghadapkan kepada kamu (wahai Muhammad) beberapa jin untuk mendengar al-Quran pada Surah al-Jin."
Disebutkan juga dalam hadis yang sahih bahawa Rasulullah s.a.w telah bertemu dengan masyarakat jin untuk menjelaskan ayat-ayat al-Quran dan hadis Ibnu Abi Hatib, dari Mujahid bahawa Nabi s.a.w pergi bertemu dengan masyarakat jin untuk berdakwah.
Oleh yang demikian memang wujud dan wajib dipercayai ia benar-benar wujud. Pada pandangan saya yang membezakan hanyalah pada istilah atau terjemahannya sahaja, walhal ianya adalah makhluk yang sama.
Sama ada ia hantu, jembalang, jin tanah, pelesit, bunian dan sebagainya adalah makhluk halus yang wajib dipercayai wujudnya sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran.
Tidak mempercayai ayat al-Quran boleh membawa kepada kerosakan aqidah. Wallahu a'lam.



Soalan 4
Bolehkah makhluk-makhluk halus mendatangkan kesengsaraan kepada manusia seperti penyakit dan sebagainya?


Jawapan
Persoalan ini memerlukan kepada kesedaran asas bahawa alam ini tidak hanya didiami oleh manusia atau makhluk-makhluk zahir sahaja, malah Allah menjadikan alam ini sebagai tempat tinggal makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Yang nyata dalam Islam, kita disuruh melindungkan diri daripada syaitan sebagaimana doa yang selalu dibawa iaitu a'uzubillahi minnas syaitan nir rajim atau saya mohon perlindungan daripada Allah S.W.T daripada syaitan yang direjam.
Bagiamana mungkin Allah S.W.T meminta manusia memohon perlindungan dengan-Nya daripada sesuatu yang buruk berlaku.
Hatta, sering berlaku dalam mana-mana masyarakat di dunia ini berlaku gangguan ke atas manusia yang tidak diketahui puncanya, atau diketahui puncanya.
Untuk menjawab soalan ini, al-Quran sebagai contohnya, Surah as-Saad, ayat 41 (mahfumnya) "Dan ingatlah ketika hamba kami Nabi Ayub menyeru tuhannya mengadu sesungguhnya Allah, saya sedang disakiti oleh syaitan dengan berbagai-bagai dan azab sengsara."
Kisah Nabi Ayub yang telah menghadapi penyakit fizikal agak dahsyat ketika itu, berpunca daripada sentuhan atau penangan syaitan.
Dalam Surah al-Baqarah, ayat 102, ayat ini mengkisahkan tentang ilmu sihir yang diajarkan oleh syaitan kepada manusia. Di antara lain disebut, manusia mempelajari ilmu sihir daripada syaitan itu yang akan memudaratkan dan tidak memberi manfaat kepada mereka.
Dalam hadis sebagai contoh, Rasulullah s.a.w, dalam satu doanya, baginda menyebut suatu perkataan "memohon perlindungan dengan Allah daripada gangguan syaitan yang boleh menyebabkan kesakitan."
Dalam al-Quranul Karim ada beberapa istilah dengan jelas disebut bahawa makhluk ini boleh menyakiti manusia dengan berbagai perlakuan sehingga menyebabkan manusia menderita dengan sakit teruk.
Antara lain dalam Surah al-Fussilat, ayat 36 (yang mafhumnya) "Dan jika syaitan menganggu kamu dengan satu gangguan maka pohonlah perlindungan dari Allah, maka sesungguhnya Dia lah yang Maha Pendengar lagi Maha Mengetahui."
Dalam ayat itu disebutkan "mengganggu atau menyakiti kamu dengan sebarang gangguan atau kesakitan."
Istilah 'nazghun' dalam ayat tersebut diterjemahkan oleh kamus dengan maknanya ditikam dengan tangan, ditumbuk atau ditendang. Tafsir al-Maraghi dan Tafsir al-Qurtubi, menjelaskan maknanya sebagai menendang, merasuk atau mencederakan seseorang.
Dalam Surah al Baqarah, ayat 275 (mafhumnya) "Mereka tidak berdaya bangun seperti bangunnya orang yang dicederakan oleh syaitan daripada penangannya."
Istilah dalam ayat ini disebut 'yatahabbatuhu', ditafsirkan dengan makna mencekik, menyakiti hingga meraung kesakitan.
Dalam hadis sahih yang menyebut fenomena 'assar'u' maknanya syaitan menjadi penyebab berlakunya kecederaan kepada manusia seperti kesakitan, hilang akal, kebisingan yang melampau dan sebagainya.
Hadis yang diriwayatkan oleh A'ta bin Abi Ribah menceritakan perihal seorang perempuan datang menemui Rasulullah s.a.w dengan mengadu kesakitan dan kesengsaraan angkara syaitan.
Hadis Ya'li bin Murrah menceritakan tentang seorang budak lelaki mengalami penyakit 'lamam' (seperti gila) kerana gangguan syaitan.
Hadis Othman bin Abi al-Ass, mengadu kepada Rasulullah tentang kesakitan yang menimpanya menyebabkan dia tidak dapat bertugas. Rasulullah memberitahu bahawa itu adalah angkara syaitan.
Banyak lagi hadis-hadis sahih yang menunjukkan hal-hal sedemikian benar-benar berlaku.
Pada saya memang pada pandangan syariat bahawa makhluk halus ini dengan izin Allah juga boleh melakukan perkara-perkara yang mendatangkan penyakit kepada anak Adam.




Soalan 5
Kita percaya wujudnya makhluk seperti yang disebut dalam al-Quran, seperti Jibrail, Jin, Syaitan dan sebagainya. Saya musykil, mereka ini makhluk halus, mereka wujud dan boleh melihat manusia, tetapi manusia tidak boleh melihat mereka. Benarkah dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka (manusia) dapat melihat makhluk halus ini dengan mata kepala mereka sendiri. Makhluk itu berupa manusia yang menakutkan atau berupa binatang? Saya mohon penjelasan.
ABU BAKAR HASHIM
Dengkil, Selangor




Jawapan
Ayat al-Quran yang saudara maksudkan memang wujud. Dalam Surah al-A'raf ayat 27, Allah mengisahkan (mafhumnya), ".....Bahawa mereka itu (makhluk halus) boleh melihat kamu, sedangkan kamu tidak boleh melihat mereka....."
Kebiasaannya mereka (makhluk halus) dapat melihat kamu manusia, sedangkan manusia tidak boleh melihat mereka dalam keadaan rupa mereka yang asal.
Namun apabila makhluk ini telah menyerupai rupa-rupa yang Allah izinkan, maka mereka boleh menyerupai makhluk tertentu, dan ketika itu manusia boleh melihat mereka.
Bukti jelas dalam al-Quran yang mengisahkan bahawa mereka (makhluk halus) boleh menyerupai manusia. Disebut dalam Surah al-Anfaal ayat 48 (mafhumnya), "Dan ketika syaitan menjadikan manusia memandang elok dan baik pekerjaan mereka, dan mengatakan tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini (perang Badar) dan sesungguhnya aku pelindung kamu sekelian. Tatkala kedua pasukan telah berhadap-hadapan untuk berperang, (syaitan) dia cabut lari seraya berkata 'sesungguhnya kami berlepas diri daripada kalian, sesungguhnya kami dapat melihat apa yang kalian tidak dapat lihat'. Sesungguhnya kami sangat takut kepada Allah dan Allah amat dahsyat seksaan-Nya."
Tafsir al-Qurtubi sebagai contoh, Musyirikin dalam perang Badar yang gentar untuk memerangi tentera Islam, tiba-tiba muncul di hadapan mereka, satu pasukan peperangan yang diketuai oleh Suraqah bin Malik bin Ju'ashum. Suraqah memang dikenali, beliau dari suku Bani Bakr. Beliau dengan tenteranya amat ditakuti oleh Quraisy kerana latar belakang permusuhan mereka dengan Bani Bakr ini.
Bila Suraqah menjanjikan untuk membantu mereka mengalahkan tentera Islam, maka tentera kuffar menjadi lebih berani. Peperangan bermula, tetapi Suraqah dan kuncu-kuncunya cabut lari. Akhirnya kuffar ditewaskan oleh tentera Islam.
Sahih daripada ayat ini ditafsikan dengan muktabar bahawa, yang berkata-kata dengan tentera kuffar adalah syaitan yang menyerupai manusia secara khusus seperti Suraqah bin Malik.
Dalam Surah al-Anfaal ayat 30 (mafhumnya), "Dan (ingatlah) ketika orang-orang kafir mengaturkan satu tipu helah jahat untuk mencelakakan engkau (Muhammad), menangkap ,atau membunuh kamu atau mengusir kamu. Mereka membuat perencanaan dan Allah membuat rencana pula, tetapi Allah Perencana yang terbaik."
Tafsir Annasafi juzuk 9 halaman 199, mencatatkan peristiwa kuffar mengadakan satu pertemuan di Darun Nadwah untuk memutuskan perihal Muhammad, ketika pembesar Quraisy hendak bermesyuarat, mereka ditemui oleh seorang pemimpin daripada puak Najdi, atau Syaikhu Najdi datang khusus untuk menyertai mereka memberi pandangan, Quraisy Makkah membenarkan Syaikhu Najdi turut sama dalam mesyuarat mereka yang berakhir dengan keputusan untuk membunuh Nabi Muhammad.
Syaikhu Najdi ini sebenarnya adalah Iblis laknatullah yang menyamar.
Rasulullah s.a.w sendiri pernah pergi berdakwah di kalangan makhluk jin. Sahabat seperi Abu Hurairah r.a pernah menangkap syaitan yang menganggu dan mencuri barang makanan yang dijaga dalam simpanan Baitul Mal. Ammar bin Yasir pernah berhadapan dan bertarung dengan makhluk halus ini.
Semua ini membuktikan bahawa makhluk halus memang boleh menyerupai berbagai rupa. Tetapi mereka tidak mudah sesukahati hendak berupa sedemikian disebabkan ia boleh menimbulkan ketidaktenteraman di kalangan manusia, kerana Allah mengawal manusia dengan rahmat-Nya.


Soalan 6
Heboh di tempat saya baru-baru ini, bahawa seorang yang mati dan dikebumikan, beberapa hari kemudian, ada orang mendakwa menemui si mati dan bercakap dengannya. Malah ada anggota keluarga si mati yang mengakui sedemikian. Ustaz, adakah hal seperti ini boleh berlaku dan adakah si mati itu, benar-benar rohnya boleh menemui keluarga mereka.
NUR AINA MUHAMAD
Senggarang, Johor



Jawapan
Pada Harakah beberapa keluaran lepas, saya telah jelaskan bahawa orang yang telah mati, ruh mereka berada dalam alam barzakh sehinggalah dibangunkan semula pada Hari Kiamat besar. Ertinya,orang-orang telah meninggal dunia, tidak mungkin kembali sebagaimana orang hidup.
Pada saya, apa yang saudari sebutkan berlaku, hal seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh membawa kepada kerosakan, atau sekurang-kurangnya cacat akidah, tidak boleh mempercayai orang yang telah kembali ke alam kubur boleh kembali ke dunia, boleh menziarahi keluarga atau bercakap-cakap semula dengan orang yang mengenalinya.
Meskipun hal ini ada possibility, tetapi tidak mungkin berlaku dalam alam realiti. Yang mereka berjumpa itu bukan orang yang telah mati, besar kemungkinan itu adalah sejenis makhluk halus yang al-Quran mengistilahkannya sebagai Qareen.
Dalam Surah Fussilat, ayat 25 (mafhumnya),"Dan kami tetapkan bagi mereka teman-teman (Qareen) yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan (hukuman) asal, pada umat-umat yang terdahulu sebelum mereka dari jin dan manusia bahawa sesungguhnya mereka adalah golongan yang rugi."
Ayat ini merujuk kepada adanya, makhluk halus yang dipanggil Qareen atau Quranah (jin yang menjadi sahabat baik kepada manusia).
Dalam Surah an-Nisa, ayat 38 (mafhumnya),"....Dan sesiapa yang menjadikan syaitan itu kawan setianya, maka dia mendapat kawan setia yang amat jahat."
Pada Hari Kiamat bila insan dibangkitkan, dan mendapati dirinya termasuk dalam golongan yang derhaka terhadap Allah S.W.T, mereka saling menyalahkan antara satu sama lain, terutamanya menyalahkan Qareennya (syaitan yang menjadi kawan mereka). Seperti yang disebut dalam Surah Qaaf, ayat 27 (mafhumnya),"Berkatalah (syaitan yang menjadi kawan baik manusia), 'Wahai Tuhan kami! aku tidak menzaliminya, akan tetapi dia sendirilah yang melakukan kesesatan yang amat jauh (terhadap-Mu)."
Banyak ayat-ayat yang berkenaan Qareen seperti Surah as-Saffaat (51), Surah Zukhruf (38), Surah Qaaf (23) dan ayat-ayat lain.
Qareen berbeza istilahnya daripada ifrit, jin, syaitan dan sebagainya, kerana Qareen ini dirujuk sebagai makhluk halus yang berdampingan dengan manusia sehingga menjadi kawan rapat yang boleh bantu membantu.
Malah Allah memberi penjelasan bahawa manusia berlindung dengan jin seperti disebut dalam Surah Jin ayat 6 (mafhumnya),"Dan bahawa sesungguhnya ada kalangan laki-laki manusia, berlindung dengan laki-laki daripada jin, maka bertambah-tambahlah kejahatan syaitan ke atas manusia."
Ayat ini merujuk kepada persahabatan yang begitu rapat antara manusia dengan jin, sehingga menganggap jin ada kuasa, ada kebolehan untuk melindungi manusia, mereka berlindung dengan jin, mereka tidak berlindung dengan Allah.
Ini adalah Qareen, sehingga sesudah mati manusia itu pun, jin ini boleh menyerupai seperti mereka untuk menyesatkan manusia dan mencederakan aqidah manusia, wallahu a'lam.


Soalan 7
Saya adalah salah seorang peminat yang sentiasa mengikuti jawapan dan penjelasan Dato' dalam ruangan ini. Dalam jawapan terdahulu tentang makhluk halus, Dato' tidak menyentuh tentang orang bunian, soalan saya adakah orang bunian ini wujud? Adakah mereka termasuk dalam kategori manusia kerana disebut orang atau ianya termasuk dalam golongan makhluk halus?

Jawapan
Memang pernah saya menyebut dan mengulas tentang mahkluk halus, tetapi saya tidak menyebut secara mendalam mengenai orang bunian. Oleh kerana saudara berminat, maka saya cuba menjelaskannya.
Makhluk halus yang dikenali dengan jin, syaitan, iblis, ifrit dan sebagainya jelas terpapar dalam al-Quran dan hadis sahih yang boleh dirujuk dalam jawapan terdahulu.
Adapun istilah orang bunian ataupun bunian sahaja, dalam masyarakat Melayu pernah difilemkan oleh allahayarham P. Ramlee yang menceritakan perihal masyarakat makhluk bunian.
Pada saya, makhluk ini wujud, ia tergolong dalam makhluk halus. Ianya dikaitkan dengan suatu perkampungan atau penempatan yang mereka berumahtangga, beranak pinak dan bermasyarakat.
Ada yang mendakwa melihat bunian dan ada juga dakwaan manusia berkomunikasi dengan bunian sehingga boleh berjiran tetangga termasuk meminjam barang-barang harian. Betul atau tidak cerita itu saya pulangkan kepada Allah S.W.T lebih mengetahui.
Saya yakin bunian tergolong dalam makhluk halus kerana hadis Nabi s.a.w menyebut bahawa ada makhluk halus ini yang suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia, malah mereka suka mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia.
Golongan bunian ini disebut Rasulullah sebagai 'aamir atau ummar' yang tinggal berhampiran dengan manusia.
Dalam suatu kisah yang diriwayatkan, kejadian berlaku di zaman Rasulullah s.a.w, ada seorang sahabat yang bernama Khurafah tiba-tiba hilang daripada masyarakat. Lalu keluarganya bertemu dengan Nabi s.a.w menceritakan kehilangan Khurafah.
Tidak berapa lama kemudian Khurafah muncul semula dan menceritakan pengalamannya. Dia telah membunuh seekor ular hitam, tiba-tiba beliau tidak sedar diri dan apabila sedar dia berada dalam masyarakat seperti manusia, tetapi penuh dengan keganjilan.
Ringkasnya dia dituduh membunuh salah seorang daripada orang penting dalam masyarakat itu. Mereka menuntut supaya dia dibunuh balas. Dibicarakan dalam mahkamah yang telus, mempunyai sistem keadilan yang hampir sama dengan manusia, dengan menggunakan peguambela dan sebagainya. Khurafah dibela oleh seorang peguam dan mengemukakan hujah dengan berkata, "Khurafah tidak boleh dipersalahkan kerana dia membunuh satu anggota daripada masyarakat kita (bunian) yang menyerupai ular, sedangkan ular adalah musuh utama kepada manusia. Maka Khurafah membunuh ular, bukan berniat membunuh orang kita, tetapi membunuh musuh di alamnya."
Maka dengan itu Khurafah dibebaskan dan dihantar balik ke alamnya.
Apabila dikisahkan hal ini kepada Nabi s.a.w, maka ramai sahabat mempertikaikannya. Maka Nabi s.a.w menyebut (maksudnya), "Dengarlah cerita Khurafah, ianya ganjil tapi betul."
Bagaimanapun dalam masyarakat kita, apabila dirujuk tentang cerita-cerita ganjil dan tidak masuk akal, kita menggelarnya khurafat. Tetapi asalnya adalah cerita benar orang yang bernama Khurafah.
Saya sebut kisah ini kerana saya lihat seolah-olahnya yang berlaku ini, mungkin boleh disamakan dengan masyarakat bunian. Ertinya mereka boleh melakukan sama seperti manusia seperti dalam kisah Khurafah tersebut.
Masyarakat bunian adalah satu daripada kelompok yang banyak dari masyarakat jin atau syaitan. Daripada cerita-cerita rakyat yang menyentuh soal orang bunian, menjadi suatu lagenda masyarakat Melayu sehingga kini, bunia dikaitkan dengan masyarakat beragama yang mempunyai masjid, surau dan bunyi azan, termasuk orang mengaji al-Quran dan sebagainya. Orang Melayu lebih percaya ianya dikaitkan dengan jin Islam.
Sememangnya Islam mengakui adanya jin Islam sebagaimana yang disebut dalam Suratul Jin. Dalam surah itu menyebut bahawa jin mengakui telah mendengar al-Quran yang penuh dengan keajaiban, menunjuk ke jalan yang lurus, maka kami beriman (kata jin). Jin juga mengaku di kalangan mereka ada yang Islam dan ada yang kafir.
Oleh itu memang ada kemungkinan, masyarakat bunian ini jika betul seperti yang didakwa merupakan sebuah masyarakat beragama.
Dalam masyarakat manusia contohnya ada yang tidak Islam. Hatta dalam masyarakat Islam awal di zaman Rasulullah s.a.w di Madinah, dalam masyarakat ideal itupun wujud golongan munafik dari kalangan Islam. Seperti dalam masyarakat kita hari ini juga wujud golongan tidak Islam, Islam fasik dan Islam munafik dan sebagainya.
Oleh itu apakah tidak mungkin dalam masyarakat bunian, berlaku sama seperti masyarakat manusia? Waalahu a'lam.


Soalan 8
Ditempat saya, ada orang mendakwa, bahawa dia bersahabat dengan orang bunian, kerana orang bunian ini katanya, jauh lebih Islam dan orang yang alim, jauh mengatasi manusia. Mereka boleh memberi bantuan kepada manusia dan boleh mengajar ilmu tinggi yang dipunyai oleh alim ulama kita. Dato' betulkan dakwaan itu, wujudkah alasan syarak yang boleh menerima dakwaan ini?

Jawapan
Bunian adalah segolongan makhluk halus yang wujud. Mengenai persahabatan dengan manusia, saya merujuk kepada fakta al-Quran. Makhluk halus dicipta Allah untuk hidup dalam masyarakat mereka dengan cara serta kebolehan dan adat resam tersendiri. Makhluk halus berbeza daripada manusia dari sudut rupa bentuk, kebolehan dan keinginan.
Islam menyarankan agar manusia hendaklah bersahabat dengan manusia juga. Kita tidak diharuskan pada umumnya untuk bersahabat dengan makhluk halus.
Saya menegaskan, bahawa saya tidak sampai kepada keputusan muktamad tentang bunian. Saya tidak pasti mereka masuk dalam golongan mana, sama ada qareen, jin, syaitan atau iblis.
Mereka adalah makhluk halus. Namun saya lebih dekat untuk menamakan mereka sebagai qareen. Sebab ia bermakna sahabat atau kawan. Kalau ini boleh diterima, al-Quran menyatakan bahawa makhluk halus ini sanggup menjadi pelindung kepada manusia, tetapi kesanggupan mereka (untuk menolong) lebih banyak mengundang padah.
Firman Allah (mafhumnya), "Dan sesungguhnya telah adalah. lelaki di kalangan manusia meminta perlindungan dan bantuan daripada lelaki jin, maka dengan demikian itu jin-jin ini telah menjadi lebih bongkak, lebih takbur daripada manusia." (Surah al-Jin ayat 6).
Dengan ayat ini kita difahamkan bahawa memang boleh berlaku persahabatan antara manusia dan jin. Tetapi kesan buruknya akan diterima oleh manusia.
Ini ada kaitan dengan jawapan saya terdahulu, dalam peperangan Badar, Suraqah bin Malik yang berjanji menolong kuffar menentang Islam. Yang lari itu bukan Suraqah tetapi iblis yang menyerupai manusia.
Mengenai Qareen, Firman Allah (mafhumnya),"Dan sesiapa yang menjadikan syaitan itu baginya kawan setia, maka dia telah mendapat sejahat-jahat kawan. (Surah an-Nisa, ayat 38).
Secara logiknya, baik bagaimanapun makhluk halus ini, satu masa nanti kita akan berselisih dengan mereka, pada ketika itu, mereka akan melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap kita kerana manusia tidak dapat melihat mereka.
Atau sekurang-kurangnya rasa selesa hidup manusia akan hilang kerana takut kawan yang telah menjadi musuh akan datang melakukan sesuatu tindakan buruk.
Mengenai kehebatan ilmu, saya sukar untuk menerima makhluk halus ini lebih alim daripada manusia. Pada saya makhluk yang terbaik adalah manusia. Jika makhluk halus ini lebih baik, tentulah mereka lebih layak menjadi khalifah di muka bumi.
Dalam alam manusia Allah melantik Nabi dan Rasul menjadi utusan Allah daripada Adam a.s hingga Muhammad s.a.w. Dalam hadis menyebut berapa ramai Rasul dan Nabi dari kalangan manusia.
Nabi Muhammad s.a.w sebagai utusan terakhir adalah Nabi dan Rasul ke semesta alam, termasuk untuk makhluk halus.
Ada disebut dalam beberapa hadis, bahawa Allah S.W.T pernah mengutuskan Rasul dari kalangan jin untuk kelompok mereka sahaja, bukan untuk manusia. Bagaimanapun Rasul itu dibunuh oleh jin pada zaman itu.
Firman Allah (mafhumnya),"Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak Adam dan Kami beri layanan kepada mereka di daratan dan di lautan, diberikan rezeki yang baik-baik kepada mereka dan Kami lebihkan mereka berbanding dengan makhluk lain yang Kami jadikan dengan berbagai kelebihan." (Surah al-Isra' ayat 70).
Ulama besar Sheikh Abdul Wahab as-Sya'rani pernah menyebut dalam kitab-kitabnya bahawa ketika mengajar ilmu agama kepada murid di zamannya, telah ditanya oleh makhluk halus dengan suatu tulisan yang sampai kepadanya.
Surat itu menyebut, "Kami dalam masyarakat jin telah bertanya ulama-ulama besar dari kalangan kami, bolehkah atau tidak Allah S.W.T menganugerahkan kepada makhluk pengetahuan yang sama dengan pengetahuannya ataupun tidak boleh? Kami telah tanya soalan ini kepada ulama kami, tetapi mereka tidak boleh menjawabnya."
Sheikh Abdul Wahab as-Sya'rani menjelaskan, tidak mungkin, Allah tidak akan melakukan seuatu perkara yang berlawanan dengan kekudusannya, iaitu tidak ada apa pun yang sebanding dengan-Nya.


Soalan 9
Saya pernah membaca dalam beberapa penulisan termasuk penjelasan yang ustaz telah berikan dalam Harakah yang lepas bahawa makhluk halus (jin, syaitan dsbnya). Bolehkah ustaz jelaskan apakah jenis-jenis penyakit boleh dilakukan oleh makhluk ini kepada manusia?


Jawapan
Berdasarkan kepada nas-nas yang sahih khususnya dalam al-Quran dan sunnah Nabawiyyah, bahawa Allah SWT memperincikan bahawa makhluk halus seperti jin, ifrit dsbnya, dalam keadaan tertentu boleh memberikan berbagai penyakit ke atas anak Adam.
Di antara penyakit itu disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 102 (mafhumnya), "Sesungguhnya orang-orang yang memakan riba' tidak dibangunkan pada Hari Kiamat melainkan dalam keadaan seperti orang yang telah rasuk oleh syaitan daripada sentuhan yang membawa kepada kecelakaan."
Istilah yang Allah digunakan dalam ayat tersebut ialah 'attkhabbut' yang bermakna dipukul dengan kuat atau dicederakannya.
Surah al-A'raf ayat 201, Allah menggunakan perkataan 'almass' yang diantara maksudnya, "Sesungguhnya orang-orang yang taqwa itu apabila mereka diganggu oleh syaitan dengan 'mass', sentuhan yang boleh membawa kepada kehilangan akal oleh jin-jin yang berkeliaran. Mereka segera ingat kepada Allah SWT, lalu mereka dapat pulih."
Surah al-Mujadalah ayat 19, Allah menggunakan perkataan 'istihwaaz', maksudnya syaitan boleh menguasai dan mengalahkan manusia sehingga mereka tidak sedarkan diri atau lupakan segalanya.
Surah al-A'raf ayat 300, syaitan boleh mengenakan kepada manusia 'annazghu' atau menipu dan menghasut untuk melakukan kejahatan. Ertinya golongan syaitan boleh menipu dan menghasut manusia sehingga kepada membunuh.
Surah as-Saad ayat 41, syaitan boleh mengenakan 'annasad' dalam ayat ini yang mafhumnya, "Dan ingatlah peristiwa hamba kami Ayub a.s, ketika ia bermunajat kepada Allah dengan mengadu katanya, 'sesungguhnya saya ya Allah, dikenakan oleh syaitan dengan 'nusghin wa azab'." Nasad yang membawa makna penat atau lebih yang amat sangat.
Jelas bahawa kepenatan, keletihan, kesusahan dan azab sengsara boleh dilakukan oleh makhluk ini berdasarkan ayat-ayat yang saya sebutkan.
Dalam sunnah yang sahih, disebut bahawa syaitan dan suku sakatnya boleh menyebabkan manusia menjadi gila. Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dikisahkan tentang seorang anak muda yang baru berkahwin sempena dengan Peperangan Ahzab. Beliau menyertai Rasulullah s.a.w mengorek parit di waktu tengahari, beliau memohon izin kepada Rasullah untuk pulang. Rasulullah keberatan mengizinkan. Namun atas desakannya lalu dibenarkan. Bagaimanapun Rasullullah mengingatkan kepada pemuda tersebut supaya membawa senjata. Apabila sampai di rumah beliau dapati isterinya berada di luar rumah. Lalu dilihat dalam rumahnya ada ulat hitam yang besar. Pemuda ini terus menusuk tombaknya kepada ular tersebut. Lalu ular itu menggelupur, tapi dalam waktu yang sama pemuda itu turut menggelupur. Akhirnya ular itu mati dan pemuda pun mati juga. Apabila peristiwa ini dimaklumkan kepada Rasulullah, lalu baginda menyebut itu (ular) adalah jin. (Sahih Mulim, Juzuk ke 4 hadis 1756).
Suatu peristiwa lain, Yaa'li bin Murrah menceritakan dari bapanya, bahawa suatu ketika seorang perempuan telah membawa anaknya yang berpenyakit 'lammam' (akal yang bercelaru atau gila). Rasullah s.a.w merawatnya dengan membaca sesuatu, lalu baginda menepuk belakangnya dan pemuda itu termuntah lalu keluarlah objek kehitam-hitaman berlari keluar dan terus hilang, lalu pemuda ini kembali siuman seperti biasa. Hadis ini terdapat dalam Musnah Imam Ahmad.
Inilah di antara sebahagian penyakit yang boleh dicetuskan syaitan ke atas manusia.


Soalan 10
Apakah cara-cara yang disarankan oleh syarak, supaya manusia boleh menghindar atau mengubati penyakit-penyakit yang disebabkan oleh Makhluk Halus. Apakah saranan atau petunjuk dari Rasulullah?
Jawapan

Bertiti tolak daripada penjelasan al-Quran yang menyebut tentang makhluk halus yang boleh membawa kemudaratan kepada manusia, kerana manusia adalah musuh mereka. Apabila sudah hidup bermusuhan maka berbagai masalah dalam masyarakat manusia.
Islam sebagai agama yang syumul telah mengajar manusia berbagai ilmu yang termasuk ilmu untuk menghindarkan diri dari gangguan makhluk halus sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran khasnya terdapat 3 surah yang terakhir iaitu al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas.
A'isyah rha menyatakan bahawa Rasullulah s.a.w telah mengajar iaitu apabila kita hendak tidur, bacalah ketiga-tiga surah ini dalam keadaan berdoa, selepas itu sapulah dengan kedua-dua tangan itu keseluruh badan sebagai suatu permohonan perlindungan daripada Allah S.W.T.
Surah al-Ikhlas memberi mesej bahawa kita hendaklah membulatkan keimanan kepada Allah Yang Esa tanpa sebarang keraguan dan kepada Allah tempat memohon segala pertolongan.
Manakala Surah al-Falaq, kita memohon perlindungan daripada Allah Yang Mengatur semua makhluk, supaya dihindari semua kejahatan makhluk-Nya, sama ada kejahatan berlaku sewaktu kegelapan malam dan kejahatan tukang sihir yang meniup dengan air ludahnya serta daripada orang yang dengki.
Surah an-Nas pula, kita memohon perlindungan dari kejahatan bisikan syaitan yang mengajak manusia melakukan berbagai angkara untuk melakukan perkara yang tidak diizinkan Allah.
Ketiga-tiga surah ini digunakan untuk menghindari atau mengubati manusia yang terkena perbuatan makhluk halus.
Dalam sebuah hadis sahih, Nabi Muhammad s.a.w, pernah cuba disihir oleh seorang Yahudi yang bernama Labeed bin al-A'sam, Jibril a.s datang mengajar Nabi bagaimana henda menghindar dan mengubati sihir tersebut maka al-muawwizat (tiga surah tadi) dijadikan amalan atau bacaan. Antaranya, amalkanlah ayatul Kursi dan seagainya.
Jelas, bahawa Islam mempunyai cara untuk mengatasi masalah yang saudara sebutkan.




Soalan 11
Ustaz, terlalu banyak kejadian kecurian di rumah atau premis perniagaan, pencuri memasuki bangunan tersebut dengan menggunakan apa dipanggil ilmu pukau. Betulkah ada ilmu pukau? Sehinggakan yang tidak tidur pun dipukau juga? Ada kepercayaan bahawa untuk mengelakkan pukau, maka hendaklah dipelihara ikan di dalam rumah. BEtulkah ini ustaz dan bolehkah diamalkan?
FIRDAUS ABDULLAH
Kota Raja, Selangor

Jawapan
Saya secara peribadi kurang arif fasal pukau. Kata orang , pukau adalah untuk membuat orang yang sedang tidur, akan tidur semakin nyenyak sehingga tidak disedari apa yang berlaku di sekelilingnya.
Ada juga dikatakan, dipukau orang yang sedang sedar, boleh berdialog dengannya tetapi dikuasai minda orang itu sehingga boleh menurut apa sahaja kehendak orang yang memukaunya tanpa daya melawan atau berlepas diri daripadanya.
Hal-hal sebegini acap kali didedahkan kepada saya. Oleh itu sebagai kesimpulan, hal-hal sebigini memang boleh berlaku dalam masyarakat kita. Pukau ini sebenarnya, suatu ilmu atau teknik yang digunakan seperti mana di Barat. Ia dinamakan sebagai ‘hypnotism’ atau disebut dengan istilah ‘hypnotic’.
Kamus dewan merujuk ‘hypnotism’ sebagai memukau atau terpukau, sama juga dengan ‘hypnotic’ yang disebut sebagai renungan yang memukau.
Umum mengetahui bahawa ‘hypnotism’ ada suatu teknik penguasaan diri sendiri melalui beberapa latihan kerohanian dan teknik memandang ke arah sesuatu perkara atau objek termasuk manusia.
Dikatakan boleh berlaku dengan pancaran kekuatan dalaman orang yang mengamalkan ‘hypnotism’ ini, boleh mendatangkan suatu tenaga khusus baginya untuk menguasai orang lain.
Ia termasuk menidurkan orang yang sedang sedar atau menguasai fikiran orang itu dengan tenungan dan kadang-kadang dengan hembusan. Teknik hembusan juga termasuk dalam salah satu cabang ilmu sihir dengan kekuatan kuasa hembusan yang dikaitkan dengan asosiasi (perhubungan) dengan makhluk halus, maka berlaku penguasaan sepenuhnya atau sebahagian ke atas seseorang.
Amalan menggunakan pandangan mata sehingga berlaku suatu proses pukau, jika dilihat pada pandangan syarak, kita dapati bahawa ada isyarahnya dalam as-Sunnah.
Antara lain Rasulullah s.a.w. ada menyebut tentang pandangan mata seperti dalam hadis (mafhumnya):
Ibnu Abbas r.a berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Bahawa pandangan mata yang mengakibatkan sesuatu keburukan adalah benar (boleh berlaku). Andainya ada sesuatu yang seolah-olah mendahului al-­Qadar, maka didahului oleh pandangan mata.”
Dalam hadis lain Abu Hurairah berkata (mafhumnya): “Nabi pernah menyebut al-‘ain (pandangan mata) adalah benar (boleh berlaku).” (Sahih Bukhari Muslim)
A1-Hafiz Ibnu Hajar dalam ulasannya tentang hadis-hadis ini menyebut bahawa pandangan mata seseorang itu ke atas sesuatu, boleh mendatangkan hasad dengki kepadanya, lalu ditemukan objek itu di samping tabiat buruknya muncul, boleh mendapat kemudaratan kepada yang dilihat.
Ash-Syanthiti pernah menyebut bahawa, jiwa-jiwa yang kotor mempunyai kesan yang kotor juga kepada yang dilihat.
Semuanya ini selari dengan apa yang disebut oleh Allah SWT yang mafhumnya:
“Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka tatkala mereka mendengar al-Quran dan mereka berkata: “Sesungguhnya (Muhammad) itu benar-benar gila.” (Surah al-Qalam, ayat 51)
Ayat mi menjadi rujukan kepada hal-hal penyakit yang berpunca daripada pandangan atau renungan mata. Malah dalam beberapa hadis lain menga­takan ‘unta boleh masuk ke dalam periuk kerana pandangan mata’. Maksudnya unta boleh mati, tapi disembelih dan dijadikan hidangan makanan.
Demikian peranan mata. Oleh itu hal-hal pukau memukau mi, termasuk dalam amalan yang tidak diharuskan oleh syarak. Lagipun digunakan ilmu pukau untuk tujuan keburukan seperti merompak, mencuri dan sebagainya.
Sememangnya apabila berlaku sesuatu yang tidak baik, ada pencegahnya. Disebut dalam perubatan, sebagai vaksin. Saya sendiri tidak pasti apakah dengan membela ikan boleh menghalang atau menghadang dari berlakunya pemukauan.
Pada pemerhatian saya, apa yang berlaku, ada rumah yang membela ikan, dimasuki pencuri dan tuannya sedar. Ada pemilik sebuah kedai ikan (kenalan saya), menjual ikan-ikan hiasan di rumah termasuk ikan kelisa, dicuri orang dalam keadaan beliau dan pekerjanya sedar, tetapi dicuri di hadapan mata.
Sukar untuk dipercayai, sekadar membela ikan boleh menghindari kejadian seperti itu. Bagaimanapun untuk menghindarinya, lebih baik kita rujuk kepada amalan-amalan sunnah.
Seperti yang pernah disebut Nabi (maf­humnya), bahawa sesiapa yang memakan tujuh biji ajwah (tamar madinah), maka dia tidak akan terkena sihir.
Kesimpulannya untuk menghindarkan diri dari sihir atau ilmu pukau, lakukan amalan berikut setiap hari;
1. Baca doa berikut:

“Dengan nama Allah, tidak akan berlaku kemudaratan di samping nama-Nya itu, sesuatu yang turun dari langit atau dari bumi, dan Dialah Allah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
2. Ayatul Kursi
3. Al-Muawwizat (Surah al-Ikhlas, al-Falaq & an-Naas)
4. Berniat lakukan amalan di atas agar Allah hindarkan dari apa jua bahaya.
Inilah amalan yang diterima oleh syarak.
Waalahu a’lam.

Sumber:
 http://www.darussyifa.org/index.php













Rabu, 4 November 2009

Amalan Bidaah dalam Masyarakat Melayu


Amalan Bidaah Dalam Masyarakat Melayu
Oleh: Ibnu Jaffar

Masyarakat Melayu
Asal-usul orang-orang Melayu amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam . Beberapa teori telah mengatakan bahawa orang Melayu adalah daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia . Ia datang dari daerah Yunan dan telah turun menduduki wilayah Asia Tenggara . Ini berlaku sejak tahun 2 500 sebelum Masehi dengan golongan pertama dikenali sebagai Melayu Proto dan kemudian diikuti oleh Melayu Deutro .

Masyarakat Melayu Nusantara mula menerima Islam pada abad ke-13 Masehi dengan dimulai oleh Pasai . Para pedagang Arab atau India telah membawa Islam kepada mereka . Ini berikutan kepada catatan pelayaran Marco Polo , yang menulis bahawa ketika beliau singgah di Pasai pada tahun 1292 , penduduk Pasai telah memeluk Islam.

Proses Islamisasi mulai pesat pada abad ke -15 kerana Melaka telah memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Nusantara . Puncak kepesatan penyebaran Islam ialah pada abad ke - 16 dan 17. Walaupun Melaka jatuh ke tangan Portugis pada waktu itu tetapi Aceh dapat mengambil alih peranan Melaka dengan keadaan lebih gigih lagi .

Oleh kerana Islam berkembang dengan pesat di nusantara dan ramai pula yang ingin mendalami agama tanpa mengenali dengan lebih dekat siapakah guru mereka , ditambah pula mereka terlalu ghairah untuk mengejar pahala dan mengejar banyak fadhilat , maka masyarakat Melayu terjebak ke kancah bidaah . Ini jelas dapat dilihat daripada beberapa amalan yang diamalkan oleh Masyarakat Melayu yang kononnya ajaran Islam tetapi setelah diselidiki , ia adalah satu bidaah .


Makna Bidaah
Bidaah adalah daripada perkataan Arab dari perkataan dasar yang bererti mencipta sesuatu tanpa contoh sebelumnya . Ini adalah berdasarkan firman Allah :
بديع السموات والارض
Ertinya :
“ Yang menjadikan langit dan bumi tanpa ada contoh sebelumya .”
Dan firman Allah :
قل ماكنت بدعا من الرسل
Ertinya :
“Katakanlah aku bukanlah orang yang pertama membawa risalah daripada Allah , bahkan banyak rasul-rasul sebelumku .”

Bidaah menurut istilah ialah :

الحدث في الدين بعد الاكمال
Ertinya :
“Perkara-perkara baru dalam agama sesudah ianya disempurnakan.”

Menurut Al-Syatibi pula , pengertian Bidah adalah :
“ Dan Bidaah itu ialah satu jalan ( cara ) dalam agama yang diada-adakan yang menyerupai hukum syariat yang dimaksudkan dengan mengerjakannya ialah seperti apa yang dimaksudkan dengan jalan ( cara ) mengerjakan hukum syariat .”



Beliau menambah lagi dengan katanya :
“ Maka jika demikian , maka bidaah itu ialah ibarat satu jalan ( cara ) dalam agama yang diada-adakan yang menyerupai hukum syarak yang dimaksudkan dengan mengerjakan ialah mengabdikan diri ( kepada Allah ) secara berlebih-lebihan .”

Sebahagian ulama hadis pula mendefinisikan bidaah seperti berikut :
“ Ialah urusan yang baharu diada-adakan dalam agama baik berupa akidah , ibadat atau sifat bagi ibadat yang belum pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW .”

Sebagai kesimpulan , bidaah didefinisikan sebagai perkara-perkara baru dalam agama yang diada-adakan berlawanan dengan dalil-dalil atau kaedah-kaedaah yang telah ditetapkan oleh syarak .

Pembahagian Bidaah
Menurut Imam Muhammad bin Idris Assyafi’i yang diriwayatkan oleh Abu Nu’aim :
“Bidaah itu terbahagi kepada dua iaitu bidaah terpuji ( mahmudah ) dan bidaah tercela ( mazmumah) . Maka mana-mana yang sesuai dengan sunnah , maka itulah yang terpuji dan mana-mana yang menyalahinya maka itulah yang tercela .”

Berdasarkan kenyataan ini , ada ulama yang membahagikan bidaah kepada 4 bahagian iaitu :

Bidaah sunnah
Bidaah Sunnah ialah bidaah yang termasuk dalam kaedah sunnah seperti solat Tarawih secara berjamaah .

Bidaah harus
Bidaah harus ialah tiap-tiap perkara yang harus seperti makan bermeja dan memakai pakaian yang berbagai-bagai bentuk fesyen yang tidak bertentangan dengan hukum syara’ .

Bidaah haram
Bidaah haram ialah bidaah yang termasuk dalam kaedah bidaah haram dengan dalil dari syara’ seperti menziarahi kubur-kubur dengan tujuan meminta sesuatu pertolongan .

Bidaah makruh
Bidaah makruh ialah bidaah termasuk kaedah makruh seperti menentukan hari tertentu untuk menunaikan sesuatu ibadat dengan kepercayaan bahawa hari itu lebih baik pada hari-hari lain .

Jenis-jenis Bidaah

Bidaah Fi’liah dan Bidaah Tarkiah
Bidaah Fi’liah ialah mengerjakan sesuatu amalan atau perbuatan yang tidak dikerjakan oleh Rasullullah . Ini termasuklah membuat hadis palsu , mengurangkan atau menambahkan rakaat atau kaifiat solat , mengadakan solat-solat atau puasa khusus pada masa dan hari-hari yang khusus pada masa dan hari-hari yang khusus , bersembahyang atau berpuasa pada waktu-waktu dan hari-hari yang terlarang .

Bidaah Tarkiah pula ialah meninggalkan perkara-perkara yang dituntut oleh agama atau agama menggalakkannya kerana memandangkan ia lebih baik tidak dikerjakan .
Bidaah yag termasuk dalam kategori Tarkiah ini ialah :
• Tidak mahu berkahwin kerana hendak beribadat kepada Allah tanpa sesuatu sebab yang dibolehkan oleh syara , atau beribadat terus menerus .
• Mengharamkan atas diri sesuatu yang dihalalkan oleh Allah tanpa sebab yang dibolehkan oleh syarak dan juga sebaliknya .
• Meninggalkan hukum-hukum atau ketentuan Allah dan Rasul kerana mengutamakan akal fikiran .
• Menolak dan meninggalkan hadis-hadis sebagai dalil syar’i ataupun mendahulukan akal dari hadis .


Bidaah yang dikelaskan dalam kategori Bidaah Fe’liah pula ialah :
• Menyeksa diri dalam melakukan ibadat kepada Allah.
• Menceraikan isteri dalam masa haidh atau semasa isteri suci yang sudah dicampurinya atau menceraikan isteri dengan talak tiga sekaligus .
• Merombak atau mengubah hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul .
• Mengadakan azan dan qamat pada solat dua hari raya . Azan dan iqamat disyariatkan bagi solat-solat fardhu dan Rasullullah dan para sahabat tidak pernah berazan dan iqamat pada solat hari raya Puasa dan Haji dan tidak ada hadis menyuruhnya .

Bidaah I’tiqadiah , Amaliah dan Qauliah
Beri’tiqad berlainan dengan apa yang telah diajarkan oleh Rasullullah dinamakan bidaah I’tiqadiah seperti : kepercayaan Wihdatul , Syiah , Khawarij , Mu’tazilah . Qadariah dan Murjiah yang beri’tiqad bahawa malaikat Harut dan Marut telah berbuat jahat dengan Zuhrah lalu dikenakan hukuman gantung dengan kaki di atas dan kepala di bawah di Babilon sampai hari kiamat , manakala Zuhrah disumpah menjadi bintang Zuhrah . Ini juga termasuklah juga beri’tiqad bahawa para wali lebih tinggi martabatnya daripada nabi dan Rasul . Bidaah Qauliah pula ialah mengubah sesuatu yang keluar daripada mulut rasul .

Bidaah Zamaniah dan Makaniah
Bidaaah Zamaniah ialah bidaah yang bersangkutan dengan masa-masa tertentu seperti melakukan solat atau puasa pada kepercayaan Wihdatul-Wujud di kalangan orang-orang sufi pada masa-masa dan hari-hari tertentu seperti solat khas pada malam lailatul Qadar , solat khas pada malam dua hari raya , solat khas pada malam Jumaat pertama bulan Rajab , solat khas pada malam nisfu Syaaban , berpuasa khas pada satu haribulan Muharram , puasa khas pada hari nisfu Syaaban , puasa khas pada hari Khamis minggu pertama bulan Rajab dan pada hari yang kedua puluh tujuhnya .

Bidaan Makaniah ialah Bidaah yang dilakukan pada tempat-pempat yang tertentu seperti tempat-tempat kematian , di perkuburan para wali syuhadak dan sebagainya .

Bidaah Kulliah dan Juziah
Kulliy bermaksud keseluruhan dan Juziah bererti sebahagian-sebahagian . Bidaah kulliah ialah satu bidaah pada keseluruhannya atau memberi kesan kepada orang lain , bukan hanya kepada orang yang melakukannya sahaja seerti menggunakan akal untuk menetapkan sesuatu baik atau buruknya sebagai ganti syarak dan seperti menolak hadis-hadis Ahad ( bukan Mutawatir ) menjadi hujah atau mengingkari beramal dengan hadis-hadis Ahad .

Bidaah Juziah hanya melibatkan pembuat atau pelakunya sahaja tanpa melibatkan orang ramai seperti seorang yang menyalahi Sunnah Rasul tetapi kesannya tidak mempengaruhi atau melibatkan orang ramai kerana dia bukan menjadi ikutan orang ramai .

Bidaah Haqiqiah dan bidaah Idhafiah
Bidaah Haqiqiah ialah bidaah yang langsung tiada dalil baik dari al-Quran ataupun sunnah , ijmak , athar sahabat atau lainnya dari kaedah syarak yang muktabar . Contohnya ialah sembahyang Raghaib yang dikerjakan pada malam jumaat minggu pertama bulan Rajab sesudah berpuasa siang harinya dan solat - solat serupa itu yang tidak didasarkan kepada dalil syar’i tetapi didasarkan kepada hadis-hadis maudhu’.

Bidaah Idhafiah pula ialah satu pekerjaan atau perbuatan yang terdapat padanya dua jurusan , iaitu jika dilihat dari satu sudut kelihatan ia bukan satu bidaah tetapi bila dilihat dari sudut lain ia adalah satu perbuatan bidaah idhafaiah seperti membaca al-quran dengan kuat di dalam masjid sehingga menganggu ahli jamaah yang sedang beribadat dan membaca al-Quran dengan suara yang nyaring dari menara-menara masjid lalu mengganggu orang yang sedang tidur.

Bidaah Ibadiah dan Bidaah Adiah
Bidaah Ibadiah ialah bidaah yang dilakukan dengan maksud mendekatkan diri dengan Allah SWT , untuk mendapatkan pahala yang banyak daripada Allah . Manakala Bidaah Adiah ialah bidaah yang dikerjakan bukan kerana hendak mendekatkan diri dengan Allah tetapi mengenai urusan muamalah antara manusia yang bertentangan dengan batas-batas yang ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya .
Contoh Bidaah Ibadiah ialah solat khas Nisfu Syaaban , solat raghaib dan lain-lain.
Bidaah yang berlaku dalam Masyarakat Melayu

Bidaah Dalam Bulan Rabiul Awal
Masyarakat Melayu di Malaysia amat bersungguh-sungguh mengadakan majlis Maulid al-Rasul . Perbuatan ini adalah tidak boleh kerana hal itu adalah bidaah dalam agama . Selain itu , Rasullullah tidak pernah mengerjakannya , begitu pula Khulafa al-Rashidin , para sahabat lain dan para Tabiin yang hidup pada kurun paling baik . Mereka juga tidak menganjurkan mengadakan majlis seperti ini walaupun mereka adalah dari kalangan orang-orang yang lebih memahami terhadap sunnah , lebih banyak menyintai rasul daripada generasi selepasnya dan benar-benar menjalankan syariatnya .

Bidaah Dalam Bulan Safar
Masyarakat Melayu juga percaya bahawa bulan Safar mendatangkan kecelakaan terutamanya pada hari Rabu akhir bulan . Dipercayai bahawa diturunkan bala pada tiap-tiap tahun sebanyak 12 000 bala dan sekaliannya itu pada hari Rabu akhir bulan Safar. Untuk menolak bala ini , disunatkan banyak bersedekah dan membaca doa tolak bala dengan kaifiat-kaifiat tertentu .

Perkara ini adalah bidaah kerana ia bertentangan dengan hadis nabi S.A.W , yang bermaksud :
“ Tiada kejangkitan , tiada kesialan kerana burung hantu dan tiada kesialan kerana bulan Safar . Allah menjadikan tiap-tiap jiwa dan ia telah menentukan hidupnya , musibat-musibatnya dan rezekinya .”

Bidaah Dalam Bulan Rajab
Lazimnya masyarakat Melayu menyambut Bulan Rajab dengan mengadakan perayaan Israk dan Mikraj , mengadakan solat khas pada malam Jumaat minggu pertama bulan Rajab yang dinamakan solat al-Raghaib , puasa khas pada hari Khamis minggu pertama bulan Rajab , solat khas pada malam 27 Rajab dan puasa khas pada siang hari 27 Rajab .
Amalan-amalan itu tidak ada dasarnya dalam agama sama ada dari al-Quran atau hadis yang sabit dari Rasulullah dan tidak pula diamalkan oleh para sahabat dan ulama salaf , maka oleh kerana itu ia termasuk dalam perbuatan bidaah .
Hadis tentang solat khas pada malam Jumaat minggu pertama bulan Rajab dan puasa khas pada hari Khamis adalah hadis maudhu’ ciptaan tukang-tukang bidaah atau orang-orang kafir zindiq .

Hadis tentang solat khas dan puasa khas ada 27 Rajab juga adalah mungkar yang tidak boleh dijadikan sebagai targhib dan tarhib ataupun menyatakan fadhilat amal .

Bidaah dalam Bulan Ramadhan
Dalam bulan Ramadhan pula , masyarakat Melayu gemar mempercepatkan solat tarawih . Mereka mengerjakan solat tarawih hanya mengambil masa setengah jam dari solat Isyak sehingga witir . Oleh kerana terlalu laju , banyaklah kecacatan yang berlaku . Ini termasuklah surah al-Fatihah yang dibaca senafas , tidak menjaga tuma’ninah dalam rukuk , sujud , duduk antara dua sujud dan iktidal .

Dalam hal ini imam al-Ghazali berkata : “ Kamu manghadiahkan solat kamu kepada Allah , maka janganlah kamu menghadiahkan solat kamu dengan sifat-sifat yang tersebut ( buruk ) , pasti anda akan menerima siksaannya .”

Bidaah Azan Dan Iqamat Untuk Jenazah
Masyarakat Melayu juga mengamalkan banyak perkara bidaah dalam hal pengurusan jenazah . Mereka gemar membaca azan dan qamat sewaktu mayat diturunkan dari rumah atau ke dalam kubur . Sebenarnya tidak ada hadis yang mensyariatkan azan dan qamat untuk jenazah .

Amalan ini adalah semata-mata bidaah kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah , sahabat-sahabat dan al-salaf al-shalih . Apa yang nabi ajar ialah azan pada solat fardhu dan sewaktu menyambut kelahiran bayi .
Bidaah Solat Teman
Selain itu , mereka juga percaya bahawa mayat perlukan bantuan untuk menghadapi alam baru . Untuk tujuan itu , mereka juga melakukan sejenis solat yang dinamakan Solat Teman . Solat ini bertujuan untuk membantu mayat menghadapi soalan Mungkar dan Nakir . Solat ini adalah mungkar dan bidaah . Ini adalah kerana Rasulullah hanya melakukan solat jenazah dan solat ghaib . Rasululullah juga hanya mensyariatkan supaya berdoa dan meminta ampun untuk si mati .

Ini adalah bersesuaian dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud , al-Hakim dan al-Bazzar , yang bermaksud :
Uthman bin ‘Affan r.a meriwayatkan : “ Adalah nabi SAW apabila selesai mengkebumikan jenazah , baginda berdiri di sisi perkuburan dan bersabda : Mohonkanlah keampunan untuk saudara kamu dan mintalah ketetapan untuknya kerana dia sekarang akan disoal .”

Bidaah Tunggu Kubur
Ada juga sebahagian masyarakat Melayu yang mengamalkan ‘Tunggu kubur’ . Mereka mengupah beberapa orang untuk menunggu kubur si mati untuk beberapa malam . Panjang masa menunggu adalah bergantung kepada kemampuan keluarga si mati . Lazimnya adalah dalam bilangan ganjil iaitu semalam , tiga malam , lima malam , tujuh malam dan seterusnya . Sebuah rumah kecil dibina berhampiran kubur si mati untuk tujuan membaca al-quran , berzikir dan sebagainya untuk
simati . Penunggu-penunggu mendapat upah yang agak lumayan .

Hukum mengupah dan mengambil upah membaca al-Quran kepada simati , jumhur ulama menyatakan haram . Ini kerana , tiada pahala bagi orang yang membaca al-Quran kerana upah . Pada tahun 1917 , Syeikh Muhammad Bakhit telah mengeluarkan fatwa berhubung permasalahan kadar upah yang terjadi di antara pemberi dan penerima upah , beliau memfatwakan hukum mengambil upah membaca al-Quran untuk si mati adalah haram . Fatwa yang sama juga dikeluarkan oleh Mufti Mesir Abdul Majid Sulaim pada tahun 1942 dan Badan Kajian Dakwah dan Fatwa Kerajaan Arab Saudi , ( Fattawa Islamiyah , halaman 23 ) .

Amalan ini adalah bidaah dan perbuatan mungkar yang wajib dicegah kerana ia jelas tidak dianjurkan oleh Rasullullah S.A.W dan tidak pula diamalkan oleh para sahabat dan ulama Salafus - Shalihin .

Bidaah Membina Bangunan Di atas Kubur
Di antara bidaah lain ialah ada juga di antara orang Melayu yang membina binaan di atas kubur . Ada kubur yang dibina dengan konkrit , marmar dan lain-lain yang mahal harganya . Kadang kala dibina kubah , menara , memasang lampu-lampu dan hiasan yang indah khususnya dari kalangan orang berada dan kubur-kubur keramat atau
wali .

Ini adalah perbuatan yang membazir , riak dan takabbur . Di situ juga tersirat konsep pemujaan kepada ahli-ahli kubur . Perbuatan ini menyerupai amalan agama-agama lain.

Jabir ra. meriwayatkan katanya : “ Rasullullah SAW melarang mengecat kubur dengan kapur , duduk di atas kubur dan membina binaan di atasnya .”
Hadis riwayat Muslim .

Selain itu , ada juga amalan yang menjadikan kubur sebagai tempat :-
• Meminta sesuatu hajat
• Meminta sesuatu melalui perantaraan kubur .
• Berdoa di kubur kerana percaya bahawa berdoa dimakbulkan lebih mustajab dari di masjid .
• Bernazar kepada kubur .
• Membayar nazar kepada kubur .
• Menyembelih binatang nazar di kubur .

Amalan-amalan di atas adalah bidaah dan tidak ada bezanya dengan kelakuan penyembahan berhala . Menurut Muhammad bin Abdul Wahab ( pengasas mazhab Wahabi ) , perbuatan ini adalah maksiat dan boleh membawa syirik . Perbuatan memuliakan kubur adalah terkeluar daripada batas-batas agama dan harta benda yang dibelanjakan untuk tujuan tersebut itu adalah sia-sia sahaja .

Bidaah Fidyah Solat Dan Kenduri Arwah
Dalam hal berkaitan kematian juga , kebanyakan masyarakat Melayu ada mengamalkan membayar fidyah untuk orang yang telah meninggal dunia yang semasa hidupnya ada meninggalkan solat . Perbuatan ini juga adalah bidaah kerana perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh nabi , para sahabat , al-salaf al-shalih dan tidak ada ulama yang membolehkannya .

Kenduri arwah atau kenduri kematian yang diamalkan oleh Masyarakat Melayu juga adalah bidaah . Amalan ini akan membebankan waris dengan menyediakan makanan dan banyak berbelanja untuk malam-malam tiga , malam tujuh , malam empat puluh hari dan seterusnya. Ini adalah juga bidaah yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah dan golongan al-Salafu al-Salih r.a. dan kemudiannya .

Ulama memutuskan amalan ini berasal daripada budaya Firaun . Justeru itu , amalan ini adalah bidaah dan kadang-kadang berlaku salah guna pada harta peninggalan si mati seperti hutang yang sepatutnya dibayar , tidak diutamakan . Oleh itu , maka Majlis Fatwa Mesir tahun 1947 memutuskan haram dan hendaklah dihentikan amalannya .

Dalam satu peristiwa , apabila berlaku kematian anak bekas Mufti Mesir , Syeikh Hasanain Makhluf , setelah hampir empat puluh hari , beliau ditanya tentang tarikh memperingati hari kematian yang ke - 40 . Beliau menjawab “ Menghayati malam 40 dengan cara seperti yang biasa dilakukan itu suatu bidaah yang tidak bersumberkan Islam , buat anakku , cukuplah dengan amalan yang dilakukan olehnya sendiri .”
Jawapan tentang permasalahan ini telah disiarkan oleh akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947 .

Bidaah Dalam Berwirid Dan Berdoa
Selain daripada itu , masyarakat Melayu juga gemar berdoa dengan suara keras dengan menggunakan pembesar-pembesar suara sehingga kedengaran jauh kerana sudah menjadi kebiasaan .

Sebenarnya , untuk berdoa , kita perlulah memenuhi tentang pantang larangnya , tidak boleh melalui perantaraan , dengan ikhlas , khusyuk dan tawadhuk , tidak riak , tidak takabbur dan tidak boleh dengan suara keras menengking .

Dalam hal ini Abu Musa al-Asf’ari meriwayatkan :
“Orang-orang yang mengangkat suara mereka dengan berdoa dalam sebahagian perjalanan , maka Rasulullah SAW bersabda kepada mereka : Batasilah diri kamu
( jangan bersuara keras ) , kerana bahawasanya kamu tidak memohon kepada orang pekak dan bukan pula kepada orang yang tiada , sesungguhnya yang kamu meminta kepadanya itu adalah Maha mendengar dan dekat , lebih dekat kepada seseorang kamu dari tengkuk kenderaannya .”

Apatah lagi jika berdoa dengan suara yang keras sehingga mengganggu orang lain , ia termasuk dalam bidaah yang tercela .

Bidaaah Membaca Al-Quran Atau Tarhim Di Menara Masjid
Membaca Al-Quran atau tarhim di menara masjid adalah juga bidaah .Lazimnya ia dilakukan dengan dibaca atau melalui pita rakaman lebih-lebih lagi dilakukan di waktu dinihari sebelum subuh . Bacaan-bacaan ini boleh mengganggu orang-orang sakit , orang-orang tidur ataupun orang-orang yang ingin beribadat .
Menurut al-Imam Ibnu al-Jauzi , di antara pekerjaan-pekerjaan mungkar ialah seseorang bangun di malam hari di menara-menara masjid lalu membaca zikir atau sesuatu surah al-Quran dengan suara yang lantang lalu mengganggu manusia yang sedang tidur dan mengganggu bacaan orang-orang yang sedang bersolat tahajjud .

Sebab-sebab Timbulnya Bidaah

Jahil
Bidaah amat mudah membiak dalam satu masyarakat yang jahil , pemimpin yang jahil dan ulama yang beku dan kaku . Masyarakat ada sebahagiannya yang gemar membicarakan masalah agama yang tidak difahaminya . Tindakan memperkatakan urusan-urusan agama tanpa ilmu adalah satu kesesatan dan menyesatkan orang .

Jahil dalam Bahasa Arab
Al-Quran , al-Hadis dan kitab-kitab yang muktabar adalah dalam bahasa Arab . Kejahilan dalam bahasa ini akan menyebabkan salah faham dan kesesatan .
Sebagai contohnya :
Allah berfirman :
و اعبد ربك حتى يأ تيك اليقين
Ertinya :
“ Dan hendaklah kamu menyembah Tuhanmu sehingga datanglah keyakinan kepadamu ,”

Yang dimaksudkan dengan perkataan yakin di situ ialah mati , tetapi kerana kejahilan bahasa Arab , yakin disini dimaksudkan dengan keyakinan . Ayat itu diertikan sebagai : “Hendaklah kamu berabdi kepada Allah sehinggalah datang kepadamu keyakinan ” , maka apabila sudah ada keyakinan tidaklah lagi wajib berabdi kepada Allah . Akhirnya tidak berzakat, tidak bersolat dan tidak menunaikan fardhu haji kerana mereka beralasan telah sampai ke martabat yakin .

Jahil Sunnah
Maksudnya ialah kejahilan tentang martabat hadis sama ada shahih , hassan, dhaif dan maudhu’. Hadis-hadis yang terlalu dhaif seperti hadis mungkar , matruk , batil dan maudhu’sama sekali tidak boleh digunakan . Sebagai contoh , bagi menggalakkan umat supaya mengadakan perayaan maulid Nabi SAW maka hadis ini digunakan :
من عظم مو لدى كنت شفيعا له يوم القيا مه
Ertinya :
“Barangsiapa yang membesarkan hari kelahirannku , maka akulah pemberi syafaat kepadanya pada hari qiamat .”

Jahil Konsep Ibadat
Sebahagian masyarakat Melayu hanya memahami bahawa ibadat itu hanyalah terbatas kepada ibadat-ibadat yang khusus sahaja seperti solat wajib atau sunat , puasa wajb atau sunat , zakat , haji , umrah , sedekah , wakaf , zikir , tahlil , takbir , tasbih , tahmid , istighfar , membaca al-Quran dan sebagainya . Apa yang mereka faham ialah perkara yang selain daripada itu , tidak termasuk ibadat . Akhirnya mereka merasakan bahawa ruang lingkup ibadat menjadi sempit walaupun mereka telah melakukan semua ibadat khusus tersebut . Justeru itu , mereka mencari amalan-amalan lain dengan membaca sesetengah kitab yang diajar oleh sesetengah guru seperti solat khas pada malam-malam tertentu dan puasa khas pada hari-hari tertentu .

Mengikut Hawa Nafsu
Oleh kerana mengikut hawa nafsu , masyarakat Melayu sanggup melakukan penyelewengan . Nafsulah yang mengajak orang ingin menjaga kemasyhuran , menjaga kepentingan diri , keluarga , suku dan ingin dipuji . Nafsu jugalah yang menyebabkan timbulnya puak-puak sesat . Mereka sanggup mengada-ada , membuat alasan dan dolak dalik yang keluar dari dasar dan roh Islam yang sebenarnya .
Allah berfirman di dalam al-Quran :
ان النفس لا مارة بالسوء الامارحم ربى

Ertinya :
“ Sesungguhnya nafsu itu menyuruh berbuat jahat kecuali nafsu yang dirahmati oleh Tuhanku .”

Taqlid Buta Kepada Guru
Manusia selain Rasul , walaupun betapa tinggi martabat keilmuannya dan kesolehannya tidak terlepas daripada kesilapan dan kesalahan . Sikap bertaqlid buta akan menyebabkan matinya roh ijtihad . Apabila berlakunya pertembungan antara fatwa guru dengan al-Quran dan al-Sunnah , fatwa gurulah yang diutamakan kerana guru dianggap serba tahu , keramat dan maksum . Jika dikaji , tidak ada imam-imam mujtahidin yang mewajibkan orang bermazhab kepada mereka . Sikap bertaqlid buta kepada guru-guru dan kitab-kitab tertentu adalah menjadi penyakit kepada umat dan menjadi punca lahirnya bidaah .

Memperdaya Umat Islam
Sebahagian kaum Syiah dan sebahagian kaum Sufi mencipta bidaah dengan tujuan menghancurkan Islam dan menyesatkan kaum muslimin . Di dalam ilmu Tasauf , ada satu ajaran mengenai kasyaf . Kasyaf ialah sumber pengetahuan dalam ilmu tasawuf yang sama kedudukannya seperti akal dalam Ilmu Tauhid . Dengan kasyaf , orang boleh merombak sesuatu hukum yang telah ada atau mengadakan sesuatu cara ibadat yang belum atau tidak disyariatkan melalui lidah para rasul . Tidak hairanlah jika Agama Kristian di dunia sekarang ini ialah dari ajaran Paulus . Pengikutnya yakin bahawa beliau mendapat kasyaf berjumpa dengan Nabi Isa a.s sedangkan Nabi Isa sudah diangkat .

Menurut tafsiran kitab Tafsir al-Azhar , juzu’ II , halaman 287 – 288 :
“Yang sangat merosak agama pula ialah yang ditimbulkan oleh golongan tasawwuf yang semacam itu ialah tentang adanya kasyaf . Kasyaf ertinya pembukaan rahsia yang tersembunyi . Menurut mereka , seseorang yang telah mencapai martabat wali itu boleh diberi Allah kelebihan dengan dikasyafkan kepadanya oleh Allah rahsia-rahsia yang tersembunyi , yang ghaib . Kadang-kadang mereka mengubah hukum agama yang tertulis di dalam al-Quran dan Hadis sebab tuan Syaikh telah mendapat kasyaf dari Allah baik di dalam suatu mimpi atau suatu ilham supaya dikerjakan begini atau begitu , yang tidak ada dari pokok syariat dari al-Quran dan Hadis itu .”

Sebab-sebab Bidaah Membiak
Puncanya ialah , orang Melayu merestui dan mengikuti amalan-amalan bidaah setengah-setengah orang alim kerana berkeyakinan bahawa apa yang diamalkan orang alim itu adalah benar .

Selain itu , adat tradisi orang-orang Melayu sebelum kedatangan Islam masih dilakukan sebagai satu amalan agama seperti berkaitan dengan wanita mengandung , urusan kematian , perkahwinan dan perkara ini direstui oleh sesetengah guru dan mendiamkannya . Perbuatan ini ( mendiamkan diri ) dianggap membenarkan perbuatan bidaah .

Ada juga orang yang cuba menegakkan sunnah dan menafikan bidaah tetapi dianggap mengajar ilmu sesat yang kononnya bertentangan dengan ajaran mazhab Syafi’i . Tidak kurang juga yang menganggap bidaah adalah masalah remeh-temeh dan tidak perlu diberi perhatian .

Selain itu apabila perasaan cintakan kedudukan dan ingin mempertahankannya berkumpul di dalam jiwa mula bermaharajalela , ada juga pemimpin tarikat atau pemimpin jamaah yang buta agama , untuk menjaga kedudukannya , sedangkan mereka bukan ahlinya , telah mencipta wirid , amalan zikir doa dan sebagainya untuk diberikan kepada murid-muridnya . Inilah sebabnya mengapa bidaah bertambah banyak sehingga tidak terhitung .

Bidaah Yang Menjadikan Pengamalnya kufur
Ada beberapa kepercayaan di kalangan masyarakat Melayu yang jika diamalkan boleh membawa kepada kufur . Bidaah ini ialah yang berkaitan dengan prinsip-prinsip agama seperti dalam masalah aqidah . Contohnya ialah seperti berikut :
 Berfikiran dan berkeyakinan bahawa para wali di dalam kubur boleh melakukan perkara-perkara seperti di dalam dunia , boleh mengarahkan manusia yang hidup serta menjadi penyebab dalam mendapatkan sesutau ataupun tidak .
 Berkeyakinan bahawa para wali lebih mulia daripada nabi SAW .
 Berkeyakinan bahawa ada di antara para wali yang dipanggil untuk mendengar dan mengabulkan permohonan peminta seperti diselamatkan dari kesusahan atau kecelakaan .
 Berkeyakinan bahawa ada ayat-ayat yang bertentangan di dalam al-quran .
 Berfikiran bahawa siksa dan nikmat kubur itu tidak ada kerana bertentangan dengan akal .
 Berkeyakinan bahawa sifat Allah itu ruh bagi Nabi Muhammad; sifat Muhammad ruh bagi manusia; sifat manusia ruh bagi binatang.
 Mempercayai bahawa Awal pun Nur, Akhir pun Nur; Nur itu zat Allah' Nur itu Muhammad.
 Sembahyang itu memadai dengan niat dalam hati jua. Tidak perlu
mengerjakan rukun yang 13 itu , iaitu niat yang termaklum di sisi mereka
sahaja .

Al-Masalihul Mursalah bukan bidaah
Al-Masalihul Mursalah adalah bukan bidaah . Ia adalah tindakan lanjut dari kaedah prinsip “Suatu kewajipan yang tidak boleh sempurna kecuali dengan sesuatu maka sesuatu tersebut menjadi wajib. ”
Perkara-perkara tersebut termasuklah :-
 Mengumpulkan catatan-catatan Al-Quran sehiggga menjadi sebuah kitab.
 Mengenakan denda dengan harta yang telah ditetapkan .
 Memanfaatkan harta haram sementara tidak ditemukan harta halal .
 Membuat mihrab di dalam masjid .
 Membuat menara-menara dan tempat azan yang tinggi di masjid.
 Meninggikan mimbar dengan bertingkat-tingkat agar jemaah yang besar dapat mendengar khutbah dengan lebih jelas.
 Membuat pembesar suara agar dapat didengar oleh orang ramai .
 Membukukan penemuan-penemuan baru seperti ilmu hadis , ilmu fiqh , nahu saraf dan lain-lain .
 Membuat mesin-mesin berteknologi tinggi untuk menumbuk bji-bijian .
 Menaiki kederaan seperti kapal terbang dan helikopter .
 Membuat alat percetakan moden untuk mencetak buku .

Kesemua ini tidak ada dalam al-quran dan hadis , mahupun ijma’ . Kesemuanya termasuk dalam al-marsalihulmursalah . Ia adalah bukan bidaah .

Cara-cara Mencegah Dan Membasmi Bidaah
 Mengharamkan buku-buku yang mengandungi perkara-perkara bidaah daripada disebarkan kepada masyarakat
 Pihak berkuasa tentang agama negeri ini hendaklah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memeriksa dan meneliti buku-buku agama .
 Memberi penerangan kepada masyarakat supaya menghindari bidaah melalui khutbah jumaat , risalah , ceramah dan pengajian di surau-surau .
 Menyebarkan kepada masyarakat sunnah-sunnah yang shahih .
 Memastikan perlantikan jawatan-jawatan seperti pegawai-pegawai agama , bilal-bilal , mubaligh-mubaligh , guru agama hendaklah diberikan kepada yang benar-benar layak .
 Semua tenaga agama hendaklah diberi kursus tentang perkara bidaah dan cara mengatasinya .
 Kerajaan , alim ulama dan guru-guru hendaklah terlebih dahulu meninggalkan perkara bidaah .

Kesimpulan

Bidaah ialah perkara yang baru yang tiada dalam syariat . Jika ia berkaitan dengan akidah , amal ibadat dan kepercayaan , ia akan menjadikan pengamalnya kufur . Jika ia berkaitan dengan al-marsalih al-mursalah , ia tidak dinamakan bidaah .Urusan-urusan adat yang tiada ketentuannya dari syarak adalah satu kebebasan kepada manusia untuk mengurus mengikut kebijaksanaan mereka .Bidang-bidang ini termasuklah pertanian , perladangan , perburuan penternakan, perlombongan dan sebagainya .

Mewujudkan jentera , kilang mesin dan sebagainya adalah tidak dinamakan bidaah walaupun menurut bahasa ia dinamakan bidaah .

Bidaah adalah satu perbuatan yang tercela dan dosa serta melibatkan penolakan amalan oleh Allah . Besar atau kecilnya dosa bidaah yang dilakukan dan berdasarkan motif apa bidaah itu dilakukan . Allah telah berfirman :

ام لهم شركؤا شرعوا لهم من الدين مالم يادن به الله
Ertinya :
“ Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka dari urusan agama yang tidak diizinkan Allah ?”

Masyarakat Melayu perlulah lebih berfikiran terbuka dan lebih banyak membaca serta berguru . Mereka tidak boleh hanya mengharapkan satu sumber pengetahuan sahaja . Lebih-lebih lagi pada zaman moden yang memasuki era globlisasi ini . Mereka perlu melihat dunia dengan mata burung dan bukan dengan mata tempurung .

Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita telah mengamalkan bidaah yang tercela dan boleh membawa kepada kekufuran . Sesungguhnya batu sempadan kekufuran itu tidak kelihatan . Jika kita tersilap langkah , kita akan berada di sebelah kiri batu sempadan keimanan dan menjerumuskan diri ke dalam neraka Allah .

Dengan mendalami Tauhid Uluhiyah , Tauhid Rububiyah dan Tauhid Asma’ dan Tauhid al-Sifat , kita akan lebih tenteram kerana kita berada dalam lingkungan kefahaman yang boleh menyelamatkan diri kita daripada perkara-perjara syirik , khurafat dan bidaah dan Insya Allah kita tergolong dalam golongan yang dinamakan golongan Al-sabiqun dan golongan ashabul Yamin . Semoga amalan kita semua diterima oleh Allah dan kita terhindar daripada sebarang anasir bidaah , syirik dan khurafat .


Wallahu a’lam bis sawwab .



Bibliografi

AbdulFattah Haron Ibrahim ( Prof. Madya ), Beberapa Masalah Utama Dalam Tasawuf : 1992 , Kuala Lumpur , Bahagian Hal Ehwal Islam , Jabatan Perdana Menteri .
Abdul Ghani Bin Yahya , Idaman Penuntut Pada Menghuraikan Yang Kusut Penggal Yang Pertama ( Ilmu Fiqh ) : 1990 , Johor Bahru , Penerbitan Haji Abd. Ghani Haji Yahya .
Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris ( Drs. ) , Al- Bidaah Bahaya dan keburukannya : 2000 , Kuala Lumpur , Al-Hidayah Publishers .
Hassan bin Haji Ahmad , Usul Fiqh : 2002 , Kuala Lumpur , Pustaka Haji Abdul Hamid
H.M. Tuah Iskandar , 600 Jawapan Kemusykilan Agama Jld. 1 : 1998 , Kuala Lumpur , Karya Bistari Sdn. Bhd.
H.M. Tuah Iskandar , 600 Jawapan Kemusykilan Agama Jld. 2 : 1999 , Kuala Lumpur , Karya Bistari Sdn. Bhd.
Kasmuri Selamat MA , Rahsia Dan Amalan Bulan Islam , Muharam - Zulhijjah : 2000 , Kuala Lumpur , Darul Nu’man .
Ma’mur Daud , Terjemah Hadis Shahih Muslim : 1997 , Selangor , Klang Book Centre .
Muhammad Sjafi’i Hadzami bin Muhammad Saleh Raidi , Seratus masalah Agama : 2000 , Kuala Lumpur , Victoria Agencie .
Mohd . Yusuf Ahmad , Perkembangan Mazhab-Mazhab Ilmu Kalam Dalam Islam : 1995 , Kuala Lumpur , Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia .
Noh bin Gadut , Khutbah-khutbah Jumaat : 1991 , Johor Bahru , Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor .
Salim Bahreisy , Terjemahan Riadhus Shalihin Jld. 1 dan 2 : 1995 , Kuala Lumpur , Victory Agencie .
Syed Alwi bin Tahir al-Hadad , Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor : 1990 , Johor Bahru , Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor .
Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz , Berhati-hati terhadap Bidaah : 2004 , Johor Bahru , Perniagaan Jahabersa .
Syeikh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi , Bidaah sumber Kehancuran Umat : 2002 , Johor Bahru , Perniagaan Jahabersa .
Zainuddin Hamidy , Fachruddin Hs , Tafsir al-Quran : 1991 , Selangor , Klang Book Centre .
Akhbar Mingguan Malaysia , Ruangan 1,001 Kemusykilan .