Sabtu, 12 Disember 2009

Islam dan Aliran Pemikiran Semasa



SLQ 4602


مركز الدراسات الاسلامية والبناء الاجتماعي



Soalan 1
Berikan dua ciri perbezaan antara Islam dan Sekularisme.


Jawapan.


Sekularisme bermula pada pertengahan Abad ke 19. Ia diasaskan oleh George Jacob Holyoake (1817-1906). Golongan ini hanya mementingkan manusia di dunia dan menafikan kewujudan alam akhirat . Ada pendapat menyatakan Aristotle merupakan pengasas gerakan ini yang berpendapat bahawa Allah tidak mempunyai hubungan dengan alam , tidak mengetahui apa yang terjadi di dalamnya tidak mengatur urusan apapun di dalamnya . Sekularisme mengamalkan doktrin iaitu urusan agama untuk Allah dan pemerintahan dunia untuk pemerintah .  Istilah sekularisme timbul di Eropah pada Zaman Renaisans pada abad 14M-17M  dari aspek sejarah pula , Sekularisme merujuk kepada yang tidak di bawah pengaruh dan naungan  institusi gereja Katholik Rom.


Islam dan Sekular sudah pasti mempunyai perbezaan kerana Islam adalah agama wahyu yang datangnya dari Khaliq  yang tiada sebarang kecacatan manakala sekularisme adalah fahaman ciptaaan manusia yang sudah pasti banyak kelemahan dan kekurangan.


Dua ciri perbezaan tersebut ialah :


i. Sekularisme menolak kepercayaan adanya Tuhan. Mereka berpendapat bahawa segalanya berpusat pada alam ini . Menurut mereka , tuhan itu tiada sama ada Tuhan Allah ataupun kepercayaan-kepercayaan ketuhanan lain. Mereka hanya percaya kepada fakta  yang emperikal.


 Islam mempercayai adanya Tuhan dan segala perbuatan manusia ini adalah dalam kekuasaan Tuhan. Tuhan adalah musyari’ dan Khaliq yang mencipta dan mempunyai segala kejadian . Ketauhidan ini adalah menjadi asas dalam ajaran islam . Malah mereka yang ragu-ragu dengan Tuhan , sudah cukup untuk menjadikan mereka syirik dan tergolong dalam golongan orang-orang yang tidak beriman.


ii. Menolak kepercayaan adanya Hari  Akhirat dan perkara-perkara berkaitan kehidupan selepas mati . Mereka berpendapat bahawa kehidupan ini hanyalah di dunia. Tiada bukti yang manusia akan hidup semula selepas mati kerana belum ada dalam sejarah, manusia yang mati hidup semula dan menceritakan pengalaman di alam barzakh.


Dalam Islam , hari Akhirat adalah pasti dan akan berlaku selepas dunia ini hancur akibat qiamat . Manusia akan dibalas berdasarkan amalan mereka sewaktu di dunia . Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran seperti firman Allah dalam Surah al-Waqia’h dan Surah Yaasin dan banyak lagi surah-surah yang memperihalkan hari akhirat.


Sesara kesimpulannya , ada banyak ciri perbezaan di antara sekularisme dan Islam. Namun begitu  dua ciri ini pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa Islam adalah agama yang hak , syumul serta sesuai disebut sebagai ”The Way of Life”. Sekularisme yang dipanggil syaitan oleh Dr. Yusuf Qaradhawi ini menyerap ke dalam pemikiran generasi kita sedikit demi sedikit dan akhirnya merosakkan struktur budaya dan nilai masyarakat Islam di Malaysia. Semoga kita semua dipelihara oleh Allah . Sesungguhnya pepatah Melayu ,’Beringat sebelum kena’ adalah lebih baik diamalkan daripada ’Sudah terhantuk baru tengadah’. Wallahu a’lam.




2.                 Jelaskan secara ringkas dua hujah penolakan Dr. Yusuf Qaradhawi tentang istilah Sekularisme. (4 markah)




3.       Pada pendapat anda , apakah cabaran utama yang dihadapi oleh umat Islam dan cadangan menangani cabaran tersebut. (4 markah).


Pada pendapat saya , cabaran utama yang dihadapi oleh umat islam ialah cabaran penjajahan pemikiran . Seandainya dahulu , kekuatan penjajah dapat menakluki sesuatu wilayah namun pada masa kini, mereka tidak perlukan kekuatan tentera untuk menakluki sesebuah wilayah tetapi cukup bagi mereka dengan menjajah fikiran rakyat khususnya Islam di sesebuah wilayah .


Ketakutan pihak barat terhadap umat Islam hanya apabila umat Islam berpegang kepada al-Quran dan al-Hadis . Mereka melihat bahawa umat Islam yang teguh dengan al-Quran mempunyai kekuatan yan sangat luar biasa . Sejarah telah membuktikan yang mana pada zaman Rasulullah, umat Islam yang berkuantiti minoriti mampu manjadi penguasa wilayah yang besar dengan berbekalkan iman dan taqwa . Kekuatan iman adalah sangat mujarab . Meraka tidak menjadikan ekonomi sebagai teras perjuangan tetapi mereka menjadikan iman sebagai asas perjuangan . Mereka mampu menjadi muslim yang stabil dan dihormati walaupun mereka ada yang makan hanya 2 atau 3 hari sekali .


Kemajuan telah menjadikan asas perjuangan umat Islam berbeza. Kini , perjuangan umat islam lebih ke arah ekonomi dengan harapan ekonomi akan memartabatkan umat islam . Pandangan seperti ini amat berbahaya kerana , jika ekonomi jatuh dan iman mereka lemah , mereka akan mudah diperkotak katikkan dan dipandang hina . Berbeza pada zaman Rasulullah , mereka tetap teguh kerana iman mereka kukuh walaupun miskin harta .


Oleh kerana pertentangan di antara barat dan timur atau Islam tiada penghujungnya dan lebih-lebih lagi setelah ramai yang terkorban dalam perang salib , pihak barat menukar taktik serangan iaitu daripada serangan fizikal kepada serangan rohani dan serangan urat saraf. Secara senyap-senyap , mereka telah menjadikan umat Islam yang berfizikal Islam dan bernama islam menjadi masyarakat yang berkiblatkan dan berrohkan barat .


Inilah cabaran yang berat yang mahu tidak mahu harus dipikul oleh umat Islam . Serangan pemikiran barat terlalu banyak termasuklah Sekularisme  Orientalisme , Pascamoden , Saintisme dan banyak lagi pemikiran yang merosakkan termasuklah Kapitalisme , Komunime dan Sosialisme. Pemikiran ini menjauhkan manusia daripada tuhan . Mereka mendakwa bahawa dunia ini adalah segalanya dan tiada apa-apa kaitan dengan tuhan . Justeru itu , kehidupan mereka tiada nilai . Mereka melihat nilai itu adalah ciptaan manusia dan ia tidak perlu dipatuhi .


Proses globalisasi telah menjadi satu wasilah untuk menyebarkan berbagai bentuk pemikiran syaitan ini ke seluruh dunia sehingga dunia menjadi porak peranda . Melalui globalisasi , dengan mudah mereka menguasai pemikiran , cara hidup dan nilai manusia . Dunia kini dilihat semakin kecil dan lebih berkiblatkan negara ’Uncle sam’. Amerika telah mencetak dan mengadun corak ekonomi , sosial dan politik dunia . Kebanyakan umat Islam hanya mengikut dan menerima kerana mereka tidak berdaya untuk melakukan apa-apa walaupun sebenarnya mereka mampu . Sebenarnya umat Islam dijadikan daripada sebaik-baik kejadian tetapi oleh kerana mereka telah lama dimomokkan oleh barat dan termakan budi negara barat , kebanyakan negara Islam kini sudah menjadi seperti lembu dicucuk hidung.


Untuk mengatasi masalah ini , gerakan sepadu perlulah dilakukan melalui pendekatan induktif . Pendekatan ini menggerakkan perubahan daripada dalam setiap individu Islam . Pembangunan intrinsik perlulah dibina . Motivasi dalam perlulah dimarakkan agar individu ini mempunyai jati diri . Pembinaan rohani perlulah diperkasakan dengan berteraskan aqidah yang mantap . Sebuah negara dibentuk oeh gabungan negeri. Negeri dibentuk oleh gabungan daerah. Daerah dibentuk oleh kampung . Kampung dibina daripada masyarakat . Masyarakat dibina daripada keluarga dan keluarga dibina daripada individu . Apabila mantap individu , maka secara teorinya, akan mantaplah negara . Untuk melahirkan indivudu yang berkualiti , perlukan dasar pendidikan yang juga berteraskan falsafah Pendidikan Islam . Jika kita lihat sebuah bangunan yang besar, bermula dari sebuah bata dan juag harus diingat , ia juga akan musnah dalam sekelip mata . Maka dengan kukuhnya individu, dan sikap cubit peha kiri peha kanan terasa jua, maka saya berpendapat walau apa pun yang datang , umat islam tidak berasa bimbang .


Selain itu , era globalisasi dewasa ini boleh digunakan untuk mengglobalisasikan Islam . Berbalik kepada singkapan sejarah ,  Islam adalah agama yang universal . Agama global ini bukan hanya sesuai untuk seluruh semesta alam tetapi juga sesuai dari dulu , kini dan hingga hari akhirat . Pengetahuan sains dan teknologi maklumat perlu dikuasai oleh umat Islam supaya umat Islam mampu menangkis segala dakyah buruk pihak barat . Menuntu ilmu adalah wajib bagi setiap umat islam . Ini adalah kerana ilmu akan menjaga pengamalnya sedangkan harta menuntut pemiliknya untuk menjaganya .


Maka dengan itu , pemantapan ilmu perlulah digemblengan di seluruh umat Islam agar umt Islam mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan barat . Ilmu kajian di barat sudah dipacu dengan kencangnya sejak sejak berabad yang lalu dan sumber mereka ialah cendikiawan Islam . Maka tidak mustahil pada waktu ini , perlulah kita bangun semula dan menjalankan kajian yan lebih banyak dan menulis dengan lebih banyak dan juga mencipta rekaan baru dengan lebih banyak . Ini akan melepaskan diri kita daripada belenggu masyarakat pengguna kepada masyarakat pencipta . Semua ini perlukan anjakan paradigma yang beristiqamah agar matlamat kita bukan hanya wawasan 2020 tetapi menjangkau lebih daripada itu iaitu wawasan akhirat yang secara metematiknya ditafsirkan sebagai negara yang infiniti .


Sebagai kesimpulannya, cabaran umat Islam kini semakin hebat . Keruntuhan masyarakat kita bukan hanya daripada satu faktor tetapi juga banya faktor lain .  Serangan pemikiran ini amat berbahaya dan dikhuatiri kita akan menjadi pendunkung pemikiran yang sesat ini tanpa kita menyedarinya.


Namun begitu , usaha yang diambil dengan mengambil kira pembentukan jati diri berasaskan aqidah  dan pembentukan insan yang kamil dijangkakan akan berjaya melahirkan  masyarakat madani yang besar jumlahnya, teguh pendiriannya  dan peramah dalam berdakwah . Kita hanya mampu merancang dan tuhan yang menentukan . Selagi kita berusaha dan berdoa, saya berpendapat , tidak ada unsur lain yang boleh merosakkan Islam kecuali dengan kelemahan umat Islam sendiri. Wallu a’lam.




4.       Huraikan pandangan Islam tentang pemikiran pascamoden dan cabarannya. Anda diminta untuk merangka satu strategi yang praktikal bagi mengatasinya. (5 markah).


Sebelum menjawab soalan ini , eloklah disorot dahulu maksud pascamoden. Menurut Kamus Dewan , Pasca membawa maksud selepas,sesudah atau setelah manakala Moden membawa maksud , dari masa sekarang atau berkaitan dengan masa atau kini atau yang terbaru dan mutakhir.


Zakaria Stapa pula mendefinasikan Pascamoden sebagai Fahaman yang bersifat  anti agama dan anti Tuhan kerana ia merupakan lanjutan dan edisi baru kepada fahaman sekularisme Barat Moden.


Pemikiran ini muncul di barat sekitar tahun 1960an dengan kemunculan beberapa pemikir seperti Jean-Francois Lytord, Michel Foucault , Jacques Derrida, Hebermas, nancy Scheper-Hughes dan Jean Bauldrillard.


Cabaran- cabaran Pascamoden boleh difokuskan kepada 2 aspek iaitu aspek luaran dan dalaman.


Menyentuh tentang aspek luaran, pelbagai teknologi canggih telah diperkenalkan seperti teknologi komunikasi dan satelit. Teknologi tersebut berfungsi sebagai penyebar faham Pascamoden . Peralatan-peralatan canggih ini telah mempengaruhi individu dan mencorakkan budaya masyarakat .


Tamadun Pascamoden menyediakan “lebuh raya maklumat” yang mempunyai banyak kesan  sama ada baik atau buruk.


Dari aspek dalaman pula , peralatan canggih boleh membahayakan kepada pegangan akidah dan penghayatan akhlak umat Islam. Keruntuhan moral adalah berkaitan dengan era globalisasi dan hubungannya dengan Pascamoden . Golongan ini sanggup mengenepikan larangan agama dan tidak takut dengan neraka serta tidak tertarik dengan tawaran syurga . Sebagai contoh , remaja Melayu berasa bangga berpeluk cium dengan pasangannya di depan ibu bapa dan khalayak tanpa merasa satu kesalahan. Selain itu, terdapat juga segelintir remaja yang sanggup mengadakan hubungan seks dengan pengambilan pil dadah dan pil khayal dan ia seolah-olah telah menjadi perkara biasa . Umat Islam yang telah berjaya disekularisasikan pemikiran dan gaya hidup seperti di atas adalah disebabkan kerapuhan pegangan agamanya . Umat Islam tidak boleh dibiarkan terdedah kepada teknologi tanpa diberikan kefahaman jelas.


Di dalam pemikiran pascamoden, ada enam ciri penting yang perlu diketahui. Ciri-ciri itu ialah :-


i         Penolakan falsafah dan pemikiran metanaratif
ii        Ketiadaan makna
iii       Proses dekonstruksi
iv       Kematian subjek
v        Krisis Legitimasi
vi       Pasar Intelektual (Intellectual Marketplace)


Menyelurusi ciri-ciri ini , ciri  yang penting dalam pemikiran Pascamoden ialah ketiadaan makna terutamanya makna yang universal.  Dalam konteks kesusasteraan, makna sesebuah teks tidak dapat ditentukan. Ini dijelaskan oleh Derrida sebagai tidak ada makna untuk ”Once and for all time”.


Di sini , makna tidak dapat ditentukan kerana pengarang sudah mati. Sudah tentulah pemikiran seperti ini membawa kekeliruan terutamanya dalam konteks memahami al-Quran dan teks agama. Mana mungkin, satu teks yang sama ditafsirkan oleh pemahaman individu yang sudah pasti mengundang beribu pengertian yang berbeza dan  mengelirukan.


Pemikiran seperti ini amat bahaya kerana ia memberikan kebebasan kepada pembaca untuk memahami teks mengikut pengertian mereka dan bukan pengertian pengarang . Pemikiran ini akan menjadikan teks-teks khususnya teks agama ditafsrikan mengikut kehendak sendiri. Allah telah menurunkan al-Quran dengan panduan yang diberikan oleh Rasulullah . Rasulullah mempunyai tanggunjawab untuk menjelaskan al-Quran. Selepas kewafatan rasul maka tugas ini diambil alih oleh para sahabat, tabiin, tabi’ tabi’ian dan seterusnya para ulama. Mereka amat menjaga periwayatan . Ketelitian seperti ini amat penting demi memastikan keaslian dan kesahan al-Quran sesuai dengan martabatnya sebagai mukjizat .


Untuk mengatasi masalah ini, usaha bersepadu dan beristiqamah perlu dilakukan . Oleh kerana ancaman pemikiran ini berbahaya maka langkah-langlah yang dilakukan juga mestilah tersusun dan praktikal. 


Professor Syed Naquib al-Attas percaya bahawa pendidikan adalah cara yang paling berkesan untuk membentuk masyarakat . Daripada kenyataan ini, kita perlulah merangka dan melaksanakan satu sistem pendidikan yang mampu membentuk budaya masyarakat yang berfikiran Islam dan melaksanakan cara hidup Islam . Menurut pepatah pujangga , ’Pelajaran tinggi tanpa budi pekerti, tiada nilainya’. Sistem pendidikan yang berteraskan nilai akan membimbing masyarakat ke arah cara hidup yan lebih bernilai . Namun begitu , asas kepada pendidikan untuk membentuk jati diri ialah aqidah . Aqidah yang kuat akan membentuk iman yang kukuh . Iman inilah yang akan menjadi benteng kepada unsur-unsur syaitan yang cuba menyelinap di dalam sanubari . Kemantapan iman sebenarnya akan memantapkan nilai jati diri . Akhirnya , manusia akan dibentuk mengikut acuan yang sempurna , tabah menghadapi cabaran , tekal menghadapi godaan , teguh berhadapan dengan musuh dan takut (khauf) dengan azab Allah serta berharap (raja’) syurga Allah . Sikap seperti ini adalah sikap para sahabat Rasulullah yang telah ditarbiyah oleh Rasulullah melalui wahyu yang disampaikan oleh Allah melalui perantaraan malaikat Jibril .


Selain daripada itu , langkah lain yang boleh diambil ialah para intelektual Islam , para cendikiawan islam dan pakar-pakar Islam dalam pelbagai bidang perlulah menolak pemikiran yang berbahaya ini dengan mengadakan seminar-seminar dan pembentangan intelektual di peringkat antarabangsa . Mereka perlulah berani bersuara dan berjihad di peringkat internasional melalui wadah dan forum yang sesuai . Selain itu, mereka juga perlulah menyebar luaskan pemikiran Islam yang lebih relevan dan lebih rasional untuk membentuk manusia yang akan menjaga alam .


Pemikiran pascamoden adalah pemikiran yang secara kognitifnya tidak salah pada anggapan mereka tetapi dari aspek afektifnya , ia menyumbangkan unsur-unsur negatif yang bukan membangunkan dunia tetapi akan merosakkan dunia . Perkara ini perlulah disebarluaskan melalui laman-laman web dan rangkaian internet . Mereka juga perlulah menjadi dai’ yang berdakwah bukan hanya kepada objek dan subjek tertentu tetapi mestilah menyeluruh  pada setiap ruang kesempatan . Sesungguhnya masyarakat biasa hanya akan menerima dengan mudah segala sogokan yang diberikan oleh barat . Sesuatu mekanisme perlu diadakan untuk mengatasi masalah
 ini . Inilah tugas mereka yang telah dipilih oleh Allah menjadi cerdik pandai Islam. Mereka perlulah bergerak dalam semua organisasi untuk berjuang membantu masyarakat daripada lemas dalam lautan Pascamoden yang menganggap bahawa realiti ialah simulacra . Wallahu a’lam.




5.       Berikan pandangan anda tentang kenyataan  ’Globalisation is an Americanization.’(4 markah)


Gobalisasi ialah satu usaha untuk mengubah nilai manusia khususnya cara berfikir dan bertindsk yang dilakukan oleh satu daerah dunia kepada satu daerah dunia yang lain. Usaha globalisasi merupakan usaha penerapan ideologi budaya dan cara hidup oleh kuasa-kuasa besar . Jika kita melihat takrifan Nurcholish Majid, globalisasi ialah satu proses mengubah kehidupan manusia kepada satu masyarakat sahaja.


Globalisasi sebenarnya dibentuk oleh enam peradaban besar iaitu peradaban barat , Cina , Jepun , Islam , hindu dan amerika latin . Namun begitu , kekuasaan barat kini berada pada puncak yang luar biasa dalam perhubungannya dengan peradaban lain . Barat yang dimaksudkan ialah Amerika yang mana kekuatan tenteranya tidak dapat ditandingi . Ia mendominasi lembaga-lembaga politik dan keamanan antarabangsa . Masalah-masalah politik dan keamanan global dikuasai oleh Amerika , Inggeris dan perancis .


Americanization juga menyaksikan masyarakat dunia mempunyai gaya hidup yang sama melalui globalisasi 3F iaitu Food , Fashion dan Fun . Kantucky Fried Chiken , McDonald dan Pizza Hut kini telah mengambil alih makanan tempatan di seluruh dunia . Begitu juga pakaian dan fesyen . Arus perkembangan fesyen berkiblatkan barat dengan wasilah mereka ialah CNN dan stesyen televisyen antarabangsa yang sentiasa mewar-warkan fesyen terbaru  dan ia menjadi satu cara hidup walaupun bercanggah dengan tuntutan Islam. Muzik juga dikuasai oleh barat . Amerika menyebarkan muziknya yang bernilai negatif ke seluruh dunia dengan alasan kebebasan individu . Ia sebenarnya amat berbahaya dan melalaikan lebih-lebih lagi, ia boleh mengheret manusia keluar daripada konsentrasi agama.


Amerika juga mencengkam ekonomi dunia dengan menguasai Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan bank Dunia. Melalui jalan ini , Amerika mencanangkan sistem ekonomi yang berasaskan rukun kapitalis yang mementingkan keuntungan dan mengenepikan kebajikan . Cara ini  telah menarik perhatian negara-negara membangun untuk mengamalkannya . Kesannya ialah rakyat terpaksa membayar beban yang tinggi untuk keperluan asas mereka.


Sebagai kesimpulan , manusia di seluruh dunia juga telah diadun dan diacu oleh Amerika dengan budaya materialsme dan hedonisme . Nilai-nilai Amerika dengan mudah memasuki pemikiran masyarkat lalu menghakis kepercayaan agama dan menukarkan matlamat hidup mereka daripada kehidupan akhirat kepada tujuan hidup di dunia semata-mata. Akhirnya , masayarakat dunia akan hanya berpegang kepada budaya , nilai , dan gaya hidup Amerika . Selain itu, Politik , sosial dan ekonomi dunia juga digenggam oleh Amerika . Inilah bukti yang manyatakan bahawa ’Globalisation’ ialah ’Americanization”. Wallahu a’lam.
















Tiada ulasan: