Bertepuk tangan dan bersiul. Boleh atau tidak?
Oleh: Ibnu Jaffar
Rakan sekalian, dalam artikel ini, saya akan menjelaskan tentang persoalan bertepuk tangan dan bersiul. Maklumlah, kita selalu bertepuk tangan dan bersiul. Hanya hukum sahaja yang kita tidak tahu. Ini kerana, ada orang yang melarang dan ada yang tidak. Justeru itu, sudah tentu anda tertanya-tanya sama ada boleh atau tidak anda bertepuk tangan dan bersiul.
Rakan sekalian, sebenarnya bertepuk tangan dan bersiul dinyatakan di dalam al-Quran dalam surah al-Anfal ayat 35 yang bermaksud:
”Dan tidaklah sembahyang mereka pada sisi Baitullah itu melainkan
bersiul dan bertepuk tangan”.
Dalam ayat ini Allah menolak ibadah orang jahiliyah yang bersiul dan bertepuk tangan. Allah mencela siulan dan tepuk tangan jika ia digunakan dalam ibadah. Ini bermakna, Allah tidak membenarkan kita beribadat dengan bertepuk tangan dan bersiul.
Namun begitu, tepukan yang di luar ibadah dengan tujuan memberi semangat dan rangsangan adalah harus hukumnya. Ia sudah dikira sebagai uruf atau adat manusia sejagat. Anda harus ingat bahawa bertepuk tangan juga hendaklah dilakukan di luar masjid atau surau. Selain itu, jangan dijadikan bertepuk tangan sebagai cara untuk mengejek dan menyindir seseorang. Perbuatan ini dilarang Allah melalui larangan umum dalam surah al-Hujurat ayat 11.
Hukum bersiul juga adalah harus jika siulan itu untuk diri sendiri dan tidak mengganggu orang lain. Anda tahu atau tidak bahawa pada zaman dahulu, penggembala kambing, lembu dan unta sering menggunakan siulan untuk mengumpul atau memanggil ternakan mereka? Dalam hal ini, jelaslah bahawa hukum bersiul dan bertepuk tangan itu harus selagi ia tidak melanggar syarak. Wallahu Taala A’lamu Bissawab.
Rujukan: Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Dato’ Hashim Yahaya yang dikeluarkan pada 2 Ogos 1998.
2 ulasan:
Dalam Dialog Rasululullah dgn Iblis, iblis telah menerangkan tentang bab bersiul:
"Lagi satu keuntungan besar hamba ialah orang tua dan kanak-kanak yang bersiul-siul. Mereka itu adalah anak buah hamba. Kerana pada masa hamba dibuang ke dunia ini dahulu, hamba mengembara dan berjalan dengan bersiul-siul. Orang yang bersiul-siul itu adalah penghibur Iblis dan syaitan, tetapi orang yang bang (azan) itu penghambat Iblis dan syaitan kerana Malaikat-Malaikat akan hadir sembahyang bersama-sama mereka."
Ini kisah Israiliat k atau berdasarkan hadis?
Mohon pencerahan..
Catat Ulasan