UCAPAN BAJET TAHUN 2012
Oleh
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN
KETIKA MEMBENTANG
RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2012)
DI DEWAN RAKYAT
PADA JUMAAT, 7 OKTOBER 2011
“DASAR TRANSFORMASI NASIONAL:
BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA”
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta
bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk
perkhidmatan bagi tahun 2012 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk
perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.
MUQADDIMAH
Saya mulakan lafaz ucapan Bajet tahun 2012 ini dengan menyebut kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim.
Tuan Yang di-Pertua,
Seperti berulang-ulang disurat dan disiratkan dalam Al-Quran yang suci
bahawa Allah SWT menyeru kepada kita semua agar menuju sebuah kehidupan
dalam suasana ketenteraman, kemakmuran, kesepaduan dan kesejahteraan
sebagai orang-orang budiman dan berbakti.
Seperti firman-Nya dalam surah Quraish ayat 3 dan 4:
“Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini yakni Ka’abah,
yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan
mengamankan mereka dari ketakutan.”
1. Alhamdulillah, dipanjatkan sejuta pujian ke hadrat Allah SWT di atas
segala nikmat yang dikurniakan kepada rakyat dan negara Malaysia.
Sebagai warganegara yang menganut pelbagai kepercayaan, kita mempunyai
sebab yang bukan sedikit untuk melahirkan rasa kesyukuran kepada Yang
Maha Berkuasa.
2. Hakikatnya, Malaysia adalah negara yang berjaya. Dalam tempoh yang
singkat, kita telah merubah wajah Malaysia dari sebuah watan pertanian
berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden berpendapatan
sederhana tinggi. Sesungguhnya, kejayaan ini tidak datang bergolek dan
tidak terhidang di atas dulang emas. Ia hasil ikatan antara Kerajaan dan
rakyat yang telah bersama memecahkan ruyung-ruyung ketidakyakinan dan
dogma dengan bertunjangkan perancangan sistematik dan pelaksanaan
berkesan. Inilah limpahan rahmat kepada negara yang mempunyai kerajaan
bertanggungjawab semenjak merdeka. Kerajaan yang bukan menjanjikan
bulan, bintang ataupun cakerawala singgah ke riba tetapi ini adalah
sebuah kerajaan yang saban hari memikir, mena’kul, merancang dan
melaksanakan dasar serta prakarsa demi kerukunan rakyat dan
kesejahteraan negara.
Tuan Yang di-Pertua,
3. Kisah kejayaan seumpama ini, bukan satu kelaziman, ia sebenarnya satu
keluarbiasaan. Jika diimbau, terdapat banyak negara di dunia yang
mempunyai lebih banyak potensi untuk berjaya daripada Malaysia di awal
merdeka, namun, mereka telah rebah tersungkur di tengah jalan walaupun
mengendong sarat hasil bumi, malah, tidak terbeban pula oleh faktor
garis rekahan yang berpotensi memusnah, seperti, kemajmukan kompleks,
perbezaan sosioekonomi yang terikat dengan faktor etnik sekalipun
pemisahan fizikal wilayah negara.
4. Jelas termaktub dalam sisir masa, cerita kejayaan pembangunan
Malaysia bukan semata-mata kisah yang dilakar di bilik-bilik Lembaga
Pengarah bangunan-bangunan pencakar langit. Ia adalah citra yang dinukil
pak tani di sawah, nelayan di laut, peneroka di ladang, penoreh getah
di estet, penanam sayur di pinggir bandar, pekerja industri di
kilang-kilang, usahawan-usahawan bertatih di juang niaga, barisan
penjawat awam, guru dan pendidik di bilik-bilik darjah, para pensyarah
di kuliah, anggota keselamatan di medan-medan, para profesional,
budayawan, seniman, pendek kata seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira
kaum, kepercayaan, gender mahupun status ekonomi.
5. Setelah 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka
Panjang yang masing-masing berpayung di bawah Dasar Ekonomi Baru antara
1971 hingga 1990, Dasar Pembangunan Nasional melewati tempoh-tempoh 1991
sampai tahun 2000 dan Dasar Wawasan Nasional yang merentasi 2001 hingga
2010, hari ini, kita sederap untuk menyambung langkah menuju negara
maju berpendapatan tinggi.
6. Seperti mana semua mengetahui, saya telah memulakan pentadbiran ini
dengan menggariskan falsafah pemandu 1Malaysia Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan. Kemudian, ia telah disusuli dengan pelaksanaan
Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan 7 NKRA, Program Transformasi
Ekonomi (ETP) dengan 12 NKEA, Model Baru Ekonomi dengan 8 SRI dan
baru-baru ini, Program Transformasi Politik yang akan menyaksikan proses
besar islah undang-undang bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah
negara yang moden, progresif sekaligus demokrasi yang berfungsi. Selain
itu, dari masa hingga masa, bagi melengkapkan segala-galanya, Kerajaan
akan memetakan lagi beberapa program transformasi sektoral. Kemuncaknya,
kesemua program dan inisiatif ini akan berpayung pada Dasar
Transformasi Nasional atau DTN yang mula berlangsung pada tahun 2011
sehinggalah 2020.
Tuan Yang di-Pertua,
7. Kemasukan pelaburan langsung asing telah kembali rancak dan
menunjukkan trend yang meningkat. Pelaburan langsung asing (FDI)
berkembang 6 kali ganda kepada 29 bilion ringgit pada tahun 2010,
mencatat pertumbuhan yang tertinggi di Asia. Kemasukan FDI terus
melonjak kukuh sebanyak 75 peratus kepada 21.2 bilion ringgit dalam
tempoh 6 bulan pertama 2011 berbanding 12.1 bilion ringgit bagi tempoh
yang sama tahun 2010. Pada tahun 2012, pelaburan swasta dijangka
berkembang kukuh 15.9 peratus disokong oleh peningkatan kemasukan
pelaburan langsung asing dan domestik.
8. Asas ekonomi negara kekal utuh. Sistem kewangan dan perbankan negara
terus teguh dengan nisbah modal wajaran risiko adalah 14.8 peratus, jauh
melebihi paras keperluan 8 peratus dalam piawaian antarabangsa. Rizab
antarabangsa terus kukuh mencatat 414.5 bilion ringgit pada 15 September
2011, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh serta 4.5 kali hutang
luar jangka pendek. Pendapatan per kapita dianggarkan meningkat kepada
28,725 ringgit pada tahun 2011 berbanding 26,175 ringgit pada tahun
2010.
9. Berikutan pertumbuhan ekonomi global tidak menentu, perdagangan luar
sederhana, tekanan inflasi meningkat serta suasana geopolitik yang
bergolak, pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh separuh pertama 2011
mencatat 4.4 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh perkembangan ekonomi
domestik yang kekal tegap. Momentum ini dijangka meningkat dalam tempoh
separuh kedua 2011, dipacu oleh penggunaan dan pelaburan swasta yang
lebih rancak. Dengan ini, pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 dianggar
berkembang 5 hingga 5.5 peratus.
10. Bagi tahun 2012 pula, prospek ekonomi global dijangka lebih
mencabar. Tabung Kewangan Antarabangsa telah menyemak semula pertumbuhan
ekonomi dunia kepada 4 peratus dan perdagangan dunia kepada 5.8
peratus. Ini berikutan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah
dan Jepun, tekanan inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang
negara Eropah serta perdagangan dunia yang lebih perlahan. Perkembangan
global ini sudah tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi
Malaysia.
11. Mengambil kira faktor ini, Kerajaan akan menyusun strategi
merancakkan aktiviti ekonomi domestik terutamanya pelaburan swasta dan
awam, serta penggunaan swasta. Pelaburan swasta dan awam dijangka
meningkat 15.9 peratus dan 7 peratus, disokong oleh peningkatan
pelaburan langsung asing, pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua
(RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe-10). Penggunaan
swasta di unjur meningkat 7.1 peratus berikutan peningkatan pendapatan
boleh guna dan prospek pekerjaan yang lebih positif. Dari sudut
penawaran, sektor perkhidmatan dijangka berkembang 6.5 peratus manakala
sektor pembinaan meningkat 7 peratus. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi
negara bagi tahun 2012 diunjurkan antara 5 hingga 6 peratus.
PERUNTUKAN BAJET 2012
Tuan Yang di-Pertua,
12. Bajet 2012 akan menyediakan peruntukan 232.8 bilion ringgit bagi
melaksanakan semua rancangan pembangunan Kerajaan termasuk projek dan
program di bawah RP-Kedua, NKEA, NKRA dan SRI khususnya menumpukan
kepada kesejahteraan rakyat. Daripada jumlah tersebut 181.6 bilion
ringgit adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan 51.2 bilion
ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.
13. Di bawah peruntukan mengurus, 52 bilion ringgit adalah bagi Emolumen
dan 30.5 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan.
Manakala, 96.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan
Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk Pembelian
Aset dan baki 1.5 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.
14. Bagi peruntukan pembangunan pula, 29.8 bilion ringgit disediakan
bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur,
perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 13.6
bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan
dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan
masyarakat. Seterusnya, 4.4 bilion ringgit diperuntukkan bagi
pembangunan sektor keselamatan, 1.4 bilion ringgit bagi pentadbiran am
dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.
15. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012,
jumlahnya dianggarkan meningkat 1.9 peratus kepada 186.9 bilion ringgit,
berbanding 183.4 bilion ringgit pada tahun 2011. Dengan mengambil kira
anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi tahun
2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada KDNK,
berbanding 5.4 peratus pada tahun 2011.
16. Dalam menangani persekitaran luar yang semakin mencabar usaha akan
terus dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi domestik. Bagi terus
memantapkan pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan Pakej
Rangsangan Khas dibiayai melalui Private Financing Initiative (PFI).
Kaedah ini telah terbukti berjaya merangsangkan ekonomi negara melalui
penambahan projek-projek yang produktif dan boleh meningkatkan
kesejahteraan rakyat. Melalui inisiatif ini, beberapa projek awam
seperti pembaikan dan penyelenggaraan sekolah, termasuk pembinaan blok
baru, menaiktaraf hospital, rancangan tebatan banjir, menaiktaraf
infrastruktur asas luar bandar serta pembinaan perumahan rakyat termasuk
perumahan golongan nelayan dan golongan berpendapatan rendah dapat
dilaksanakan. Bagi tahun 2012, jumlah projek melalui Pakej Rangsangan
Khas ini berjumlah 6 bilion ringgit akan dilaksanakan.
FOKUS BAJET 2012
Tuan Yang di-Pertua,
17. Dengan izin Allah SWT jua, Bajet 2012 dirangka dan dirancang
bertemakan “DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT,
MENSEJAHTERA NEGARA” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.
FOKUS PERTAMA: MELIGAT PELABURAN
18. Sesungguhnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar
kepada ekonomi negara dengan mencatatkan hampir 58 peratus kepada KDNK.
Di bawah RMKe-10, Kerajaan mensasarkan sektor ini mencapai 60 peratus
kepada KDNK menjelang tahun 2015. Kerajaan akan meliberalkan 17 lagi
subsektor perkhidmatan secara berfasa pada tahun 2012, merangkumi
perkhidmatan hospital swasta; perkhidmatan pakar perubatan dan
pergigian; arkitek; kejuruteraan; perakaunan dan percukaian;
perundangan; perkhidmatan kurier; perkhidmatan pendidikan dan latihan;
serta perkhidmatan telekomunikasi. Inisiatif ini akan membolehkan hak
pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dalam subsektor terpilih.
19. Tahun 2012 juga merupakan tahun pertama pelaksanaan Rolling Plan
Kedua bagi Rancangan Malaysia Ke-10 dengan peruntukan sebanyak 98.4
bilion ringgit, 49.2 bilion ringgit bagi tahun 2012 dan 49.2 bilion
ringgit lagi bagi tahun 2013. Rolling Plan Kedua akan menumpukan kepada
projek pembangunan berimpak tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan
ekonomi negara. Serentak itu, untuk mempastikan setiap sen yang
dibelanjakan membawa manfaat kepada rakyat, pengurusan nilai, akan terus
diamalkan bagi projek baru bernilai 50 juta ringgit ke atas.
20. Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah:
• Projek landasan kereta api berkembar Gemas – Johor Bahru;
• Projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor – Kuala Terengganu, Lebuhraya
Pantai Barat Banting – Taiping, Lebuhraya Segamat – Tangkak dan
Lebuhraya Central Spine serta pembinaan jalan Kota Marudu – Ranau; dan
• Pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur.
21. Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Kerajaan telah menyediakan
peruntukan sebanyak 20 bilion ringgit di bawah Dana Mudahcara
perkongsian awam-swasta atau PPP. Ia berperanan sebagai tipping point
bagi membantu sektor swasta membangunkan projek yang mempunyai nilai
strategik kepada negara. Daripada jumlah ini, 18 bilion ringgit untuk
kegunaan projek berimpak tinggi manakala 2 bilion ringgit untuk projek
melibatkan usahawan Bumiputera. Bagi tahun 2012 pula, Kerajaan
memperuntukkan 2.5 bilion ringgit di bawah dana ini dan dijangka 300
juta ringgit akan digunakan oleh usahawan Bumiputera.
22. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan memperuntukkan 978 juta ringgit untuk
merancakkan pembangunan di lima wilayah koridor. Di antara projek yang
akan dilaksanakan adalah, pembinaan lebuh raya persisiran pantai Johor
Bahru-Nusa Jaya di Iskandar Johor; projek pelancongan warisan Taiping di
Koridor Utara; projek agropolitan Besut di Koridor Pantai Timur; projek
kelompok industri berasaskan kelapa sawit Lahad Datu di Wilayah Koridor
Sabah dan projek bekalan air Samalaju di Wilayah Koridor Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,
23. Dalam ikhtiar merancakkan industri perbankan, kewangan dan pasaran
modal, usaha berterusan diperlukan bagi menggalakkan pembangunan
perkhidmatan kewangan yang lebih berintegrasi serta komprehensif. Ia
dapat dicapai dengan penubuhan Pusat Pengurusan Perbendaharaan yang akan
membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan berdaya saing di rantau
ini. Bagi menarik syarikat multinasional memilih Malaysia sebagai
destinasi utama Perkhidmatan Pengurusan Perbendaharaan, Kerajaan
mencadangkan pakej galakan berikut:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama 5 tahun;
Kedua: Pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman; dan
Ketiga: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan.
Tuan Yang di-Pertua,
24. Seperti dibentang dalam Bajet 2011, Kerajaan bersetuju untuk
membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIFD dan
menimbang pakej insentif yang menarik. Dengan itu, saya mencadangkan:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan seratus peratus bagi tempoh
sepuluh tahun dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian
pinjaman dan perjanjian perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD;
Kedua: Elaun Bangunan Industri dan Elaun Modal Dipercepatkan bagi syarikat berstatus KLIFD Marquee; dan
Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD.
25. Merujuk industri kewangan Islam pula, ia telah berkembang pesat
sejak sedekad lalu yakni 22 peratus kepada jumlah keseluruhan aset
kewangan berbanding 6.9 peratus pada tahun 2000. Industri kewangan Islam
menyumbang 11 peratus kepada jumlah pekerjaan sektor kewangan negara.
Sektor perbankan Islam dan takaful terus mencatatkan pertumbuhan dua
digit dalam tempoh lima tahun yang lepas.
26. Pasaran sukuk Malaysia juga terus menjadi pasaran bon Islam terbesar
di dunia mewakili dua per tiga daripada sukuk terkumpul global. Kita
juga menjadi perintis dalam mencipta produk kewangan Islam berinovatif.
Pada tahun ini, kita berjaya menerbitkan Sukuk Global Wakala pertama di
dunia bernilai dua bilion dolar Amerika dengan lebihan langganan 4.5
kali ganda. Hakikat ini menjadi bukti meningkatnya keyakinan pelabur
terhadap ekonomi negara dan penerimaan dunia terhadap produk kewangan
Islam terbitan Malaysia. Lantaran itu, bagi terus menggalakkan
penerbitan sukuk yang menggunakan struktur wakala, potongan cukai diberi
bagi tempoh tiga tahun ke atas perbelanjaan penerbitan sukuk wakala
mulai tahun taksiran 2012. Manakala, pengecualian cukai pendapatan ke
atas penerbitan dan urus niaga sukuk bukan ringgit dilanjutkan lagi
selama tiga tahun sehingga taksiran 2014.
27. Di sudut lain, Exchange Traded Fund atau ETF merupakan salah satu
produk kewangan inovatif. Cabaran krisis kewangan dunia yang berlaku
pada tahun 2008 telah membuatkan para pelabur menilai semula tahap
risiko pelaburan mereka dan beralih kepada ETF. Ciri kepelbagaian
portfolio yang merangkumi keseluruhan spektrum ekuiti, bon dan komoditi
membolehkan para pelabur meneroka peluang pelaburan baru melalui pasaran
ETF. Untuk merancakkan lagi pembangunan produk ETF, I-VCap, anak
syarikat Valuecap Sendirian Berhad akan menyediakan dana permulaan patuh
Syariah berjumlah 200 juta ringgit. Dana ini akan memberi pinjaman
secara pemadanan dengan jumlah maksimum 20 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
28. InsyaAllah, Kerajaan bercadang untuk menyenaraikan FELDA Global
Ventures Holdings atau FGVH sebelum pertengahan tahun 2012 bagi
menghasilkan dana untuk menjadikan FGVH sebuah syarikat berstatus
konglomerat global. Penyenaraian FGVH akan mewujudkan sebuah lagi
syarikat blue chip perladangan di samping meningkatkan minat pelabur
antarabangsa terhadap Bursa Malaysia. Walau apa pun, hak dan faedah
peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh
Koperasi Permodalan FELDA. Apa yang mustahak, setiap peneroka akan
menerima “durian runtuh” yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti,
sebelum penyenaraian dilakukan.
Tuan Yang di-Pertua,
29. Menyedari pula keperluan mempelbagaikan produk pasaran modal bagi
menarik pelaburan tempatan dan asing, Kerajaan telah memberi kadar cukai
konsesi 10 peratus ke atas dividen pelabur institusi bukan korporat dan
pelabur individu dalam Amanah Pelaburan Hartanah sehingga 31 Disember
2011. Bagi terus menggalakkan perkembangan industri ini, Kerajaan
mencadangkan galakan cukai dilanjutkan selama 5 tahun lagi mulai 1
Januari 2012 hingga 31 Disember 2016.
30. Seperti yang dimaklumi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menyumbang
hampir 31 peratus kepada KDNK, 56 peratus kepada tenaga kerja dan
mencakupi 19 peratus daripada jumlah eksport. Sebagai usaha meningkatkan
lagi sumbangan PKS kepada pertumbuhan ekonomi, satu skim Dana
Pembiayaan PKS patuh syariah berjumlah dua bilion ringgit yang
dikendalikan oleh bank-bank Islam terpilih akan diwujudkan pada 2012.
Seiring maksud ini, Kerajaan akan menanggung dua peratus daripada kadar
keuntungan pembiayaan.
31. Selanjutnya, kita tahu bahawa, kegagalan usahawan bukan semuanya
disebabkan oleh ketidakupayaan berniaga tetapi juga oleh faktor di luar
kawalan seperti kemelesetan ekonomi dan kenaikan kos. Gagal sekali tidak
bermakna gagal selama-lamanya atau pintu kejayaan telah tertutup.
Usahawan yang ikhlas dan gigih dalam perniagaan mesti diberi peluang
kedua. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan SME Revitalisation
Fund dengan dana 100 juta ringgit. Skim ini menawarkan pinjaman mudah
dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan peniaga untuk
membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan oleh SME
Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012.
32. Kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS
sebanyak 10 juta ringgit untuk membantu PKS yang terlibat dengan bencana
alam. Penubuhan dana ini adalah satu langkah proaktif bagi membantu PKS
supaya dapat beroperasi semula seperti biasa dalam tempoh yang singkat.
Dana ini akan disalurkan kepada PKS dalam bentuk geran dan pinjaman
mudah melalui SME Corporation dan MIDF. Skop pembiayaan dana akan
meliputi pembelian mesin dan peralatan untuk menggantikan mesin yang
musnah dalam bencana alam, pembelian bahan mentah dan membaik pulih
premis.
33. Menyentuh perniagaan francais pula, kita dapati, francais oleh
syarikat tempatan dapat memperkasakan jenama Malaysia. Jadinya, bagi
terus menyokong pembangunan industri francais tempatan, Kerajaan
mencadangkan fi francais yang ditanggung oleh francaisi dibenarkan
potongan cukai. Kerajaan menyeru syarikat francais tempatan tidak
melepaskan peluang untuk terus berusaha dan memantapkan lagi perniagaan
termasuklah mengembangkan sayapnya ke luar negara.
34. Dalam usaha memajukan teknologi hijau dan menjamin kelestarian
pembangunan negara, pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais
kepada pemegang francais akan terus diberi bagi mengimport kereta hibrid
dan kereta elektrik. Pengecualian cukai ini dilanjutkan sehingga 31
Disember 2013.
35. Berkaitan pelancongan pula, pada tahun 2010, sektor ini berjaya
menarik seramai 25 juta pengunjung asing dengan pendapatan 56 bilion
ringgit. Bagi terus menggalakkan pelancong dari dalam dan luar negara,
destinasi menarik khususnya Pulau Langkawi akan dibangunkan semula.
Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi akan dilancarkan
dengan peruntukan pembangunan 420 juta ringgit. Antara inisiatif yang
akan diambil ialah menyusun semula Lembaga Pembangunan Langkawi,
penubuhan pasukan renjer hutan, menaik taraf muzium, kawasan pantai dan
perniagaan serta menyediakan sistem pengangkutan yang lebih efisien.
36. Kerajaan juga akan terus membantu sektor swasta menyediakan lebih
banyak kemudahan penginapan bagi menarik pelancong berbelanja tinggi.
Bagi menggalakkan lagi pelaburan dalam bidang perhotelan setanding
dengan hotel terkemuka di dunia, Kerajaan mencadangkan pengusaha yang
melabur dalam hotel baru bertaraf empat dan lima bintang di Semenanjung
Malaysia diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai
pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60
peratus bagi tempoh lima tahun. Galakan cukai yang serupa telah diberi
kepada pengusaha hotel di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, Kerajaan
akan memperbadankan Malaysia Healthcare Travel Council bagi membangun
dan mempromosi negara sebagai destinasi utama penjagaan kesihatan di
rantau ini.
37. Berhubung kadar cukai keuntungan harta tanah (RPGT), kadar tetap
RPGT yang rendah iaitu lima peratus didapati tidak begitu berkesan untuk
membendung aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah yang mana jika
tidak dikawal akan memberi tekanan kepada harga hartanah. Situasi ini
dalam jangka masa panjang akan menjejaskan kemampuan golongan
berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah. Bagi menangani
masalah ini, Kerajaan mencadangkan kadar RPGT dikaji semula. Bagi
hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga dua tahun, kadar
RPGT adalah 10 peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh
pegangan melebihi dua hingga lima tahun, RPGT dikekalkan pada kadar lima
peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas lima tahun pula, RPGT
tidak dikenakan. Saya yakin, kadar RPGT yang masih rendah ini tidak
menjejaskan pemilik hartanah tulin dan sekali gus dapat mengawal
aktiviti spekulasi dalam sektor hartanah.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KEDUA: MENGUNGGULI MODAL INSAN, MENCERNA KREATIVITI DAN MENCETUS INOVASI
38. Sememangnya, inovasi membolehkan rantaian nilai ekonomi dianjak ke
tahap yang lebih tinggi. Inovasi mencetuskan idea baru yang dirubah
menjadi nilai komersial berdaya maju. Justeru, institusi penyelidikan
perlu menyusun semula strategi untuk menterjemahkan hasil R&D kepada
produk yang bernilai komersial. Inovasi perlu diterap dan diamalkan
oleh semua, termasuk sektor swasta, sektor awam, NGO, ibu bapa,
institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, hatta kanak-kanak
prasekolah. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan tahun 2012 sebagai
tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat ini, Kerajaan
telah mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan 100 juta
ringgit seperti berikut:
Pertama: Melaksana program penerapan dan pembangunan inovasi di
peringkat sekolah dan IPTA serta di kawasan luar bandar. Program ini
akan dijalankan melalui kerjasama antara agensi Kerajaan dan NGO;
Kedua: Meneruskan pelaksanaan program Jejak Inovasi oleh Yayasan Inovasi
Malaysia untuk menggalakkan pencetusan idea baru dan pengkomersialan
produk inovasi hasil penciptaan rakyat terutamanya di luar bandar;
Ketiga: Memperkenalkan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA) bagi mengiktiraf
reka cipta pelajar dan belia yang paling inovatif di peringkat
nasional. Program ini akan dilaksanakan oleh NGO dengan kerjasama
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi;
Keempat: Memupuk budaya inovasi melalui program realiti dan dokumentari
inovasi di media elektronik serta penerbitan artikel di media cetak;
Kelima: Mempastikan sesuatu produk melalui market validation untuk
menentukan daya maju komersial. Untuk ini, Market Validation Fund dengan
peruntukan permulaan 30 juta ringgit akan diwujud dan diuruskan oleh
Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama
Agensi Inovasi Malaysia;
Keenam: Lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan
teknologi baru daripada universiti akan ditawarkan kepada sektor swasta
untuk dikomersialkan. Jangkaan Gross National Income atau GNI yang
dijana adalah melebihi 30 billion ringgit sehingga tahun 2020; dan
Ketujuh: Menganjur World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum
pada tahun 2012. Inisiatif ini merupakan sebuah platform untuk menemukan
pelabur dan pembiaya serta komuniti usahawan.
39. Untuk membolehkan syarikat PKS memulakan perniagaan produk
penyelidikan baru dan pengkomersialan, Kerajaan akan menyediakan Dana
Inovasi Pengkomersialan patuh syariah berjumlah 500 juta ringgit pada
kadar keuntungan yang menarik. Dana ini membiayai syarikat PKS di mana
produknya telah menjalani proses pengesahan pengkomersialan pasaran.
Dana ini akan disediakan oleh bank-bank Islam terpilih mulai tahun 2012
dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan.
40. Dalam aspek ini juga, industri perkhidmatan reka bentuk yang
meliputi kreativiti dan inovasi dapat menyumbang kepada peningkatan
fungsi dan keselamatan produk, pengurangan kos serta memenuhi cita rasa
pengguna masa kini. Di samping itu, industri ini juga memainkan peranan
penting untuk terus meningkatkan produktiviti, kualiti dan daya saing
produk. Bagi menggalakkan kreativiti, inovasi dan teknologi moden yang
melibatkan pereka bentuk tempatan, Kerajaan mencadangkan perkhidmatan
reka bentuk industri diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian
cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun.
Tuan Yang di-Pertua,
41. Ilmu pengetahuan adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun
dan pelapik asas bagi mencapai kecemerlangan. Jadinya, untuk menuju
aspirasi negara maju berpendapatan tinggi, Kerajaan memberi keutamaan
kepada pembangunan sistem pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja
berbakat, berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti serta
berinovatif. Sektor pendidikan akan diperuntukkan 50.2 bilion ringgit
bagi tahun 2012. Bagi Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan
sebanyak 1.9 bilion ringgit akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah
terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan
Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
42. Sebagai tambahan, peruntukan 1 bilion ringgit akan diwujudkan
melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan
Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan
sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok
tambahan. Daripada peruntukan tersebut, 500 juta ringgit kepada Sekolah
Kebangsaan, 100 juta ringgit disediakan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit
Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan
100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.
Tuan Yang di-Pertua,
43. Bagi membolehkan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar
sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik maka kerajaan
akan mempastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran 24 ringgit 50 sen bagi
sekolah rendah dan 33 ringgit 50 sen bagi sekolah menengah untuk bayaran
kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah
Malaysia dan Insuran Takaful. Ingin dimaklumkan bahawa, mulai sesi
persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Dengan ini, sukacita
diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan rendah
dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma.
Pemansuhan semua bayaran ini akan melibatkan peruntukan sebanyak 150
juta ringgit.
44. Sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam menyediakan
pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa hadapan yang
cemerlang. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan sekolah swasta yang berdaftar
dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan yang ditetapkan
diberi galakan berikut:
Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun
Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam
tempoh lima tahun;
Kedua: Potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik lebih ramai kemasukan pelajar asing; dan
Ketiga: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran.
Kerajaan berharap, dengan adanya penjimatan kos ini kepada pengendali
sekolah swasta, sebagai imbal balas dapatlah dikurangkan sedikit yuran
sekolah para pelajar, agar beban para ibu bapa dapat diringankan.
45. Institusi pendidikan rendah dan menengah yang berdaftar, termasuklah
sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan
sekolah agama, seringkali menerima sumbangan kewangan daripada syarikat
dan orang perseorangan bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah
tersebut. Bagi menggalakkan orang ramai menyumbang kepada
sekolah-sekolah tersebut, maka sumbangan seperti ini diberi potongan
cukai. Kemudahan ini juga dipanjangkan kepada semua tempat-tempat ibadat
yang berdaftar. Kerajaan akan menyegerakan kelulusan pengecualian cukai
bagi institusi pendidikan dan semua rumah ibadat dalam tempoh masa yang
singkat.
46. Di samping itu, sektor swasta adalah disaran untuk berganding bahu
memantapkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Untuk ini,
Kerajaan mencadangkan pemberian galakan cukai berikut:
Pertama: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat dalam melaksanakan program Internship;
Kedua: Potongan dua kali ke atas pemberian biasiswa; dan
Ketiga: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan bagi menyertai pameran kerjaya di luar negara.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KETIGA: PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR
47. Program Transformasi Luar Bandar atau RTP merupakan pelengkap
program transformasi menyeluruh negara. RTP akan mentransformasikan
kawasan luar bandar supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan
peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta menggalakkan generasi muda
kembali berkhidmat. Oleh itu, Kerajaan akan melaksanakan beberapa
langkah seperti berikut:
Pertama: Mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC sebagai
pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan
pengedaran hasil pengeluaran pertanian; perbankan dan insurans; khidmat
nasihat perniagaan; latihan dan kemahiran; klinik serta ruang niaga.
Buat permulaan, Terminal Agrobisnes Negara atau TEMAN sedia ada di Wakaf
Che Yeh, Kelantan dan Gopeng, di Perak akan dimajukan sebagai projek
perintis RTC. Di samping itu, empat lagi RTC akan dibangunkan di Kedah,
Johor, Sabah dan Sarawak;
Kedua: Mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan
profesional seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di
pekan-pekan kecil. Bagi tujuan ini, dana berjumlah 100 juta ringgit akan
disediakan oleh BSN secara pinjaman mudah dengan kadar faedah empat
peratus. Di samping itu, surat cara perjanjian pembiayaan skim ini turut
diberi pengecualian duti setem; dan
Ketiga: Melaksanakan Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500
hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang melibatkan
tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar dengan
peruntukan sebanyak 110 juta ringgit. Di samping itu, RISDA akan
melaksanakan program tanaman baru getah dan penanaman semula getah serta
kelapa sawit dengan peruntukan 140 juta ringgit yang akan memanfaatkan
hampir 20,000 pekebun kecil.
48. Seterusnya, untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar
bandar secara lebih komprehensif, peruntukan lima bilion ringgit akan
disediakan pada tahun 2012. Daripada jumlah tersebut, 1.8 bilion ringgit
bagi Program Jalan Luar Bandar dan Projek Jalan Perhubungan Desa untuk
membina 2,749 kilometer jaringan jalan raya yang membawa manfaat kepada
1.76 juta penduduk luar bandar. Di samping itu, 2.1 bilion ringgit
disediakan bagi memperluas liputan bekalan air bersih kepada 200 ribu
rumah serta 1.1 bilion ringgit lagi untuk bekalan elektrik luar bandar
kepada 39 ribu buah rumah, khususnya di Sabah dan Sarawak.
49. Melihat kepada kejayaan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan
Infrastrukur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dalam
menaiktaraf infrastruktur asas terutamanya di luar bandar, Kerajaan akan
memperuntukkan sejumlah 500 juta ringgit lagi demi melangsungkan terus
usaha mulia tersebut. Apa yang mustahak, pelaksanaan PIA dan PIAS ini
akan melibat penyertaan hampir 29,000 kontraktor Kelas F yang berdaftar
dengan Pusat Khidmat Kontraktor.
Tuan Yang di-Pertua,
50. Kerajaan amat menitikberatkan bekalan air bersih khususnya kepada
masyarakat luar bandar termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Walau bagaimanapun, tempoh pelaksanaan projek bekalan air retikulasi ke
pedalaman Sabah dan Sarawak mengambil masa yang lama. Sebagai langkah
segera, Kerajaan telah membekalkan 20 ribu tangki menggunakan kaedah
tadahan air hujan, untuk penduduk pedalaman Sarawak, terutama penduduk
rumah panjang yang melibatkan perbelanjaan 52 juta ringgit. Kemudahan
ini memberi faedah kepada hampir 100 ribu penduduk. Bagi tahun 2012,
program ini akan dipanjangkan pula kepada negeri Sabah dengan peruntukan
50 juta ringgit.
51. Di kawasan FELDA pula, infrastruktur sistem bekalan air yang telah
beroperasi melebihi 50 tahun tidak lagi dapat beroperasi dengan baik
kerana kebanyakannya telah usang. Keadaan ini telah menyebabkan
berlakunya krisis kekurangan dan gangguan bekalan air yang kritikal di
sesetengah kawasan FELDA, terutamanya di Pahang, Kedah, Kelantan dan
Terengganu. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 400 juta ringgit bagi
kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara berperingkat
di kawasan-kawasan FELDA yang terpilih.
52. Sementara itu juga, Kerajaan menyedari masih terdapat estet yang
belum mempunyai kemudahan bekalan air bersih. Sebagai permulaan,
Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan 50 juta ringgit untuk menambah
baik kemudahan bekalan air yang melibatkan penyambungan dari estet ke
paip utama sedia ada. Kerajaan juga bersetuju supaya Pihak Berkuasa
Bekalan Air mengenakan tarif domestik kepada perumahan pekerja estet
berbanding dengan tarif industri yang dikenakan sekarang. Kementerian
Sumber Manusia akan dipertanggungjawab untuk menyelaras dan memantau
pelaksanaan kemudahan bekalan air ini.
Tuan Yang di-Pertua,
53. Bagi meningkatkan lagi akses perkhidmatan perbankan kepada penduduk
luar bandar, BSN akan melantik agen-agen di kawasan luar bandar di
seluruh negara untuk menyediakan perkhidmatannya. Dalam tempoh tiga
tahun akan datang, BSN akan melantik sejumlah lima ribu agen. Di
peringkat permulaan, perkhidmatan yang disediakan meliputi transaksi
simpanan dan pengeluaran, pembayaran bil serta pembelian Sijil Simpanan
Premium. BSN akan menyediakan 50 juta ringgit bagi membiayai pembangunan
sistem, latihan kepada agen dan kos operasi.
54. Selain itu, saya amat maklum bahawa masyarakat luar bandar sering
menghadapi masalah perkhidmatan bas yang kurang memuaskan. Bagi
menyediakan kemudahan yang lebih selesa, boleh dipercaya dan berkualiti,
peruntukan tambahan 150 juta ringgit akan disalurkan kepada Tabung
Pembangunan Pengangkutan Awam di SME Bank. Dengan yang demikian,
pengusaha bas berhenti-henti, bas mini dan bas sekolah boleh memohon
pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus untuk membeli atau
membaik pulih bas. Kemudahan pembiayaan ini akan disediakan mulai 1
Januari 2012.
55. Dalam pada itu, seperti yang terlukis pada gagasan mulia 1Malaysia,
tidak ada mana-mana pihak, etnik atau kaum yang akan dipinggirkan.
Semuanya mempunyai saham dan hasil mahsul dalam cerita kejayaan
Malaysia. Begitulah dari masa ke semasa pula, pembangunan dan kebajikan
Orang Asli terus menjadi agenda penting Kerajaan. Pada waktu ini,
terdapat seramai 190 ribu Orang Asli di seluruh negara dengan
majoritinya tinggal di Pahang dan Perak. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan
memperuntukkan 90 juta ringgit untuk penyediaan kemudahan asas termasuk
memperluaskan projek bekalan air terawat serta program penjanaan
pendapatan. Sememangnya, Kerajaan amat bersimpati dengan bencana tanah
runtuh yang berlaku di kawasan Sungai Ruil, Cameron Highlands baru-baru
ini. Untuk mempastikan keselamatan penduduk Orang Asli di kawasan
tersebut, Kerajaan dengan ini memperuntukkan 20 juta ringgit bagi
pemindahan penduduk ke kawasan perumahan baru.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KEEMPAT: MEMPERKEJAP PERKHIDMATAN AWAM
56. Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam
atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM.
Sesungguhnya, SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan
Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik,
responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan
prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta
pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan
penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai
elemen-elemen berikut:
Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam
yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan
perkhidmatan;
Kedua: Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan
gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat
awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan
itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada
sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred
DG48, gaji maksimum adalah 6,325 ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah
SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus kepada 8,710
ringgit. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang
berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen,
kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada 5,370
ringgit;
Ketiga: Pada perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan
laluan kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak
perlu lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20
tahun untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut
time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred
48 pada tahun ke-16. Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32,
jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun,
namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja.
Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini
bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah
time-based lapan tahun turut diterima pakai; dan
Keempat: Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai
tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara
80 hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam
yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di
antara 7 hingga 13 peratus.
57. Kerajaan sentiasa prihatin ke atas beban kewangan yang ditanggung
oleh pesara. Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600 ribu pesara Kerajaan
akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan 600 juta
ringgit. Mulai tahun 2013 nanti, Kerajaan akan melaksanakan kenaikan
tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu
sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.
58. Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam teknologi dan
sains perubatan. Hari ini, kita adalah sebuah negara yang secara
relatifnya muda namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti kita turut
akan menghadapi fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana negara
sedang meningkat maju dan maju. Antara elemennya, kadar kelahiran
berkurang, keluarga memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih
kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu, adalah tidak ekonomikal
sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak dilanjutkan,
sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos
gratuiti dan pembayaran pencen.
59. Ternyata, penjawat awam yang berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun
masih boleh memberi sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman
mereka. Oleh itu, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan
wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan
pegawai perkhidmatan awam. Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang
pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus
mewujudkan peluang pekerjaan baru.
Tuan Yang di-Pertua,
60. Kerajaan sentiasa berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa usaha
memperbaiki diri dan menambah ilmu di dada tidak berpenghujung malah
pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat. Untuk menjadi pelaksana
yang berkesan kepada dasar-dasar kerajaan, penjawat awam mesti sentiasa
melengkapkan diri dengan pengetahuan, mempunyai pemikiran dinamik dan
analitis.
61. Bagi maksud ini, Kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian
kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih
tinggi secara separuh masa. Pada tahun 2012, Kerajaan dengan kerjasama
IPTA akan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi
peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam yang layak,
termasuklah para guru dengan peruntukan sebanyak 120 juta ringgit. Kita
akan menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin
melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda. Untuk tujuan ini
kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 80 juta ringgit bagi tahun
pertama. Kita yakin, dengan pendekatan ini, para penjawat awam dan para
guru, secara keseluruhan perjalanan kerjaya mereka akan bertambah baik
dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.
62. Salah satu daripada lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik yang telah
dikenal pasti dalam mentransformasikan negara adalah Penambahbaikan
Kewangan Sektor Awam atau Public Finance Reform. Inisiatif ini akan
dapat meningkatkan keberkesanan dan ketelusan pengurusan kewangan sektor
awam. Selain itu, sistem pentadbiran cukai yang cekap dan berkesan
merupakan prasyarat untuk memperluaskan asas cukai dan meningkatkan
pematuhan oleh pembayar cukai. Langkah penguatkuasaan akan
dipertingkatkan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi
berkaitan, di samping memperkukuhkan sistem ICT agensi pengutip hasil.
63. Kerajaan juga tentunya menghargai khidmat dan jasa kakitangan yang
telah menamatkan kontrak dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian
Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang berjumlah seramai 4,300
orang. Bagi membantu golongan ini meringankan kos sara hidup, Kerajaan
akan memberi bayaran khas sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off.
Tuan Yang di-Pertua,
64. Lanjutan daripada ucapan saya sempena Hari Malaysia 16hb September
baru-baru ini, kita bakal menempa wajah baru landskap sosiopolitik
negara. Pemansuhan, pemindaan dan penggubalan kerangka perundangan baru
bagi mengimbangi antara kepentingan keselamatan negara dan kebebasan
individu akan memerlukan ‘Policing in a modern and open society’.
Falsafah kepolisian yang dibentuk dalam era insurgency dan
ketidaktentuan tidak lagi sesuai pada kontemporari ini. Kita mahu
integriti dan wibawa pihak polis kekal terjunjung tinggi. Bagi
merealisasikannya, kita memerlukan pasukan Polis yang moden dengan
latihan yang sesuai dengan era baru, menuil teknologi moden, kelengkapan
terkini dan cara penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan
canggih. Untuk ini, peruntukan khas 200 juta ringgit akan disediakan.
Manakala sejumlah 442 juta ringgit lagi akan diperuntukkan pada tahun
2012, untuk perbelanjaan pembangunan PDRM. Antara projek yang akan
dilaksanakan merangkumi projek perumahan anggota polis, penambahbaikan
ibu pejabat, balai dan pusat latihan.
65. Rakyat Malaysia turut insaf bahawa harga kita menikmati keamanan dan
kemakmuran bukannya percuma. Ia dibayar oleh mereka yang menyarung
seragam Angkatan Tentera Malaysia yang merupakan benteng pertahanan
utama negara. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sudah menjadi
tugas kita untuk sentiasa memelihara kebajikan mereka. Kebajikan anggota
tentera sentiasa menjadi perhatian Kerajaan bagi mempastikan anggota
tentera fokus dalam menjalankan tugas. Tempat tinggal dan suasana kem
yang selesa dapat menjadi pemangkin kepada prestasi kerja yang positif
di kalangan anggota. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 500 juta
ringgit di bawah program Army Care untuk menaik taraf dan
menyelenggarakan kem dan kuarters tentera di seluruh negara.
66. Terdapat seramai 175 ribu anggota tentera yang menamatkan
perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak
menerima pencen. Akibatnya, mereka menghadapi kesukaran mendapatkan
pekerjaan untuk menampung kos sara hidup. Bagi meringankan beban
golongan ini, Kerajaan akan menyediakan program latihan khusus untuk
mereka yang sudah bersara tanpa pencen bagi menceburi bidang perniagaan
serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta kepada
mereka yang layak. Untuk melaksanakan insentif ini, sebanyak 50 juta
ringgit akan disediakan.
67. Sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di
dendang. Mereka yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk
berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih
48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah
berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat. Mereka
terdiri daripada anggota Home Guard, Special Constable, Extra Police
Constable, Auxilliary Police, Women Auxilliary Police, Women Special
Constable, Border Scout dan Jungle Scout.
68. Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang mengenang budi. Kita
tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati tanpa pembelaan yang
sewajarnya. Kita tidak sekali-kali seperti setengah pihak yang menafi
dan memperlekehkan jasa bakti mereka. Sesungguhnya, keringat dan air
mata mereka serta keluarga yang membasahi bumi bertuah ini akan terus
malar dan segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia.
Sebagai mengenang jasa bakti mereka, Kerajaan akan memberi sumbangan
sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off kepada setiap bekas anggota
serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah hampir 62,000
orang. Sumbangan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu
meringankan kos sara hidup.
Tuan Yang di-Pertua,
FOKUS KELIMA: MEREDAKAN INFLASI DAN MENGIMARAH KEHIDUPAN RAKYAT
69. Kerajaan mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang
terutamanya bahan makanan. Bagi menangani fenomena ini, Kerajaan akan
mengambil langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek,
sederhana dan panjang. Antaranya meningkatkan pengeluaran makanan
seperti beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan melalui langkah
berikut:
Pertama: Melancarkan Dasar Agro Makanan Negara 2011 hingga 2020 yang
menggariskan empat strategi iaitu menjamin bekalan makanan mencukupi,
meningkatkan nilai ditambah, melengkapkan dan memperkukuhkan rantaian
bekalan serta menyediakan guna tenaga pertanian berpengetahuan dan
terlatih;
Kedua: Memperuntukkan 1.1 bilion ringgit pada 2012 bagi pembangunan
sektor pertanian. Antara projek utama adalah Projek Pertanian Bersepadu
Terengganu Utara, Projek Pengairan Sabah dan Sarawak, Tabung Ekonomi
Kumpulan Usaha Niaga atau TEKUN dan projek-projek lain di bawah NKEA;
Ketiga: Memperluaskan skop pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada
projek pertanian berinovasi. Dengan ikhtiar ini, jumlah dan pendapatan
usahawan tani dapat dipertingkatkan. Peruntukan 300 juta ringgit akan
disediakan; dan
Keempat: Memperbanyakkan program ladang kontrak bagi mempastikan bekalan
produk makanan mencukupi. Program ini akan dikendalikan oleh FAMA di
mana hasil keluaran akan dipasarkan terus ke pasar tani seluruh negara.
Seramai 4,500 usahawan tani akan terlibat dengan keluasan tanah 7,000
hektar. Untuk tujuan ini, peruntukan 14 juta ringgit disediakan.
Tuan Yang di-Pertua,
70. Kita kini mendengar pihak-pihak tertentu menguar-uarkan konsep
negara berkebajikan. Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana baru
sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Namun, kita minta mereka ada
sedikit rasa keikhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah
merekalah orang pertama yang menemui formula ini. Bukankah Kerajaan
Barisan Nasional sudah sejak sekian lama mengamalkan konsep negara
berkebajikan? Tidakkah berkebajikan kerajaan Barisan Nasional kini,
apabila:
Pertama: Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal 2 ringgit
40 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah
60 sen atau 25 peratus dari harga sebenar;
Kedua: Bagi setiap kilogram gula, harga asal 2 ringgit 50 sen, rakyat
hanya bayar 2 ringgit 30 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 20 sen atau 8
peratus dari harga sebenar;
Ketiga: Bagi setiap kilogram minyak masak, harga asal 4 ringgit 75 sen,
rakyat hanya bayar 2 ringgit 50 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 2
ringgit 25 sen atau 47 peratus dari harga sebenar; dan
Keempat: Bagi setiap kilogram tepung gandum, harga asal 1 ringgit 90
sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 35 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 55
sen atau 29 peratus dari harga sebenar.
Kesimpulannya, keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan
belanja 2.3 bilion ringgit dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia
tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang
demikian itu, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara
kebajikan?
Tuan yang di-Pertua,
71. Tidak cukup sekadar itu, subsidi Kerajaan bukan terhad hanya kepada
bahan makanan asas sahaja, ia juga merangkumi subsidi produk petroleum
dan bantuan tunai yang melibatkan sebanyak 17 bilion ringgit. Ini
meliputi:
Pertama: Bagi setiap liter petrol RON95, harga asal 2 ringgit 75 sen,
rakyat hanya bayar 1 ringgit 90 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 85 sen
atau 31 peratus dari harga sebenar;
Kedua: Bagi setiap liter diesel, harga asal 2 ringgit 66 sen, rakyat
hanya bayar 1 ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 86 sen atau 32
peratus dari harga sebenar; dan
Ketiga: Bagi setiap tong 14 kilogram gas memasak, harga asal 48 ringgit 2
sen, rakyat hanya bayar 26 ringgit 60 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah
21 ringgit 42 sen atau 45 peratus dari harga sebenar.
72. Selain itu, Kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi bil
elektrik berjumlah 20 ringgit sebulan dan ke bawah yang telah
dilaksanakan sejak 2009. Pemberian subsidi ini melibatkan peruntukan 150
juta ringgit dan seramai 1 juta isi rumah akan mendapat manfaat.
Untuk makluman, segala subsidi, insentif dan bantuan ini berjumlah 33.2
bilion ringgit. Semuanya dengan semangat Rakyat Didahulukan.
Tuan Yang di-Pertua,
73. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan menyediakan 1.2 bilion ringgit untuk
program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi bantuan
kepada warga emas miskin sebanyak 300 ringgit sebulan; bantuan
kanak-kanak miskin 100 ringgit sebulan, dengan had maksimum 450 ringgit
sebulan serta bantuan dan elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara
150 hingga 300 ringgit sebulan. KAR1SMA akan memberi manfaat kepada
hampir 500 ribu rakyat dalam membantu meringankan beban sara hidup.
74. Selanjutnya, Kerajaan juga akan mengambil langkah bagi membendung
kenaikan kos dan harga serta membantu mengurangkan beban rakyat seperti
berikut:
Pertama: Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara.
KR1M menawarkan 250 jenis produk berjenama 1Malaysia meliputi keperluan
harian pengguna pada harga sehingga 40 peratus lebih rendah.
Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, Kerajaan juga bercadang
membuka 85 unit tambahan sehingga akhir 2012 dengan peruntukan 40 juta
ringgit;
Kedua: Membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat di seluruh negara bagi
memasarkan produk pertanian dan barangan berjenama 1Malaysia. Di samping
itu, Kerajaan akan memperluaskan penjualan produk 1Malaysia di semua
kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), kedai FELDA
dan kedai serbaneka stesen minyak seluruh negara; dan
Ketiga: Memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan
pakej menu makanan popular pada harga yang berpatutan iaitu maksimum dua
ringgit bagi sarapan pagi dan empat ringgit bagi makan tengah hari.
Sehingga kini, lebih 700 pengusaha telah mengambil bahagian dan dijangka
diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012. Untuk
mengembangkan lagi langkah ini, Kerajaan menggalakkan semua pengusaha
kafeteria di pejabat Kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu
Rakyat 1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
75. Bagi memenuhi permintaan rumah golongan berpendapatan kurang
daripada 3,000 ringgit, Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku
pada Mac 2011. Untuk menambah baik skim ini, Kerajaan mencadangkan had
maksimum harga rumah dinaikkan daripada 220 ribu kepada 400 ribu
ringgit. Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui
pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012.
76. Bagi membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah pertama,
pihak kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA
sebagai satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan
menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi
keperluan golongan berpendapatan sederhana. PR1MA akan berperanan
sebagai pemaju untuk projek yang diadakan di tapak pemilikan Kerajaan.
Justeru, Kerajaan bercadang untuk memajukan beberapa bidang tanah
pemilikan Kerajaan di sekitar Sungai Besi dan Sungai Buloh untuk projek
sedemikian. Kerajaan juga akan mengenalpasti kawasan-kawasan berhampiran
stesen MRT, LRT atau pengangkutan awam sebagai kawasan pilihan utama
untuk dimajukan oleh PR1MA.
77. Di samping itu, PR1MA juga mengalu-alukan kerjasama antara pihak
swasta untuk membangunkan projek-projek sedemikian. Sehubungan dengan
itu, beberapa pemaju swasta juga telah menyahut seruan Kerajaan untuk
menyediakan rumah mampu milik berkualiti. PR1MA akan memainkan peranan
supaya proses pengagihan untuk projek-projek ini dijalankan secara telus
dan adil melalui sistem pengundian terbuka. Pada tahun 2011, sebanyak
1,880 unit rumah akan mula dibina di Putrajaya dan Bandar Tun Razak.
78. Bagi tahun 2012 pula, 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya,
Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja. Harga rumah yang
ditawarkan di bawah skim ini lebih rendah berbanding dengan harga
pasaran disebabkan tanah dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju.
Sebagai contoh, satu unit apartmen dengan keluasan 1,000 kaki persegi di
Putrajaya dijual pada harga 150 ribu ringgit berbanding harga pasaran
220 ribu ringgit. Kerajaan juga akan memberi pengecualian sepenuhnya
duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah program ini.
79. Pada kebiasaannya, rumah dijual sebelum pembinaan bermula di mana
pembeli akan menanggung risiko sekiranya rumah tidak siap atau lewat
disiapkan. Bagi melindungi pembeli, Kerajaan menggalakkan lebih banyak
pembinaan rumah menggunakan kaedah bina kemudian jual. Untuk tujuan ini,
bank-bank Islam yang telah bersetuju akan menyediakan pembiayaan patuh
syariah dan mengambil risiko pembinaan. Pembeli hanya membayar ansuran
setelah rumah siap dibina. Skim ini akan dilaksanakan bagi rumah
bernilai 600 ribu ringgit dan ke bawah.
80. Masih ramai lagi rakyat yang belum memiliki rumah, terutamanya
golongan berpendapatan rendah. Justeru, Kerajaan akan meneruskan
pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan
membina lebih 75 ribu unit rumah mampu milik di bawah RMKe-10. Bagi
tahun 2012, 443 juta ringgit di peruntukan bagi membina hampir 8,000
unit PPR disewa dan lebih 7,000 unit PPR dimiliki.
81. Selain itu, Program Rumah Mesra Rakyat yang dikendalikan oleh
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan diteruskan bagi membantu
golongan berpendapatan rendah memiliki rumah lebih selesa. Di bawah
program ini, mereka yang mempunyai tanah persendirian dan tidak memiliki
rumah atau tinggal di rumah usang, boleh mendapatkan pembiayaan untuk
membina rumah sendiri. SPNB akan diberikan peruntukan tambahan untuk
membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat pada tahun 2012. Kos rumah yang
berharga 65 ribu ringgit ini, akan dijual dengan harga 45 ribu ringgit
sahaja. Di sini, bagi setiap unit rumah, Kerajaan akan memberi subsidi
sejumlah 20 ribu ringgit. Sebanyak 200 juta ringgit akan diperuntukkan
untuk program ini.
82. Selain itu, melalui Program Pemulihan Rumah Terbengkalai, Kerajaan
berjaya memulihkan dan mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) bagi 82
projek yang melibatkan lebih 15,000 unit rumah. Kerajaan akan terus
melaksanakan usaha murni ini pada tahun 2012 dengan peruntukan 63 juta
ringgit untuk memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai. Kerajaan juga
memperuntukkan 40 juta ringgit bagi membaik pulih dan menyelenggarakan
rumah kos rendah awam dan swasta.
83. Golongan ekspatriat turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi
negara. Jumlah ekspatriat yang bekerja di Malaysia telah meningkat
kepada lebih kurang 41 ribu orang. Untuk menyediakan suasana kondusif
bagi menggalakkan ekspatriat terus berkhidmat di Malaysia, Kerajaan akan
membenarkan golongan ini mengeluarkan caruman KWSP untuk pembiayaan
pinjaman perumahan, sama seperti kemudahan yang diberi kepada
warganegara.
84. Kepada para nelayan, Kerajaan bersimpati dengan kesukaran yang
dihadapi mereka ini yang tiada pendapatan tetap dan bergantung
semata-mata kepada hasil tangkapan. Kita maklum bahawa, kebanyakan
nelayan memiliki rumah yang daif dan kurang selesa. Sehubungan itu,
Kerajaan akan mewujudkan Tabung Khas Perumahan Nelayan dengan peruntukan
300 juta ringgit untuk membina dan membaik pulih rumah mereka agar
menjadi lebih selesa dengan prasarana asas.
Tuan Yang di-Pertua
85. Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk
rakyat, terutamanya rawatan berkualiti, peralatan terkini serta
persekitaran lebih selesa. Bagi tahun 2012, sektor perkhidmatan
kesihatan akan diperuntukkan 15 bilion ringgit untuk perbelanjaan
mengurus dan 1.8 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan. Ini
melibatkan antaranya pembinaan dan menaik taraf hospital termasuk di
Bera, Kuala Krai, Dungun, Sri Aman dan Tuaran serta menambah baik blok
bersalin di Hospital Putrajaya. Kerajaan juga akan menambah baik 81
klinik kesihatan luar bandar di seluruh negara dan membuka 50 klinik
1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
86. Kerajaan amat prihatin dengan keselesaan rakyat terbanyak. Untuk
itu, Hentian Pudu Raya yang digunakan oleh hampir 80,000 pengguna pada
satu-satu masa, yang dahulunya dalam keadaan daif dan kotor, telah
dinaiktaraf dengan belanja sebanyak 40 juta ringgit. Kini, Hentian Pudu
Raya telah berwajah baru dan dinamakan semula sebagai Pudu Sentral.
87. Langkah yang sama akan diambil untuk menambah baik Hospital Kuala
Lumpur (HKL) yang merupakan nadi perkhidmatan kesihatan di kota dan
dikunjungi hampir 3,000 pesakit luar setiap hari. Demi keselesaan warga
kota, hospital yang berusia 141 tahun dan merupakan hospital tertua di
Malaysia ini akan dinaiktaraf supaya menjadi sebuah hospital primer
negara dilengkapi dengan peralatan terkini dan canggih dengan peruntukan
300 juta ringgit. Dari peruntukan ini, 50 juta ringgit akan digunakan
untuk membina sebuah sayap baru HKL khusus untuk rawatan pesakit luar.
88. Kerajaan juga memahami beban kerja pegawai perubatan di mana mereka
bertugas berterusan melebihi 45 hingga 120 jam seminggu. Situasi ini
sememangnya tidak kondusif untuk mereka memberi rawatan berkualiti. Oleh
yang demikian, Kerajaan telah memperkenalkan jadual kerja luwes atau
fleksi Pegawai Perubatan Siswazah, di mana waktu kerja di jadual semula
kepada purata 60 jam seminggu. Bagi menggantikan Elaun Luar Waktu
Bekerja Biasa, Kerajaan memperkenalkan Elaun Khas Waktu Bekerja Fleksi
sebanyak 600 ringgit sebulan berkuat kuasa 1 September 2011. Bagi pakar
dan pegawai perubatan, Kerajaan juga bersetuju menaikkan elaun on-call
semalaman antara 30 hingga 80 ringgit berkuat kuasa pada tarikh yang
sama.
Tuan Yang di-Pertua,
89. Untuk menambah pendapatan boleh guna dan menggalakkan minat melabur
di kalangan golongan berpendapatan rendah, Kerajaan akan memperkenalkan
Skim Amanah Rakyat 1Malaysia atau SARA 1Malaysia yang amat bitara atau
istimewa. Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000
ringgit dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100 ribu isi rumah. Pelabur
SARA 1Malaysia boleh memohon pinjaman 5,000 ringgit dengan tempoh
bayaran balik lima tahun. Pada akhir tempoh lima tahun, pelabur dijangka
mendapat pulangan bersih yang menarik. Skim ini akan dikendalikan oleh
Permodalan Nasional Berhad dengan kerjasama institusi kewangan terpilih
mulai Januari 2012.
90. Bagi mempastikan masyarakat Bumiputera bergerak seiring dengan
perkembangan ekonomi, Kerajaan telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda
Bumiputera (TERAJU) untuk menyelaras dan memacu transformasi serta
memperkukuhkan penyertaan masyarakat Bumiputera dalam perniagaan. Untuk
ini, TERAJU akan membimbing secara berperingkat hampir 1,100 syarikat
Bumiputera yang berprestasi tinggi dan berpotensi untuk disenaraikan di
bursa saham. Di samping itu, MARA akan menyediakan pembiayaan modal
kepada warga syarikat korporat yang berkelayakan untuk pembelian ekuiti
serta pengambilalihan syarikat berasaskan konsep Management Buyout.
91. Pembangunan usahawan merupakan faktor terpenting bagi melonjak
aktiviti ekonomi Bumiputera. Selaras dengan itu, program pembangunan
usahawan yang bersepadu akan dilaksana bagi meningkatkan daya saing dan
daya maju usahawan Bumiputera termasuk masyarakat luar bandar. Justeru,
Kerajaan akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi program pembangunan
usahawan dan kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah.
Tuan Yang di-Pertua,
92. Pada perspektif lain, Kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat
beban yang ditanggung oleh pemilik teksi bajet persendirian akibat kos
operasi yang meningkat. Tambahan pula, sebahagian besar teksi yang
dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Selain menjaga kebajikan
serta menambah baik perkhidmatan teksi, Kerajaan mencadangkan pemilik
teksi bajet persendirian diberi bantuan seperti berikut:
Pertama: Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan;
Kedua: Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas
teksi yang berusia lebih dari tujuh tahun yang dijual atau ditukar
milik;
Ketiga: Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milikpersendirian;
Keempat: Pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman
penuh untuk memiliki teksi baru buatan tempatan. Skim pinjaman ini yang
diuruskan oleh BSN akan ditawarkan untuk tempoh dua tahun bermula 1
Januari 2012; dan
Kelima: Pemberian bantuan 3,000 ringgit bagi melupuskan teksi lama yang
berusia melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun. Bagi teksi
yang berusia 10 tahun dan ke atas, bantuan 1,000 ringgit akan
diberikan. Bantuan ini ditawarkan bagi pembelian kereta baru buatan
tempatan untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari 2012.
93. Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini, pemandu teksi dapat
memberi perkhidmatan lebih berkualiti, mesra pelanggan dan sekali gus
menaikkan imej negara yang mesra pelancong. Bagi kesemua bantuan di
atas, setiap pemilik teksi bajet persendirian dijangka mendapat manfaat
kira-kira 7,560 ringgit. Pemberian bantuan kepada pemilik teksi bajet
ini juga dipanjangkan kepada pemilik kereta sewa persendirian.
Tuan Yang di-Pertua,
94. Kerajaan komited untuk mempastikan bahawa tidak ada orang yang
dituduh atas kesalahan jenayah ternafi haknya untuk di guami. Pada kala
ini, dianggarkan 80 peratus Orang Kena Tuduh dalam kes jenayah yang
tidak mempunyai peguam untuk membela mereka kerana tidak berkemampuan
bagi membayar fi guaman yang tinggi. Untuk ini, Yayasan Bantuan Guaman
Kebangsaan akan mempastikan setiap individu yang didakwa di mahkamah
akan diberi bantuan guaman secara percuma. Bagi maksud tersebut,
Kerajaan akan menambah 10 juta ringgit lagi kepada yayasan pada tahun
hadapan membawa jumlah keseluruhan sebanyak 15 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
95. Bagi mempastikan kebajikan rakyat terus terbela, Kerajaan telah
menyediakan pusat khidmat bantuan sosial yang dikenali sebagai Anjung
Singgah untuk memberi perlindungan sementara golongan gelandangan. Pusat
ini menyediakan khidmat bantuan pekerjaan, kemudahan tempat tinggal dan
makanan, kaunseling serta bantuan kebajikan. Pada masa ini, terdapat
hampir 1,400 orang gelandangan di Kuala Lumpur yang mendaftar dengan
Jabatan Kebajikan Masyarakat dan daripada jumlah tersebut, 250 orang
telah mendaftar dengan Anjung Singgah. Program ini akan diperluaskan ke
Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,
96. Kerajaan sentiasa mengiktiraf keupayaan wanita dalam bidang
kepimpinan dan pengurusan. Sehubungan itu, Kerajaan telah meluluskan
Dasar Sekurang-kurangnya 30 Peratus Wanita di Peringkat Pembuat
Keputusan Dalam Sektor Korporat. Bagi melaksanakan dasar tersebut,
antara yang utama, Kerajaan akan menjalankan program latihan bagi wanita
yang berpotensi menjadi ahli lembaga pengarah syarikat, membangunkan
pangkalan data wanita berpotensi untuk diketengahkan sebagai pengarah
syarikat dan mempergiatkan aktiviti advokasi. Bagi menarik golongan
profesional wanita untuk kembali ke pasaran pekerjaan, Kerajaan juga
akan menyediakan program latihan yang bersesuaian. Bagi melaksanakan
program-program latihan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 10
juta ringgit.
97. Pada tahun 2011, Kerajaan telah memperuntukkan 120 juta ringgit
kepada TEKUN. Bagi memberi rangsangan kepada usahawan kecil, saya
mencadangkan peruntukan ini ditambah lebih sekali ganda lagi kepada 300
juta ringgit. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga akan menyediakan 2.1
bilion ringgit untuk pembiayaan pinjaman mikro kepada usahawan
terutamanya wanita. Daripada jumlah tersebut, 100 juta ringgit
disediakan untuk usahawan kaum India dan 100 juta ringgit lagi kepada
usahawan kaum Cina melalui satu unit khas di bawah AIM. Untuk
mengurangkan kos pengendalian peniaga dan usahawan mikro, Kerajaan
mencadangkan surat cara perjanjian pembiayaan mikro kredit diberi
pengecualian duti setem.
98. Pada masa ini, barah pangkal rahim (kanser servik) merupakan barah
kedua tertinggi di kalangan wanita Malaysia. Kemajuan dalam sains
perubatan telah membolehkan penyakit ini boleh dicegah melalui suntikan
imunisasi. Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Kementerian
Kesihatan Malaysia telah melaksanakan suntikan imunisasi secara percuma
kepada murid perempuan tingkatan satu di semua sekolah Kerajaan, bantuan
Kerajaan, swasta dan antarabangsa mulai bulan April hingga Mei 2010.
99. Bagi membolehkan lebih ramai wanita untuk mendapatkan kemudahan
imunisasi, Kerajaan akan menyediakan perkhidmatan suntikan percuma
imunisasi HPV (Human Papilloma Virus) yang akan dilaksanakan oleh
Lembaga Pembangunan Perancang Keluarga Negara di seluruh negara. Kos
imunisasi ini adalah 150 ringgit bagi tiga suntikan. Untuk tujuan ini,
peruntukan 50 juta ringgit akan disediakan pada tahun 2012.
100. Di samping itu, untuk menjamin kesihatan para ibu dan anak, maka
sebuah hospital khusus untuk kaum wanita dan kanak-kanak akan dibina di
Kuala Lumpur melalui perkongsian awam swasta dengan kos 700 juta
ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
101. Golongan belia adalah generasi yang menyumbang dan merealisasi
wawasan negara. Generasi muda perlu diperlengkap dengan latihan dan
kemahiran bagi mempastikan peranan mereka dalam pembangunan negara.
Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan 320 juta ringgit bagi
menjalankan pelbagai aktiviti termasuk latihan kemahiran, program
kepimpinan, daya tahan dan keusahawanan di peringkat daerah dan negeri
termasuk sumbangan kepada Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan
Majlis Belia Daerah.
102. Apa yang diusahakan pada hari ini bukanlah untuk kita. Akan tetapi,
demi masa depan anak-anak kita. Potensi setiap golongan ini mestilah
digembleng dan dioptimumkan, idealisme mereka mesti digilap, kreativiti
mesti dipupuk dan bakat mereka dibajai untuk terus berkarya. Pujangga
berpesan agar mendidik anak-anak sesuai dengan zaman mereka. Kalau kita
dahulu ingin dilayan sesuai kehendak kita sebagai orang muda, begitu
juga anak-anak zaman sekarang.
103. Selaras dengan itu, Kerajaan juga sedar kekangan institusi yang ada
kini dalam mengeluarkan bantuan kepada idea-idea kreatif. Kita perlu
bertanya, jika dengan struktur pembiayaan sedia ada yang kaku dan tegar,
adakah idea orang-orang seperti Bill Gates, mendiang Steve Jobs,
Michael Dell, adik-beradik Wrights, Thomas Edison boleh berjaya?
Lantaran, berapa banyak idea dan karya telah dibakul sampahkan yang
berkemungkinan bernilai berbilion-bilion ringgit. Bertolak dari situ,
Kerajaan prihatin terhadap suara dan nurani orang muda. Sebagai projek
perintis, kita bersetuju untuk menubuhkan sebuah syarikat modal teroka
milik Kerajaan yang bernama MyCreative Venture Capital dengan dana
permulaan 200 juta ringgit.
104. Manakala sebanyak 200 juta ringgit lagi akan disediakan untuk
latihan dan kemahiran belia yang tidak meneruskan pengajian persekolahan
melalui Program Strategik untuk Belia 1Malaysia atau Strategic Action
for Youth atau SAY 1Malaysia. Skim ini akan menyediakan pelbagai jenis
latihan kemahiran yang dikendalikan oleh institusi sedia ada seperti
Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian
dan Giat Mara. Semasa latihan, pelatih akan diberi latihan praktikal di
GLC dan syarikat swasta supaya mereka mudah mendapat pekerjaan.
105. Pada masa ini, futsal semakin popular di kalangan belia dan peminat
sukan. Bagi menggalakkan aktiviti sukan ini, Kerajaan telah siap
membina 1,100 gelanggang futsal di seluruh negara, manakala 527 lagi
sedang dalam pembinaan. Memandangkan populariti sukan tersebut, Kerajaan
akan menyediakan peruntukan 15 juta ringgit bagi membina 150 gelanggang
futsal tambahan agar matlamat Satu Gelanggang Satu Mukim dapat dicapai.
Bagi meningkatkan aktiviti riadah terutama sukan bola sepak, Kerajaan
akan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyediakan kemudahan padang
tiruan atau artificial turf yang dilengkapi dengan lampu limpah di 30
lokasi terpilih seluruh negara.
106. Program sukan berprestasi tinggi termasuk bola sepak, badminton,
skuasy, boling tenpin, acara terjun, memanah dan lumba basikal akan juga
diberi tumpuan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan
tambahan 30 juta ringgit menjadikan keseluruhan peruntukan 84 juta
ringgit bagi program mengasah bakat atlet muda supaya mereka dapat
bersaing dan berjaya dalam kejohanan sukan di peringkat antarabangsa.
107. Tidak pernah dilupakan adalah kebajikan warga emas terutamanya
untuk mereka mendapatkan kemudahan awam seperti perkhidmatan kesihatan
dan pengangkutan. Sukacita saya mengumumkan, mulai 1 Januari 2012, semua
warganegara berumur 60 tahun dan ke atas akan dikecualikan caj
pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk
klinik 1Malaysia serta pergigian milik Kerajaan. Mereka juga akan
diberi diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel.
108. Dalam Bajet 2011, bagi mempastikan pekerja swasta dan mereka yang
bekerja sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara, saya telah
mengumumkan pelepasan cukai sehingga 6 ribu ringgit untuk caruman kepada
KWSP dan insurans hayat diperluaskan bagi meliputi caruman kepada Dana
Pencen Swasta, kini dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta. Bagi terus
menjamin kesejahteraan rakyat di usia persaraan di samping mempromosi
skim persaraan swasta yang dijangka dapat merancakkan pembangunan
pasaran modal, saya mencadangkan:
Pertama: Pelepasan cukai baru sehingga 3 ribu ringgit ke atas caruman
dalam Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun. Dengan
ini, pelepasan cukai sedia ada ke atas Skim Persaraan Swasta dan anuiti
insurans dirasionalkan;
Kedua: Potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim Persaraan Swasta; dan
Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan Swasta.
109. Kini pesara menghadapi kekurangan simpanan untuk menampung kos
saraan hidup setelah bersara. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus
menghabiskan kesemua simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun selepas
bersara. Bagi meningkatkan simpanan untuk hari tua, Kerajaan
mencadangkan supaya caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada
13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan 5,000 ringgit dan
ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.
Tuan Yang di-Pertua,
110. Ada juga pihak yang sentiasa memfitnah Kerajaan bahawa Kerajaan
hanya berminat dengan projek mega yang bernilai berbilion-bilion.
Sesungguhnya tuduhan ini amatlah memesongkan. Bukankah tercatat dalam
lipatan sejarah bahawa Kerajaan Perikatanlah yang bertanggungjawab
menubuhkan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar lebih 50 tahun
yang lalu dan mempelopori pembangunan secara sistematik? Sebagai
kesinambungan tradisi mulia ini, Kerajaan akan memberi nafas baru kepada
kawasan pedalaman luar bandar termasuk kampung tradisional, rumah
panjang dan kampung baru. Melalui Program Transformasi Luar Bandar atau
RTP, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak satu bilion ringgit untuk
membina dan menaiktaraf kemudahan seperti balai raya, surau, parit,
jambatan kecil, lampu jalan termasuk memperbaiki rumah yang usang.
Inisiatif ini akan dilaksanakan dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan
Pelaksanaan.
Tuan Yang di-Pertua,
111. Air bah atau banjir merupakan bencana utama negara dan setiap tahun
Kerajaan membelanjakan satu bilion ringgit bagi menampung kos kerugian
dalam pelbagai aspek kehidupan. Pada masa ini, terdapat 4 juta penduduk
yang masih tinggal di kawasan berisiko banjir. Sebagai tindakan awal,
Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis,
Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit. Di Perlis, dua projek
RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta
mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan. Di Perak, tiga projek RTB di
Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah. Manakala bagi Johor,
projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.
Tuan Yang di-Pertua,
112. Dalam usaha untuk terus meringankan belanja seharian rakyat
termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak, Kerajaan bercadang membuat
pemberian tunai secara one-off atau sekali sahaja seperti berikut:
Pertama: Bantuan sebanyak 500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan
bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. Langkah yang julung kali diambil ini
membuktikan keprihatinan Kerajaan terhadap golongan berpendapatan
rendah akibat kenaikan kos sara hidup. Seramai 3.4 juta isi rumah atau
53 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat
manfaat daripada bantuan ini. Pemberian ini melibatkan peruntukan
sebanyak 1.8 bilion ringgit. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah
yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri
sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan
Pejabat Pos;
Kedua: Bantuan persekolahan 100 ringgit diberi kepada semua pelajar
sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di
seluruh negara. Memandangkan bantuan ini disasarkan kepada keluarga yang
berpendapatan rendah dan sederhana, atas dasar kebertanggungjawaban
sosial, terpulanglah kepada budi bicara penjaga atau ibu bapa yang
berkemampuan untuk menerima atau tidak. Di atas semuanya, langkah ini
dijangka dapat meringankan beban perbelanjaan persekolahan. Bantuan ini
dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan
melibatkan peruntukan 530 juta ringgit. Bantuan ini juga akan
dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional; dan
Ketiga: Pemberian baucar buku bernilai 200 ringgit kepada semua pelajar
warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta
tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.
Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar
dan melibatkan peruntukan 260 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
113. Kita sedang berada dalam bulan Zulhijjah dan seruan haji sebagai
Rukun Islam kelima sentiasa saja berkumandang kepada hamba-hambaNya
untuk menuju Baitullah dari mana saja penjuru dunia. Dalam hal ini,
Kerajaan menyedari, ramai golongan berpendapatan rendah menghadapi
masalah untuk mendaftar dan mendapat giliran haji kerana tidak mempunyai
tabungan minima sebanyak 1,300 ringgit. Justeru, bagi membolehkan bakal
jemaah mendaftar untuk menunaikan ibadah haji, Kerajaan dengan ini
membenarkan pencarum KWSP membuat pendaftaran awal melalui penghadangan
atau ring-fencing Akaun 2 pencarum sebanyak 1,300 ringgit. Melalui
kaedah ini, wang pencarum sejumlah 1,300 itu masih kekal dalam KWSP
tetapi pencarum sudah boleh mendaftar giliran untuk menunaikan haji.
Tuan Yang di-Pertua,
114. Kerajaan yakin penjawat awam akan terus mempertingkatkan kualiti
perkhidmatan dalam mempastikan agenda pembangunan nasional menjadi
kenyataan. Dalam konteks ini, seperti yang semua ketahui, pada bulan
Ogos yang lalu, Kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan gaji
dengan bayaran minimum 500 ringgit kepada penjawat awam dan bayaran
bantuan 500 ringgit kepada pesara.
115. Berdasarkan sokongan dan komitmen penjawat awam yang tidak
terhargakan dalam mencapai matlamat pembangunan negara, sukacita saya
mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum
500 ringgit dan bayaran bantuan 500 ringgit kepada pesara Kerajaan.
Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011. Ini
akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun 2011 bersamaan sebulan gaji
dengan bayaran minimum seribu ringgit bagi penjawat awam dan bantuan
seribu ringgit bagi pesara Kerajaan. Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3
juta penjawat awam serta 618 ribu pesara Kerajaan. Bayaran bonus dan
bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan belanja sebanyak 4 bilion
ringgit.
116. Menyedari tanggungjawab, tugas serta beban kerja Ahli-ahli Parlimen
yang semakin bertambah dari hari ke hari dan perlunya kita memupuk
budaya politik baru bersesuaian dengan Program Transformasi Politik yang
saya umumkan baru-baru ini, maka, Kerajaan dengan ini bercadang untuk
mengkaji semula elaun dan kemudahan Ahli-ahli Parlimen sekalian. Dengan
syarat.....kedua-dua belah pihak, parti Kerajaan dan parti pembangkang
mestilah seiya sekata bersetuju. Termasuklah yang bebas-bebas itu.
Setelah dipersetujui nanti, elaun baru ini akan berkuat kuasa pada 1
Januari tahun depan.
PENUTUP
Tuan Yang di-Pertua,
117. Saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri dan anggota Dewan dari parti
Barisan Nasional berdiri dengan nubari yang jernih bahawa kami melalui
Bajet 2012 pada petang yang mulia penghulu segala hari ini, sekali lagi
akan meneruskan tradisi para pendahulu kami dalam meletakkan kebajikan
rakyat dan kesejahteraan negara di tempat yang teratas.
118. Apa yang menjadi keutamaan kepada kami bukannya nostalgia lampau
apatah lagi populariti murahan. Yang terjunjung di atas jemala kami
sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab adalah menyediakan masa depan
gilang-gemilang buat semua anak-anak Malaysia. Sebuah masa depan
bergemerlapan dengan harapan dan kemakmuran bukannya masa depan suram
dicengkam ketakutan.
119. Sesungguhnya, bersesuaian dengan surah al-Hasyr ayat 7 yang menyeru
“agar harta tidak hanya berlingkar dikalangan orang-orang berada antara
kamu”, maka tidak syak lagi, Bajet yang baru saya bentangkan ini
mendakap segenap taraf sosioekonomi rakyat. Ia tidak meninggalkan yang
berpendapatan rendah, sekalipun menengah atau tinggi, dan tidak pula
meminggir mereka yang di bandar waima di desa.
120. Pucuk pangkalnya, perjalanan yang telah saya dan rakan-rakan
mulakan semenjak April 2009, kini telah menempuh satu puncak penanda.
Pastinya, sepanjang tempoh 30 bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan
telah melakar hala tuju jelas negara dalam pusingan akhir bagi menempa
wawasan kebangsaan.
121. Ia tidak hanya membabitkan pengukuhan perpaduan nasional berasaskan
prinsip meraikan kepelbagaian, menambahbaik penyampaian sektor awam
dengan merundingi rakyat, proses penstrukturan ekonomi melalui Model
Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi, malah, ia juga menjangkau
Program Transformasi Politik yang akan menjadi saksi menyinsingnya
fajar baru Malaysia.
122. Di mana, perbezaan yang sihat serta membina tidak akan lagi menjadi
punca pertelingkahan tidak berkesudahan. Di mana, tidak ada individu
yang akan dihukum hanya sanya kerana ideologi berbeda. Di mana,
anak-anak muda akan bebas untuk menggilap idealisme mereka di atas bumi
Malaysia ini, demi kemajuan negara.
123. Seyogia diperingatkan bahawa, perjalanan ini tidak mungkin berjaya
tanpa laluan yang telah diredah denaikan oleh pendahulu-pendahulu saya
sebermula Almarhum Tunku Abdul Rahman diikuti Allahyarham Tun Abdul
Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah. Ia
tidak mungkin jua terjelma tanpa kestabilan politik yang dihidupkan oleh
perkongsian kuasa melalui konsep Barisan Nasional yang bitara. Yang
lebih utama, ia tidak mungkin dizahirkan tanpa sokongan padu rakyat.
124. Sesungguhnya, sokongan besar rakyat amat penting untuk mempastikan
perjalanan kita akan menemui kejayaan yang diimpikan menuju gapura
Malaysia yang maju, makmur sebagai oasis harapan dan kestabilan dalam
lautan dunia yang tidak menentu.
125. Sememangnya lagi, Kerajaan Barisan Nasional tidak tunduk kepada
tekanan atau apa-apa paksaan untuk mengambil jalan yang benar dan betul
demi warga Malaysia. Kami yakin dengan perjuangan yang kami gandar ini
bukannya dibuat-buat atau sebuah ilusi silap mata sebagai guna menutup
lompang keikhlasan dan kebobrokan syaksiah serta kemunafikan intelektual
seperti sesetengah pihak. Perjuangan kami warisan mulia zaman berzaman
meniti generasi.
126. Perjuangan ini bukan perjuangan sehari, seminggu, sebulan mahupun
setahun. Ia adalah perjuangan berdekad lamanya. Inilah sebuah Bajet di
bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional diilhamkan demi rakyat.
Kepada Allah jua kita berserah.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan