Pada hari ini, isteri saya dan anak perempuan saya sibuk berada di dapur. Mereka sedang membuat persiapan makan tengah hari dan persiapan makanan untuk dibawa rombongan ke Kuala Lumpur esok. Untuk makan tengah hari, hidangannya ialah bubur nasi kerana anak lelaki iaitu anak yang ketiga sedang mengalami demam panas. Beliau tidka boleh makan makanan yang keras. Selain itu, disediakan juga rojak muar untuk makanan tambahan. Menyentuh tentang bekal yang akan dibawa esok, makanan yang disediakan ialah currypuff. Jika orang Johor, sebutannya ialah epok-epok.
Isteri saya sangat concern tentang makanan yang disediakannya. Tidak boleh silap. Maka anak perempuan saya tidak berhenti menerima teguran. Ini kerana, karipap yang dibuat oleh anak perempuan saya tidak memenuhi kriteria piawaian siibu. Apa tidaknya, karipap yang dibuat sudah tidak menjadi seperti karipap.Lalu, ia digoreng dahulu dan terus dimakan supaya tidak bercampur dengan karipap yang elok.
Namun begitu, tahniah kepada Liyana kerana telah berjaya belajar membuat karipap. Membuat karipap ini tidaklah sukar. Karipap yang biasa dibuat oleh isteri saya terbahagi kepada dua kategori. Kategori itu ialah karipap biasa dan karipap pusing.
Cara membuat karipap biasa ialah dengan menggoreng terlebih dahulu intinya. Intinya terdiri daripada ubi keledek yang dipotong kiub. Bahan ini digaulkan dengan kari. Inti yang sudah digoreng disejukkan dahulu. Selepas itu, uli tepung gandum. Setelah diuli, dikepal kecil-kecil sebelum dileperkan. Setelah dileperkan (dilenyek dengan alat pelenyek), barulah diisikan inti. Selepas itu, karipap itu hendaklah dikelim tepinya. Perkara penting ialah, cara mengelim tepi karipap supaya kelihatan kemas. Jika tidak, karipap tidak akan kemas dan ornag pun takut hendak makan.
Kategori kedua pula ialah karipap pusing. Cuma yang berbeza ialah cara membuat kulit karipap. Uli tepung ada dua iaitu yang diuli dengan mentega dan yang satu lagi tidak. Kemudian dua jenis ulian ini disatukan dan dilenyek sebelum diisikan inti. Apabila digoreng, akan kelihatan ia berbelang dan rangup.
Dari aspek inti, ia mungkin boleh pelbagai jenis seperti inti kentang, inti sadin, inti kentang pedas, isi daging lembu, isi daging ayam, isi kelapa dan lain-lain inti yang sesuai. Ada juga yang menggantikan kulit karipap dan kulit popia yang kemudiannya dinamakan dengan nama lain.Namanya ialah samosa. Itulah serba sedikit ilmu karipap.
Ini ialah inti ubi keledek yang telah digaul dengan kari.
Ini ialah tempat melenyek kulit (tepung) untuk karipap. Dibungkus plastik.
Inilah karipap salah bikin yang telah dibuat dan digoreng oleh anak saya. Walaupun bentuknya menggerunkan namun harus dipuji kerana beliau telah berusaha untuk membuatnya. Markah yang diberi oleh ibunya ialah B sahaja. Semoga ilmu karipap ini tidak hilang dimamah zaman. Tahniah kepada isteri yang menjadi guru dan anak yang telah berjaya. tahniah.
1 ulasan:
Tahniah kepada anak dan isteri anda. Moga resepi karipap yang menjadi tradisi masyarakat melayu tidak dimamah zaman.
Mungkin tuan boleh gunakan tips ini untuk lebih merangupkan kulit karipap:)
1. Semasa menguli pastikan tidak terlebih menggunakan air. Ini kerana, air yang lebih akan membuatkan doh menjadi lembik dan apabila goreng, kulit karipap akan menjadi kurang rangup.
2. Gunakan minyak masak atau marjerin yang panas kerana ini membantu untuk memastikan kulit karipap menjadi rangup.
Catat Ulasan