>
Sekolah boleh ambil cuti tambahan
KUALA LUMPUR – Sempena perayaan Tahun Baru Cina pada 7 dan 8 Februari ini, semua sekolah diberi kebenaran untuk mengambil cuti tambahan bermula 6 Februari hingga 11 Februari, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.
Beliau berkata, langkah itu dibuat kerana Kementerian Pelajaran menerima banyak permohonan daripada sekolah dan ibu bapa untuk mengambil cuti tambahan bagi membolehkan ibu bapa membawa keluarga mereka untuk bercuti di kampung halaman masing-masing.
“Setelah meneliti permohonan dan pandangan yang dikemukakan, Kementerian Pelajaran bersetuju memberi kebenaran kepada sekolah untuk mengambil Cuti Peristiwa dan Cuti Berganti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, sehubungan itu bagi negeri-negeri yang cuti mingguan adalah pada Jumaat dan Sabtu, Cuti Peristiwa boleh diambil pada 6 Februari dan Cuti Berganti pada 10 Februari (Ahad) dan 11 Februari (Isnin).
Persekolahan pada hari Cuti Berganti itu perlu diganti pada 19 Januari dan 26 Januari, katanya.
Alimuddin berkata, bagi negeri-negeri yang cuti mingguannya adalah pada Sabtu dan Ahad, pihak sekolah boleh mengambil Cuti Peristiwa pada 6 Februari serta Cuti Berganti pada 11 Februari.
Cuti Berganti itu perlu digantikan pada 19 Januari.
Alimuddin berkata, semua Pengarah Pelajaran Negeri telah diarahkan supaya meluluskan cuti tambahan berganti tersebut kepada sekolah-sekolah yang memohon sahaja. – Bernama"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan