Sabtu, 5 Disember 2009

Krisis Ketuanan Melayu


Krisis Ketuanan Melayu

Posted by: Abul Harith on: December 4, 2008


Bicara tentang Ketuanan Melayu, suatu yang menarik hati dan sentimen kerana diri penulis adalah Melayu sejak lahir, ibu bapa Melayu dan seluruh budaya hidup adalah Melayu. Tiada anasir lain yang diterap dalam hidup selama ini selain dari cara Melayu. Makanan Melayu, baju Melayu dan pastinya bahasa Melayu. Hidup pula di negara Malaysia yang mempunyai kata akar ‘Malay’, merujuk kepada rumpun Melayu selaku peribuminya. Subjek sejarah di sekolah dulu pun mengajar, bahawa tanah air ini, dahulunya dikenali sebagai ‘Tanah Melayu’.

Ya, kita bangsa peribumi tanah ini. Lantaran itu tidak hairan jika ada pihak dengan tegas mahu orang lain seluruhnya mengiktiraf bahawa merekalah ‘tuan’ tanah ini. Walhal tanpa disedari ramai juga tuan tanah Melayu sejak dulu lagi telahpun menjual tanahnya sejengkal hingga sebidang demi sebidang kepada pemaju hartanah dari bangsa lain kerana laba sementara. Sedangkan pihak yang membeli itu untung lebih 10 kali ganda dari empunya tanah asalnya.

Status Quo Ketuanan Melayu

Jika lidah ini bertulangkan rasa hati, sudah pasti akan ada rasa tidak puas hati andai ada orang lain yang datang dan mengambil sedikit demi sedikit apa yang asalnya milik bangsa sendiri. Tapi jika lidah ini mesti bertunjangkan otak dan minda yang waras, pasti ia terpaksa akur dengan hukum TUHAN dan juga hukum alam, “Siapa yang usaha, dia akan dapat.”

Ketuanan Melayu tidak lain hanyalah ‘status quo’ kepada bangsa Melayu yang telah mendiami tanah ini. Tapi semasa dan sejurus selepas merdeka, status quo ini diakui kerana kekuatan dan sumbangan bangsa Melayu itu sendiri terutamanya dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan membina stuktur negara ini. Bangsa Melayu menguasai politik dan menjadi pengasas dan pendiri negara ini.

Namun, setelah lebih 50 tahun merdeka, zaman berubah pantas. Kita terpaksa mengakui bahawa yang menjadi kepentingan negara masa kini adalah perkembangan dan pembangunan terutamanya dari aspek ekonomi dan sosiobudaya. Dan ternyata bangsa lain yang mendahului dalam memacu perkembangan dalam aspek ini. Maka, status quo Ketuanan Melayu makin hari hanyalah tinggal slogan, laungan dan jeritan. Ia tidak dilihat sebagai kekuatan dan penguasaan dalam kedua-dua aspek penting pembangunan negara masa ini.

Maka, apabila berbicara soal Ketuanan Melayu pada hari ini, kita perlu keluar dari paradigma hanya untuk berbicara kedudukan istimewa dalam politik, pengekalan budaya dan penerimaan bahasa Melayu semata-mata. Tidak dinafikan, hal itu amat penting diperjuangkan. Tapi tanpa pengusaan dan prioriti dalam aspek yang menjadi keperluan pada zaman ini, segala usaha memperjuangkan unsur terbabit akan diperlekeh.

Ketuanan Melayu tanpa Kekuatan

Dalam kita memperjuangkan posisi istimewa bangsa Melayu dalam politik untuk kelangsungan Ketuanan Melayu, ‘tuan-tuan Melayu’ inilah yang rancak dengan rasuah yang tidak beretika. Ketika DEB dilaung sebagai benteng ekonomi orang Melayu, berbillion kekayaan ini masuk ke poket ‘tuan-tuan Melayu’. Apabila diperjuang baja subsidi dan kontrak untuk bangsa yang menjadi tuan negara ini, kita jual kepada bukan Melayu.

Di saat kita galak mempromosi bangsa Melayu agar tidak lapuk, ketika itulah bangsa Melayu menjadi majoriti penghuni pusat serenti dan penjara. Apabila bangsa ini marah biasiswa diberi kepada kaum lain dengan banyak sekali, semakin banyak bangsa ini yang gagal di universiti kerana masalah akhlak dan sosial. Betapa perjuangan tidak selari dan seimbang dengan realiti mahupun tindakan kita. Beginikah Ketuanan Melayu yang mahu diperjuangkan?

Menuntut suatu peingiktirafan yang besar, memerlukan sumbangan yang lebih besar. Sebelum berbicara tentang hak, biarlah kita dulu menunaikan tanggungjawab kita terhadap orang sendiri mahupun orang lain. Kadang-kadang, kita lebih lajak dari laju. Kita bersikap reaktif dan defensif dalam isu ini dan berfikir kaum lain sedang mengancam kita. Tapi kita jarang sedar bahawa kebanyakan masa, kita yang menghakis hak kita sendiri lantaran kurang menunaikan tanggungjawab terhadap bangsa sendiri.

Islam Asas Kebangkitan Bangsa Melayu

Sebagai solusi, nampaknya kita perlu mengikut hukum alam dan juga sejarah. Mengikut prinsip ini, apabila kita terus menerus cuba melihat, mengikut dan meniru orang lain, kita akan sentiasa ketinggalan. Mungkin kita boleh maju dengan melihat contoh bangsa Cina ataupun telunjuk barat, tapi hakikatnya kita sentiasa akan ketinggalan kepada mereka. Cara fikir secara selari dengan mereka akan menyebabkan kita selalu kalah dalam perlumbaan ini kerana mereka telah mula lari dan pecut terlebih dahulu.

Bagaimanapun, mungkin iktibar sejarah kebangkitan tamadun Arab boleh menjadi teladan. Di saat itu, Rom dan Parsi telahpun muncul sebagai kuasa besar dunia. Rom membina bangunan tinggi dan Parsi mencipta teknologi canggih. Andai Arab cuba menjadi maju dengan bertindak selari dengan mereka dalam membina bangunan dan teknologi, maka Arab tetap akan ketinggalan.

Justeru, nilai agamalah yang menjadi asas tamadun Arab muncul menyaingi dua kuasa besar terbabit. Tanpa bangunan yang lebih tinggi dari Rom, mereka tetap menyinar kerana mereka mempunyai kebijaksanaan, mengusai bidang keilmuaan, membina jatidiri yang teguh, semangat yang berkobar dan akhlak moral yang murni. Tiada rasuah, tiada kezaliman, tiada kemiskinan, dan tiada kebinasaan melampau. Itu memberi kekuatan yang mengalahkan Rom dan Parsi yang jatuh kerana krisis moral.

Begitu halnya dengan bangsa Melayu. Memartabatkan Melayu dan elemen Melayu lain pada zaman ini bukanlah dengan menegaskan slogan Ketuanan Melayu semata-mata. Keupayaan dan kekuatan menjadi merit sebelum layak menuntut Ketuanan. Tidak boleh juga bangsa Melayu melakukan perkara yang sama dengan bangsa lain yang telah mempunyai tamadun yang lama, tapi mengharapkan natijah yang lebih baik. Selamanya, kita sentiasa dibelakang. Solusinya, perjuangan menerapkan nilai dan ajaran Islam lebih utama dari perjuangan menjaga sentimen dan elemen bangsa Melayu.

Akhirnya, biarlah kita bangga menjadi bangsa Melayu zaman ini bukanlah kita ada baju Melayu, makanan Melayu, budaya Melayu ataupun bahasa Melayu. Walaupun kesemua unsur tadi wajib dipertahankan, tapi biarlah kita bangga sebagai orang Melayu kerana orang Melayu mendahului dalam bidang politik, ekonomi, sains, sastera, agama, sosiobudaya dan akademik. Oleh kerana kita belum mencapainya, maka aspek inilah perjuangan kita, bukannya memperjuangkan tradisi mencium keris semata-mata.

Bacaan lanjut:

Apa makna ‘Ketuanan’?

Oleh ANUAR AHMAD (Utusan Malaysia)

TANGGAPAN pemikiran Timbalan Presiden MCA, Dato Seri Dr. Chua Soi Lek bahawa ketuanan Melayu tidak relevan memang ada benarnya. Malah sokongan Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun terhadap kenyataan ketuanya itu pun ada maknanya. Percaya atau tidak, marah atau tidak, nampaknya ketuanan Melayu memang tidak relevan lagi. Tidak perlulah ditukar konsep ketuanan Melayu kepada konsep keabsahan Melayu atau kepimpinan Melayu, kekuasaan Melayu atau apa sahaja, pokoknya memang makna ketuanan Melayu sudah tidak relevan pun.

Cumanya tak relevan ketuanan Melayu pada pemikiran penulis tidaklah sama dengan pemikiran dua tokoh pimpinan MCA itu. Tidak relevannya ketuanan Melayu pada penulis ialah walaupun orang Melayu adalah ‘tuan’ di tanah airnya sendiri tetapi bak kata orang tua-tua ‘menang sorak kampung tergadai’. Makna ketuanan Melayu sudah hilang relevan bila orang Melayu sendiri termasuk para pemimpinnya mula berperangai seperti Pak Kaduk.

Orang Melayu diakui dalam sejarah negara sebagai penduduk asal tanah air ini. Pada 2010 dijangka orang Melayu akan terus merupakan majoriti di negara ini dengan kadar 67 peratus, berbanding etnik Cina 24.3 peratus dan etnik India 7.4 peratus. Manakala lain-lain etnik akan berada pada tahap 1.3 peratus. Bagaimanapun data ini belum boleh memberikan makna tentang menjadikan ketuanan Melayu sebagai sesuatu yang relevan di kalangan masyarakat Melayu negara ini.

Ideologi

Dari segi politik, pemecahan orang Melayu memang sudah jelas. Atas nama ideologi yang berbeza orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan utama iaitu UMNO, Pas dan PKR. Berdasarkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri-negeri, jelas taburan kuasa politik menunjukkan bahawa negara ini adalah sebuah negara yang mengamalkan perkongsian kuasa yang kadang kala mencabar ketuanan Melayu. Jelasnya, secara politik orang Melayu bukanlah lagi tuan punya secara mutlak di tanah airnya sendiri.

Dari segi sosial, orang Melayu merupakan penyumbang terbesar kepada masalah sosial negara. Tidak benar jika dikatakan oleh kerana orang Melayu adalah penduduk paling ramai maka tentulah pelaku masalah sosial ialah kebanyakannya orang Melayu. Statistik PDRM 2006, menunjukkan orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang paling ramai menagih dadah di Pulau Pinang walaupun orang Melayu bukanlah kumpulan majoriti di negeri tersebut.

Selain dadah, kes penderaan dalam keluarga, sumbang mahram, keciciran pendidikan serta pelbagai perlakuan delikuensi masih dikuasai oleh generasi muda Melayu. Jika tidak dibanteras segera maka ketuanan Melayu tentunya tidak relevan lagi, bukan sahaja menyediakan pemimpin negara malah sebagai tenaga kerja profesional negara pada masa depan.

Tetapi apa yang paling menarik untuk membicarakan makna ketuanan Melayu adalah dengan melihat daripada perspektif ekonomi. Menjadi ‘tuan’ bermakna seseorang menguasai sepenuh hartanya. Misalnya, tidak mungkin seseorang menjadi tuan rumah jika rumahnya adalah milik orang lain. Berdasarkan statistik tahun 2004 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan pendapatan orang Melayu 37.5 peratus lebih rendah daripada orang Cina. Manakala pendapatan orang Melayu adalah 22.4 peratus lebih rendah berbanding orang India.

Ringkasnya, selepas 50 tahun merdeka orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama negara ini. Pelik bunyinya bila tuan di tanah air sendiri lebih miskin berbanding orang lain. Apakah maknanya ketuanan Melayu jika kuasa ekonomi orang Melayu jauh lebih rendah daripada kaum lain.

Berdasarkan data purata pendapatan bulanan mengikut kumpulan etnik utama pada tahun 2004 oleh Unit Perancang Ekonomi, purata pendapatan bulanan orang Melayu ialah RM2,711, orang Cina RM4,437 dan orang India RM3,456. Jelas sekali orang Melayu secara keseluruhannya masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama di negara ini. Malah lebih menarik, orang Melayu yang digambarkan sebagai tuan di negara ini merupakan satu-satu etnik yang berada di bawah paras purata pendapatan rakyat Malaysia iaitu RM3,246.

Malah bagi menunjukkan betapa tidak relevannya makna ketuanan Melayu itu, lihatlah data berkaitan pemilikan unit bangunan dan premis komersial berdasarkan kumpulan etnik Melayu dan Cina sebagai perbandingan asas.

Ketinggalan

Tentunya data-data ini menunjukkan kesimpulan bahawa orang Melayu sangat jauh ketinggalan di dalam semua bidang di negara sendiri. Bagaimana kaum lain berjaya menguasai kekayaan negara haruslah dihormati dan diakui. Mereka telah secara bersungguh-sungguh menguasai ilmu dan juga menunjukkan kekentalan mental dan disiplin kerja yang tinggi untuk mencapai kekayaan itu.

Malah terbaru, lihatlah bagaimana beberapa hari lalu Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 yang bernilai 490 juta unit habis dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa 6 jam 10 minit sahaja. Pada 18 Julai 2007 lalu, sejumlah 500 juta unit Amanah Saham Malaysia (ASM) telah dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa hanya 39 minit sahaja. Bayangkan nanti pada 1 Disember 2008 apabila satu bilion unit tambahan ASM akan ditawarkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB). Bagi orang Melayu, tidak perlulah menunggu sehingga minggu depan kerana unit ASM yang telah ditawarkan sejak sekian lama pun belum lagi habis dilanggan.

Nampaknya perancangan orang Melayu tidak begitu menjadi jika dibandingkan dengan jumlah tenaga manusia, kuasa politik serta segala macam kemudahan dan modal yang disediakan untuk memajukan mereka. Sebenarnya, sangat jarang berlaku di dalam mana-mana negara di dunia, sebuah negara yang dikuasai oleh etnik majoriti serta menguasai kuasa politik, kumpulan etnik tersebut berada jauh ketinggalan berbanding etnik minoriti seperti mana yang berlaku di Malaysia.

Sesuatu secara besar-besaran untuk membangunkan ‘makna ketuanan Melayu’ tanpa menyinggung kumpulan etnik lain mestilah dilakukan dengan kadar segera. DEB yang murni wadahnya dan disokong oleh segenap lapisan masyarakat pun masih tidak dapat mencapai sasaran untuk meningkatkan ekonomi Melayu pada paras 30 peratus.

Lebih menyedihkan bila data Unit Perancang Ekonomi pada tahun 2004 menunjukkan kemiskinan orang Melayu adalah 8.3 peratus jauh lebih tinggi daripada orang Cina (0.6 peratus) dan orang India (2.9 peratus). Pimpinan Melayu mesti berani untuk mengakui kelemahan DEB dan bersedia untuk belajar daripada pengalaman DEB dan perbetulkan kelemahan tersebut.

Oleh itu sesuatu yang jauh lebih besar perencanaan berbanding DEB mestilah dibangunkan oleh pimpinan Melayu di negara ini. Lebih daripada itu, orang Melayu khususnya pimpinannya harus meningkatkan integriti dan kredibiliti kemelayuannya. Pimpinan Melayu mestilah boleh menonjol dan menguasai ruang politik pelbagai etnik secara meritokrasi bukan kroni, terbukti cemerlang dan pada masa yang sama mempunyai sikap benci kepada rasuah, politik wang dan budaya mengambil kesempatan atas wang rakyat.

Mereka jua mestilah boleh membuktikan keberkesanan pengurusan yang cekap dan adil. Hasilnya mereka akan berupaya untuk mengubah secara langsung makna ketuanan Melayu untuk diterima oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi yang lebih penting oleh kumpulan etnik yang lain. Jika pimpinan Melayu sekarang tidak bertindak meningkatkan integriti dan kredibiliti kemelayuan mereka, pastinya ketuanan Melayu akan tidak relevan lagi.

Tiada ulasan: