Jumaat, 27 November 2009

Budak dan Jenayah




5 punca budak lakukan jenayah

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Nasional/20050905235837/Article/

KUALA LUMPUR: Lima aspek personaliti dikenal pasti punca utama jenayah membabitkan kanak-kanak berusia antara 7 hingga 12 tahun yang semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

Kajian seorang pensyarah dan pelajar peringkat kedoktoran Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama dua tahun membabitkan kanak-kanak dari rumah kebajikan di seluruh negara, mendapati lima kelakuan itu dipengaruhi pelbagai konflik dalaman membabitkan institusi kekeluargaan dan pendidikan.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia UKM, Dr Khaidzir Ismail berkata, menerusi kajian mereka itu, kebanyakan pelaku jenayah juvana itu mempunyai latar
belakang akademik rendah kerana golongan berkenaan tidak mampu memproses maklumat yang diterima untuk digunakan bagi tujuan berfaedah.

“Golongan ini dikenali sebagai ‘Gangguan Memproses Maklumat’ (Information Processing Disorder atau IPD) kerana keupayaan mereka memproses maklumat sangat rendah, seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan,” katanya.

Selain itu, katanya personaliti tidak matang itu juga diwarisi daripada ibu bapa kerana didikan keluarga yang kurang sempurna dan kepincangan institusi berkenaan menjadi salah satu faktor perlakuan jenayah terjadi di kalangan kanak-kanak.

Katanya, melalui Kajian Kanak-Kanak Resilience itu mendapati kanak-kanak yang kerap melakukan jenayah seumpama itu hadir dari keluarga yang bukan saja mempunyai masalah kendiri, malah menghadapi konflik kewangan.

Golongan itu juga katanya tidak mampu berkomunikasi dengan baik dan mempunyai hubungan kemanusiaan yang lemah kerana tidak cenderung berfikir secara kritikal serta berbual mengenai perkara sihat dengan orang yang lebih matang.

Semalam, akhbar ini melaporkan, kenakalan kanak-kanak yang semakin melampau sejak akhir-akhir ini, antaranya perlakuan jenayah seperti membakar bas, menceroboh pejabat dan mencuri serta menjadikan pemandu teksi dan kedai internet sebagai sasaran rompakan.

Memeranjatkan, jenayah seumpama itu membabitkan kanak-kanak seawal 9 tahun berikutan naluri mereka untuk menjadi ‘hero’ dan dipandang tinggi kerana mampu menyahut cabaran.

Khaidzir berkata, selain itu golongan terbabit juga dikenal pasti tidak mahir dalam menyelesaikan masalah serta keliru ketika membuat keputusan kerana mereka tidak boleh membezakan sama ada sesuatu perkara itu baik atau sebaliknya.

“Apa yang menyebabkan golongan ini cenderung melakukan jenayah adalah pengaruh rakan dan budaya cabar mencabar untuk menguji ‘kehebatan’ masing-masing,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim, berkata walaupun jumlah kanak-kanak terutama di peringkat sekolah rendah yang terbabit dalam kejadian jenayah adalah kecil, tetapi kementerian tetap menganggap ia serius kerana membabitkan kepentingan umum dan masa depan negara.

“Kementerian akan terus berusaha untuk memastikan kawasan sekolah bebas daripada sebarang kegiatan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Inovasi dan Kualiti sempena Minggu Kualiti Kementerian Pelajaran 2005, di sini semalam.





Kenakalan budak melampau:
Polis cadang kajian ilmiah kenal pasti punca kanak-kanak terbabit jenayah

Oleh Azmi Md Deros, Johari Ibrahim, Veena Rusli dan Mohd Azis Ngah

KUALA LUMPUR: Jenayah membabitkan kanak-kanak, yang terbaru tiga kanak-kanak berusia 9, 10, dan 11 tahun ditahan kerana disyaki membakar sebuah bas sekolah di Langkawi, menunjukkan aliran membimbangkan.

Dalam kejadian di Kuah kelmarin, tiga kanak-kanak itu disyaki membakar bas sekolah milik Ean Joo Bus Transport Services Sdn Bhd (EJBS) mengakibatkan kerugian RM150,000, jam 3 petang.

Siasatan awal polis mendapati kebakaran itu ada unsur khianat dan ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Fauzi Saari, yang yang diajukan soalan mengenai aliran ini, mencadangkan satu kajian ilmiah dilakukan bagi mengenal pasti puncanya serta dijadikan asas mencari penyelesaian.

Beliau memberitahu Berita Harian, pembabitan kanak-kanak dalam jenayah sememangnya membimbangkan kerana mereka terlalu mentah dan sepatutnya tidak terbabit dalam jenayah.

Sambil menyatakan rasa terkejut kerana kanak-kanak sudah terjebak dalam jenayah, Mohd Fauzi berkata kajian ilmiah itu harus merangkumi semua pihak.

“Banyak faktor boleh dikaitkan dengan pembabitan kanak-kanak dalam kes jenayah. Antaranya kawalan yang terlalu longgar dalam institusi kekeluargaan, manakala masyarakat pula kurang memberi perhatian terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka di samping pengaruh luar.

“Kita perlu lakukan sesuatu untuk mengenal pasti puncanya dan mencari penyelesaian bagi mengelak keadaan menjadi lebih parah,” katanya.

Beliau berkata, jika tidak ditangani dari awal, tabiat kanak-kanak yang melakukan jenayah akan terbawa-bawa sehingga mereka menjadi dewasa serta menyukarkan usaha pemulihan.

Rabu lalu, seorang murid berusia 12 tahun di Kampung Pinang Tunggal, Jalan Klang Lama, di sini, ditahan polis, iaitu kali ketujuh kerana memecah masuk dan mencuri di sebuah pejabat.

Jenayah itu dilakukan bersama tiga rakannya yang masing-masing berusia 13, 15 dan 16 tahun. Budak 12 tahun itu mengaku terjebak jenayah sejak berusia sembilan tahun.

Julai lalu, polis Brickfields menumpaskan `Geng Batman’ dianggotai empat bekas pelajar sekolah berusia lingkungan 15 tahun, yang menjadikan pemandu teksi dan kedai internet sebagai sasaran.

Jun tahun lalu pula, polis Putrajaya menahan dua pelajar lelaki berusia 13 dan 15 tahun kerana mencuri pelbagai peralatan dan barangan kemas bernilai kira-kira RM5,000 di Presint 11.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof Datuk Hamdan Adnan, berkata peningkatan jenayah kanak-kanak boleh mencetuskan aliran negatif dalam masyarakat.

“Ini bukan setakat soal jenayah, banyak isu berkaitan perlu diambil kira termasuk soal pemulihan kanak-kanak selepas ditangkap. Mereka yang ditahan perlu dipantau dan tidak ditempatkan bersama pesalah jenayah dewasa dalam lokap. Jika itu tidak dilakukan, usaha memulihkan mereka akan gagal.

“Kita bimbang senario ini jika tidak dikawal akan menjadi satu kebiasaan yang akan membawa kemudaratan kepada bangsa,” katanya.



Interaksi: Jenayah kanak-kanak bukan isu terpencil

Bersama M Thillinadan
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Rencana/20050906231521/Article/

PENDEDAHAN Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) mengenai 20,000 pelajar terbabit dalam jenayah atau salah laku disiplin bukan saja mengejutkan, malah menimbulkan pelbagai persoalan.

Di mana kelemahannya apabila dua peratus pelajar kita dikaitkan dengan jenayah dan masalah disiplin. Ramai menyalahkan ibu bapa dan keruntuhan institusi keluarga, tidak kurang juga menuding jari ke arah Kementerian Pelajaran dengan dakwaan pelbagai kecacatan, malah pengaruh televisyen juga dikatakan turut menyumbang.

Penahanan tiga kanak-kanak berusia 9, 10, 11 tahun di Kuah, Langkawi, Sabtu lalu, kerana disyaki membakar bas sekolah serta kes seorang budak 12 tahun yang ditangkap polis kali ketujuh Rabu minggu lalu, mengaku dia mula mendekati jenayah ketika usia 9 tahun, bukan lagi kes terpencil.

Pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar, 2,562 pelajar ditahan pada 2003 kerana terbabit 1,429 kes jenayah dan 2,710 lagi dalam 1,499 kes pada 2004, adalah bukti kes jenayah membabitkan pelajar mula meningkat.

Jika dilihat senario sejak setahun lalu dan kejayaan membanteras ‘Geng Batman’ dan ‘Geng Spiderman’ yang dianggotai pelajar serta berpuluh-puluh lagi kes curi motosikal dan pecah rumah, sudah ada tanda jenayah kanak-kanak menjadi satu arah aliran yang membimbangkan.

Kita tidak mahu tragedi di Sekolah Tinggi Columbine, Amerika Syarikat pada 1999 apabila seorang pelajar menembak mati 13 rakannya, kes Jamie Rouse, 17, menembak dua guru di Tennessee, Barry Loukaitis, 14, di Washington yang menembak mati beberapa rakan dan gurunya atau David Dubose Jr, 16, membunuh seorang guru di Atlanta, berlaku di negara ini.

Kerajaan sudah tidak ada pilihan. Sesuatu yang drastik perlu dilakukan bagi memastikan kanak-kanak dan pelajar kita tidak menjadi Rouse, Loukaitis dan Dubose. Kita tidak boleh terus bercakap dengan menyalahkan ibu bapa, sekolah atau polis. Kita kena buat lebih daripada itu.

Bukan setakat itu, kerajaan juga perlu memikirkan kaedah terbaik untuk merawat dan memulih penjenayah kanak-kanak ini dan bukannya memasukkan mereka ke dalam lokap atau penjara kerana ia hanya memburukkan keadaan, malah akan menjadikan mereka penjenayah lebih berbahaya apabila keluar penjara.

Cadangan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Fauzi Saari, supaya satu kajian ilmiah harus dilakukan segera, perlu dipandang serius. Ia bukan setakat tugas kerajaan, tetapi perlu disertai semua pihak yang berkepentingan supaya ia menjadi model jangka panjang untuk mengenal pasti punca aliran ini dan mencari penyelesaian muktamad.

Masa depan negara terletak di bahu generasi muda. Kita tidak boleh abaikan mereka atau memandang kes seperti di Kuah sebagai terpencil lagi. Benteng perlu diteguhkan dan ia perlu dibina segera.





Jenayah juvana membimbangkan

Oleh Fadzlena Jafar

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Keluarga/20050907084158/Article/



Keganasan membabitkan kanak-kanak adalah luahan hati yang memberontak

KISAH remaja yang didapati bersalah kerana cuba menyebabkan kematian isteri Ahli Dewan Undangan Negeri Meranti, Wan Nor Hanita Wan Yaacob, 36, dan anak keenamnya, Norhanan, berusia tiga tahun dua bulan, ternyata membuka mata semua pihak.

Bayangkan pada usia begitu muda, remaja berkenaan hampir terbabit dalam jenayah berat yang boleh membawa hukuman mandatori jika disabitkan bersalah. Namun, remaja berumur 15 tahun itu bernasib baik apabila Mahkamah Kanak-Kanak memerintahkan beliau dihantar ke pusat pemulihan akhlak Sekolah Henry Gurney di Melaka selama tiga tahun.

Terbaru, kisah tiga kanak-kanak berusia 9, 10 dan 11 di Kuah membakar bas sekolah sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM150,000. Tindakan mereka itu bukan saja memeranjatkan masyarakat, bahkan membuka mata pelbagai pihak sehingga mengundang saranan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Fauzi Saari supaya kajian ilmiah dijalankan bagi mengenal pasti permasalahan yang membelenggu kanak-kanak hari ini.

Perangkaan kes juvana bersalah Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan setiap tahun jumlah pesalah remaja yang terbabit dalam pelbagai kesalahan cukup membimbangkan. Meskipun kes yang dilaporkan berkurangan kepada 4,998 pada 2003 berbanding 5,319 pada 2002, jumlah berkenaan perlu diberi perhatian serius memandangkan begitu ramai remaja yang sudah terbabit dalam jenayah pada usia setahun jagung.

Persoalannya kini, bagaimanakah seorang remaja yang baru hendak mengenal erti hidup boleh terjebak dalam jenayah sebegitu? Siapakah yang bersalah apabila remaja yang sepatutnya masih di bawah jagaan ibu bapa menjadi insan yang ganas dan menakutkan?

Pegawai Pembangunan Masyarakat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Rusniyati Omar, berkata hasil kajian secara rambang yang dijalankan menunjukkan kurang kasih sayang daripada ibu bapa dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada permasalahan berkenaan.

"Sejak akhir-akhir ini, akhbar melaporkan pelbagai kepincangan masyarakat khususnya mengenai remaja. Malangnya, masyarakat terus meletakkan kesalahan di bahu mereka, malah ibu bapa juga seolah-olah membuang mereka tanpa memberi ruang kepada remaja ini untuk kembali ke pangkal jalan.

"Hasil temubual bersama remaja yang bermasalah ini, rata-rata mengakui kurang perhatian ibu bapa membuatkan mereka rasa terpinggir. Jadi, jiwa remaja mereka memberontak dan tersilap langkah hanyutlah mereka. Sedangkan itulah cara untuk mereka menarik perhatian ibu bapa," katanya ketika ditemui di seminar pembangunan keluarga bertajuk Integriti Rumah Tangga Tanggungjawab Bersama, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar sehari anjuran LPPKN itu bertujuan menyediakan bakal ibu bapa dengan ilmu keibubapaan dan pada masa sama melengkapkan ibu bapa sedia ada dengan cara menangani pelbagai permasalahan remaja hari ini.

Dalam hubungan ini, beliau berkata, ibu bapa perlu menyedari bahawa perkembangan anak sebenarnya banyak dipengaruhi oleh cara mereka mendidik anak berkenaan sejak kecil lagi, selain pengaruh luaran seperti pendedahan kepada media dan juga rakan sebaya.

Gaya keibubapaan yang dikenal pasti terbahagi kepada tiga, iaitu autoritatif, autoritarian dan permisif. Autoritatif adalah ibu bapa yang cenderung mengenakan peraturan tetapi pada masa sama mereka bersikap terbuka dan boleh bertolak ansur dengan anak, manakala autoritarian pula turut mempunyai peraturan tetapi tiada budi bicara atau mengamalkan kuasa veto.

Lazimnya, anak yang dibesarkan ibu bapa autoritatif akan lebih bersikap terbuka dalam pergaulan mereka dan membesar dengan normal, tetapi jika mempunyai ibu bapa yang autoritarian, kesannya mereka akan menjadi rendah diri kerana tiada keberanian untuk menyuarakan pandangan.

Gaya permisif pula adalah lawan kepada autoritarian yang mana ibu bapa langsung tiada peraturan dan membiarkan anak mereka melakukan apa saja. Anak yang dibesarkan dalam suasana ini akan merasa tidak dihargai ibu bapa dan lebih mudah memberontak.

"Kebanyakan kanak-kanak bermasalah terutama yang masuk ke pusat pemulihan dibesarkan oleh ibu bapa yang bersikap autoritarian dan permisif. Ibu bapa yang autoritarian langsung tidak hendak mendengar alasan anak, jadi kanak-kanak itu membesar dengan sentiasa rasa takut untuk bersuara, tetapi apabila berada di luar rumah mereka akan menjadi insan lain yang ganas dan bermasalah.

"Ibu bapa permisif pula menyebabkan anak lepas laku tanpa menghiraukan kegiatan si anak tadi, dengan siapa mereka bergaul atau apa yang mereka lakukan. Ini membuatkan mereka bagaikan tidak mempunyai peluang untuk memainkan peranan dalam keluarga, jadi mereka tidak berkembang secara sihat," katanya.

Sehubungan itu, Rusniyati berkata, setiap ibu bapa perlu dilengkapkan dengan ilmu keibubapaan yang betul supaya dapat membesarkan anak secara lebih positif. Untuk itu, ibu bapa seharusnya mempunyai strategi mendisplinkan keluarganya bermula dengan tahap perkembangan terutama ketika si kecil memasuki alam pra sekolah.

Ketika itu, katanya, kanak-kanak akan menjadikan ibu bapa sebagai contoh dan gemar meniru perlakuan ibu bapa. Oleh itu, sebagai orang yang lebih dewasa ibu bapa perlu memberi latihan kepada anak bagaimana untuk bertingkah laku dengan cara yang betul.

Langkah kedua ialah pencegahan yang mana ibu bapa perlu sepakat dalam sebarang keputusan dan tindakan yang diambil. Langkah ini sangat penting bagi mengelakkan si kecil terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih tidak terlambat bagi ibu bapa untuk memperbetulkan keadaan sekiranya anak mereka sudah terbabit dalam kegiatan negatif, lebih-lebih lagi apabila kesalahan yang dilakukan masih berada pada tahap awal.

"Pemulihan adalah langkah yang tidak kurang pentingnya. Kita semua pernah membuat kesilapan, sebagai ibu bapa kitalah yang sepatutnya memperbetulkan salah laku anak kita.
Jadi, kita perlu sentiasa peka dengan apa yang dilakukan anak tadi. Kalau anda tahu yang anak tadi sudah melakukan kesalahan, jangan tunggu lama sehingga melarat.

"Yang penting, kita kena jelaskan kepadanya apakah kesalahan yang dilakukan dan kalau perlu dikenakan hukuman, buatlah tetapi bukan dengan cara fizikal seperti pukul atau yang seumpama dengannya. Biarlah hukuman itu dapat membuatkan dia faham akan kesalahannya," katanya.





 

Fahami fikiran anak apabila mendidik

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Keluarga/20050908092305/Article/





MENDIDIK anak perlu bersandarkan pengetahuan, kerana meniru didikan dari keluarga yang kita anggap cemerlang semata-mata tanpa menyesuaikan dengan keluarga serta kemampuan diri, anda hanya dianggap sebagai ibu bapa yang tidak berpendirian.

Didikan awal kanak-kanak amatlah penting kerana ia membawa kepada corak peribadinya pada masa depan. Mustahaknya aspek itu menyebabkan Islam amat menitikberatkan didikan anak-anak dan menggalakkan ibu bapa melalui kehidupan yang sempurna.

Malah Imam Al-Ghazali pernah menyatakan: “Hendaknya anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap hidup, sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri daripada keadaan sesak itu.”

Dalam hal ini, biarlah anak kecil bebas melakukan apa yang mereka suka, asalkan tidak memudaratkan diri dan orang lain serta berfaedah untuknya, namun kegiatan itu perlu dipastikan agar tidak melanggar syariat Islam. Malangnya, segelintir ibu bapa hari ini masih kurang memahami aspek didikan menjadikan anak keliru mengenai kewujudan dirinya dalam keluarga.

Pakar Psikiatrik Kanak-kanak dan Remaja, Hospital Selayang, Dr Fauzi Ismail berkata, beberapa ciri keibubapaan yang dikenal pasti diamalkan hari ini ialah mengarah, menyekat, membenarkan dan mendidik.

Jelasnya, ibu bapa yang mengarah selalunya berpunca dari ibu bapa yang tidak bersedia menimbang anak menyebabkan kehadiran mereka dianggap tidak penting, sementara ibu bapa yang gemar menyekat cenderung mengongkong apa yang dilakukan anak hingga menyebabkan segala tindakan dilakukan anak-anak, semuanya tidak betul malah mudah menghukum.

Keibubapaan yang membenarkan pula turut menimbulkan kemudaratan apabila membenarkan segala tindakan anak tanpa berfikir panjang sama ada sesuatu tindakan dilakukan itu baik atau sebaliknya. Keibubapaan yang terbaik ialah membimbing dan memberikan tunjuk ajar, menghukum apabila silap tetapi memberikan kebebasan apabila perlu.

“Didikan dianggap aspek paling penting kerana ia adalah corak awal membentuk keperibadian mereka yang dibawa sehingga ke dewasa. Selalu orang berkata, ‘alah...budak-budak, biasalah kena marah kalau tidak mereka tidak belajar.’ Sebenarnya, kanak-kanak boleh dimarah tetapi marah pun perlu diiringi kemahiran kerana jangan sampai anak menyangka ibu bapa marah kerana membencinya, bukan marah kerana ingin memperbetulkan kesilapannya.

“Walaupun segelintir anak, secara luarannya nampak selamba dan tidak kisah bila dimarah tetapi jangan terkejut kerana ada segelintir yang menyimpan dendam, menyimpan pemikiran ibu bapa membencinya hingga menyebabkan apabila dewasa, mereka enggan berjumpa ibu bapanya sendiri,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Menjadi Ibu Bapa Yang Baik pada Seminar Ke Arah Menjadi Ibu Bapa dan Guru Mithali baru-baru ini.

Seminar sehari itu anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (1) Sultan Alam Shah, Petaling Jaya dan program Positive Parenting, Persatuan Pediatrik Malaysia.

Beliau berkata, didikan yang kurang sempurna boleh memberi kesan kepada anak membabitkan keyakinan diri yang rendah menyebabkan selalu ketinggalan di dalam kelas dan mempunyai masalah disiplin.

Sebaliknya didikan sempurna mampu merapatkan hubungan kekeluargaan serta melahirkan anak yang ceria dan cemerlang, serta yakin terhadap kemampuan diri kerana sering di berikan sokongan moral.

“Ibu bapa selalu tersalah anggap menyatakan anak tidak memahami apa yang mereka lalui hingga menyebabkan mereka cenderung menipu. Sebagai contoh andai seorang ibu menitiskan air mata kerana dikasari suami, anda boleh katakan ‘Mak menangis sebab dimarahi suami,’ Kenyataan itu sudah cukup walaupun tidak menerangkan sebab dimarah, tetapi yang paling penting, jangan menipu.
Jangan menitipkan elemen menipu dalam keluarga kerana kesannya buruk sekali,” katanya.

Selain aspek didikan, apa yang dipertontonkan anak turut mempengaruhi mereka seperti televisyen dan komputer. Kotak hiburan itu sebenarnya mampu dikawal ibu bapa asalkan mereka mengambil berat apa yang dipertontonkan anak membabitkan bahan yang ditonton serta jumlah masa yang diberikan.

“Program bercorak hiburan dan keseronokan semata-mata tanpa menyisipkan elemen ilmu hanya membuang masa. Program seperti realti TV yang semakin digilai kini juga harus dperhalusi kerana bukan semua yang dilihat mendatangkan manfaat. Namun dalam mendidik anak-anak ibu bapa seharusnya juga mencermin diri sendiri. Andai anak dilarang menonton terlalu lama, ibu bapa juga seharusnya mengehadkan masa menonton. Jangan menjadi mangsa TV.

“Ibu bapa perlu sedar andai mereka ingin membentuk anak menjadi sempurna, ia perlu dimulakan dari dalam diri sendiri. Berkasih sayanglah sesama sendiri kerana kasih sayang itu mampu diluahkan dan diterapkan dalam diri anak-anak,” katanya.

FAKTA
Mendidik anak

  Kurangkan hukuman fizikal kerana ia hanya menyakitkan, tetapi kurang berkesan mendidik. Andai anak melakukan kesilapan yang perlu diberikan denda, jelaskan erti kesilapan mereka dan kenapa denda itu perlu dilakukan, seperti “Kita mempunyai undang-undang dalam keluarga yang tidak membenarkan pulang lewat dari jam tujuh malam, dan ia perlu dipatuhi...” dan anak-anak akan menerima kesilapan itu kerana ia sudah tahu melanggar peraturan dengan pulang pada jam 10 malam.
  Hukuman boleh dikenakan kepada anak-anak sebagai pengajaran tetapi beberapa perkara perlu diambil kira iaitu jangan marah ketika kita berada dalam keadaan marah; mengherdik mereka di hadapan orang ramai atau kawan-kawannya; jangan marahkan mereka kerana dirinya sebaliknya atas kesalahan yang dilakukan.
  Ibu bapa jangan terlalu berharap mendapat anak yang sempurna dari segala segi kerana adalah sesuatu yang biasa andai melakukan kesilapan apatah lagi memang manusia tidak sempurna. Ia amat bergantung kepada sejauh mana kemampuan ibu bapa itu sendiri.
  Matlamat disiplin ialah untuk mengawal dan membentuk peribadi anak dengan sempurna. Ada ibu bapa yang gembira andai mampu menjadikan anak bagai ‘alat kawalan jauh’ tetapi pernahkah kita terfikir adakah itu yang kita mahukan sedangkan anak mengikut kerana takut, bukan hormat?





Tiada ulasan: